Skip to toolbar
Pelan PelaburanPerangkap Kewangan

Penipuan Seminar Pelaburan

Sejak kebelakangan ini, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sering menerima aduan berkaitan aktiviti pemasaran pakej, dalam bentuk seminar produk ‘pelaburan’. Aktiviti pemasaran ini bertujuan untuk mengumpan bakal pelanggan dengan menawarkan pelbagai peluang pelaburan yang lumayan.

Modus operandi aktiviti ini ialah mengadakan seminar pelaburan di hotel-hotel mewah. Anda akan dihubungi oleh wakil syarikat ini supaya datang ke hotel tersebut pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Peserta disyaratkan supaya hadir bersama-sama suami atau isteri masingmasing. Anda akan dijanjikan ganjaran dalam bentuk baucar penginapan hotel sekiranya menghadiri seminar berkenaan.

Semasa seminar, anda akan dimaklumkan mengenai strategi pelaburan yang akan membolehkan anda mendapat ganjaran lumayan secara cepat dan mudah. Penceramah seminar menggunakan kenyataan yang mengelirukan untuk menarik bakal pelabur untuk membeli produk mereka yang berharga mahal atau menyertai pelaburan dalam syarikat tertentu.

Anda akan diminta untuk membuat pembelian atau pelaburan pada masa itu juga dengan membayar menggunakan kad kredit. Apabila anda pulang ke rumah, baru anda menyedari bahawa anda sebenarnya terjebak dengan pelaburan yang meragukan.

Anda perlu mengenali dan mengelakkan daripada bentuk tawaran yang berunsur penipuan seperti seminar pelaburan yang dinyatakan di atas.

Terdapat tiga jenis penipuan pelaburan yang utama:

  1. Pelaburan rekaan yang tidak wujud.
  2. Pelaburan itu mungkin wujud tetapi penipu mengambil wang itu untuk kegunaan diri sendiri danbukannya digunakan untuk pelaburan.
  3. Penipu mendakwa mewakili syarikat pelaburan tertentu yang sah dan dipercayai.

Tanda-tanda Penipuan Seminar Pelaburan:

  • Wakil syarikat menghubungi anda secara mengejut melalui panggilan telefon, khidmat pesanan segera, mesej di media sosial, e-mel dan sebagainya. Penipu juga menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter untuk menarik orang ramai menghadiri pelaburan tentang matawang kripto, pertukaran mata wang asing dan pilihan binari. Penipu sering mempunyai profil media sosial atau laman sesawang yang meyakinkan dengan testimony palsu.
  • Penganjur akan mendesak anda membuat keputusan dengan segera. Mereka akan mempengaruhi anda dengan mengatakan bahawa tempoh tawaran pelaburan adalah terhad, anda mendapat bonus atau diskaun jika mendaftar pada hari tersebut.
  • Mereka akan menghubungi anda atau menghantar e-mel secara berulang kali yang bertujuan untukmemberi tekanan kepada anda supaya membuat keputusan dengan segera.
  • Pelaburan tersebut dikatakan memberi pulangan yang lumayan, yang seolah-olah adalah terlalu bagus untuk dipercayai (too good to be true). Pelaburan mempunyai beberapa tahap risiko yang tertentu. Tahap risiko ini biasanya berkait rapat dengan pulangan yang akan diterima oleh pelabur. Jika risikonya rendah, bermakna hasil pulangan yang rendah. Begitu juga sekiranya hasil pulangan adalah tinggi, ia melibatkan risiko yang lebih tinggi juga. Penganjur akan cuba meyakinkan para peserta seminar bahawa pulangan pelaburan adalah ‘terjamin’ dan mereka akan mengalami kerugian jika tidak menyertai pelaburan tersebut.
  • Mereka meminta anda supaya tidak memberitahu sesiapa berkenaan pelaburan ini. Penipu mungkin memberitahu anda bahawa peluang pelaburan ini hanya untuk anda dan meminta anda supaya tidak memberitahu sesiapa.

“Penipu mungkin memberitahu anda bahawa peluang pelaburan ini hanya untuk anda dan meminta anda supaya tidak memberitahu sesiapa.”

Cara-cara Menghindari Penipuan Seminar Pelaburan

  • Anda perlu mendapatkan maklumat sebelum menghadiri seminar. Sebelum menghadiri manamana seminar mengenai strategi pelaburan, anda harus meneliti individu atau syarikat yang menganjurkan seminar pelaburan.
  • Anda perlu bertanya soalan mengenai strategi pelaburan. Antara soalan tersebut ialah:
    • Berapakah kos untuk mempelajari strategi pelaburan? Peserta perlu menentukan kos pendahuluan dan kos-kos lain yang berkaitan dengan pembelajaran dan melaksanakan strategi pelaburan.
    • Apakah risiko strategi pelaburan ini? Setiap pelaburan mempunyai risiko tertentu. Pelabur perlu berwaspada terhadap sebarang strategi pelaburan yang tidak mempunyai risiko atau dikatakan berisiko rendah.
  • Berwaspada dengan dakwaan kejayaan pelaburan pada masa lalu. Sesetengah penganjur akan cuba untuk mengesahkan keberkesanan strategi pelaburan mereka dengan menekankan tentang kejayaan pelaburan yang diperolehi oleh bekas pelabur sebelum ini, yang menggunakan strategi pelaburan mereka. Terdapat juga penganjur yang membawa ‘bekas pelabur’’ untuk muncul di seminar pelaburan itu untuk berkongsi kejayaan pelaburan mereka. Penganjur turut memberikan rekod pelaburan palsu atau mengelirukan untuk menunjukkan kejayaan pelaburan mereka.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 108/April 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button