Asas PerancanganBajet dan Aliran TunaiPengurusan KewanganPerancangan KewanganTip dan Panduan

Pengurusan Kewangan Secara Bijak

Kalau anda tidak merancang, maka anda merancang untuk gagal. Kemahiran menguruskan wang adalah ilmu yang semakin penting. Ramai orang berlumba-lumba ingin mempelajarinya. Ada individu yang pandai menjana pendapatan yang tinggi, tetapi tidak pandai pula menguruskan duit gaji dan kekayaan yang diperoleh. Ini adalah lumrah kehidupan di bandar yang masyarakatnya sibuk dengan kerjaya masing-masing, sehingga lupa untuk menguruskan kewangan sendiri dan keluarga. Sebagai panduan untuk menguruskan kewangan dengan bijak dan sistematik, berikut adalah beberapa langkah yang boleh diamalkan:

  • Mempunyai Matlamat Kewangan

Anda mesti apa yang anda mahukan dalam hidup. Misalnya, apa yang anda mahu pada usia persaraan? Apakah simpanan untuk persaraan nanti adalah mencukupi jika mengambil kira faktor-faktor kenaikan kos sara hidup, inflasi yang berlaku saban tahun? Benar, barangkali persaraan itu hanya akan berlaku lagi 10, 20, 30 tahun akan datang, namun pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka pendek, sederhana, dan panjang. Mulakan dengan matlamat paling jauh. Apabila kita mempunyai satu pandangan jauh, kita telah menetapkan langkah yang betul untuk berjaya.

  • Mempunyai Sumber Pendapatan yang Mencukupi

Sama ada anda makan gaji atau bekerja sendiri, anda perlu benar-benar berjaya (termasuklah memperolehi gaji tinggi) dalam bidang yang anda ceburi. Jika anda tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi, maka sukar untuk mempunyai simpanan yang sewajarnya kerana kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pada masa kini, mempunyai satu sumber pendapatan sahaja adalah tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya setiap individu mesti mempunyai pendapatan kedua, iaitu daripada sumber pelaburan.

  • Simpan Sebelum Belanja

Sekiranya anda membelanjakan semua pendapatan terlebih dahulu, dan jika ada lebih, baharu ingin menyimpan, maka itulah langkah paling berkesan untuk mencipta masalah kewangan yang kronik pada masa akan datang. Jadi, gunakan formula ini:

Gaji – Simpanan = Belanja

  • Berbelanja Dengan Bijak

Anda perlu menyusun keutamaan perbelanjaan. Bermula dengan keperluankeperluan asas hidup, iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Disusuli dengan kehendak-kehendak, kemudian baharulah kemewahan.

Dalam hal ini, penyata kewangan memainkan peranan penting sebagai langkah pertama untuk bermula. Angka-angka dalam penyata kewangan adalah data terbaik yang anda ada, sama ada selama ini anda sebenarnya banyak berbelanja untuk harta ataupun liabiliti.

Berdasarkan penyata kewangan, ianya juga dapat menentukan sama ada anda perlu memperbaiki aliran tunai, menyelesaikan hutang atau dapat terus memulakan pelaburan secara serius.

  • Mengurus Risiko Kewangan

Risiko kewangan adalah sesuatu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Apa yang anda boleh lakukan adalah mengurus risiko tersebut dengan efektif. Bagi kebanyakan individu, cara paling mudah mengurus risiko kewangan adalah dengan mengambil produk-produk insurans/takaful.

Untuk menjadi seorang  yang betul-betul berjaya dalam pengurusan kewangan, ilmu adalah sangat penting kerana produk insurans/ takaful tidak mampu mengurus semua risiko kewangan anda. Tiada produk insurans/takaful yang dapat melindungi anda daripada inflasi, kejatuhan ekonomi atau kemerosotan perniagaan.

  • Membayar Zakat dan Cukai

Zakat dan sedekah merupakan proses 3+1. Melalui zakat, kita dapat menyucikan harta, melindungi dan mengembangkan harta sekali gus. Harta-harta yang kita beri ini sama sekali tidak berkurangan, malah semakin bertambah dengan cara yang Allah sahaja yang mengetahuinya. Zakat hanya untuk harta halal, manakala harta daripada sumber haram perlulah dibersihkan 100%.

Manakala cukai pula adalah kewajipan seorang rakyat kepada sesebuah negara. Duit cukai yang kita bayar membolehkan kerajaan menyediaankan pelbagai infrastruktur asas seperti jalanraya, sekolah, longkang, hospital dan kemudahan-kemudahan yang lain

  • Membuat Pelaburan yang Bijak

Antara kegunaan simpanan yang telah dilakukan adalah untuk dijadikan modal pelaburan. Tujuan pelaburan adalah untuk kegunaan menunaikan haji, tabung persaraan, tabung pendidikan anak-anak, tabung percutian dan segala matlamat kewangan yang lain. Kita perlu menyusun strategi pelaburan dengan bijak kerana ramai orang yang melabur tetapi berapa ramaikah yang telah melabur dengan bijak?

  • Membahagikan Harta

Setelah anda berjaya mengumpul harta, jangan lupa menyediakan perancangan untuk pembahagian harta tersebut kerana kita semua pasti akan meninggal dunia suatu hari nanti. Pastikan harta-harta anda sudah adapenama dan jika perlu anda boleh menggunakan wasiat, hibah, wakaf, pengisytiharan harta sepencarian dan pemegang amanah untuk membahagikan harta tersebut, berdasarkan kemahuan anda sendiri.

Sumber: majalahlabur.com/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 108/April 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button