PenggunaPengurusan HutangPengurusan Kewangan

Penjamin Tidak Terjamin

Sam dan Ling telah menjalinkan hubungan semenjak mereka belajar bersama-sama di kolej. Selepas beberapa tahun berhubungan, Ling telah meminta Sam untuk menjadi penjamin kepada pinjaman sewa beli kereta baharunya. Tanpa berfikir panjang, Sam bersetuju kerana dia sedang dilamun cinta dan mengharapkan cintanya dibalas.

Sebelum menandatangani borang penjamin, Sam tidak mendapatkan sebarang nasihat atau pandangan orang lain. Apa yang penting bagi Sam ialah cinta Ling dan dia yakin tidak lama lagi mereka akan mendirikan rumah tangga. Lagipun, Ling telah berjanji akan membayar ansurannya dengan teratur.

Selang beberapa bulan kemudian, ansuran pinjaman sewa beli Ling sudah mula tertunggak. Sam, seperti yang telah dijangkakan, sekali lagi termakan dengan pujuk rayu Ling dan menolong Ling membayar ansuran pinjaman tersebut sehinggalah pada suatu hari Sam mengetahui bahawa Ling sebenarnya telah bertunang dengan orang lain. Oleh kerana terlalu kecewa dengan perbuatan Ling, Sam membawa hati lukanya dengan berpindah ke tempat lain, malah Sam juga telah beberapa kali bertukar kerja.

Oleh kerana Ling gagal membuat bayaran pinjaman sewa belinya, pihak institusi kewangan telah menarik balik dan melelong keretanya. Baki yang perlu dijelaskan selepas lelongan adalah sebanyak RM45,000. Apabila Ling tidak mampu membayar jumlah kerugian ini, pihak institusi kewangan telah mengemukakan notis tuntutan ke atas Sam selaku penjamin. Sam juga tidak boleh membayarnya kerana jumlah yang terlibat adalah terlalu besar. Pihak institusi kewangan mula mengambil tindakan mahkamah terhadap Sam untuk menuntut semula semua baki hutang mereka. Oleh kerana terlalu bimbangkan tentang masa hadapan, Sam telah bertindak mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Sebagai penjamin, anda akan dipertanggungjawabkan ke atas liabiliti peminjam sekiranya peminjam mungkir dalam pembayaran balik pinjaman. Tahap liability adalah seperti yang termaktub di dalam dokumen jaminan. Oleh itu, sebelum menjadi penjamin:

  • Baca dan memahami sifat jaminan tersebut.
  • Jangan menandatangani dokumen yang belum dibaca atau menandatangani dokumen kosong atau borang yang belum lengkap.
  • Dapatkan khidmat nasihat profesional / guaman sebelum menandatangani kontrak jaminan. Ini akan memastikan anda benar-benar faham tentang sifat sebenar dokumen tersebut dan implikasi undang-undang, contohnya hak-hak dan liabiliti di bawah kontrak jaminan tersebut.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 41/September 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button