Asas PerancanganBajet dan Aliran TunaiPengurusan KewanganPerancangan KewanganTip dan Panduan

Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baharu Bekerja

Jika anda seorang yang baharu mula bekerja dan sedang mencari panduan berkenaan pengurusan kewangan, tahniah diucapkan kerana anda mempunyai kesedaran awal untuk merancang kehidupan anda dengan lebih bijak.

Formula pengurusan kewangan akan memudahkan perjalanan anda untuk mencapai matlamat-matlamat kewangan anda.

Untuk golongan yang baharu mula bekerja, berikut adalah formula pengurusan kewangan yang boleh anda amalkan.

Formula pengurusan kewangan 30:10, iaitu membahagikan pendapatan kepada 4 bahagian; tiga bahagian 30% dan satu bahagian 10% (30:30:30:10)

Formula tersebut berdasarkan kepada:

30% – Simpanan, pelaburan dan perlindungan

30% – Hutang dan simpanan perbelanjaan

30% – Perbelanjaan

10% – Penyucian harta

Contohnya, seorang graduan baharu yang berpendapatan bersih RM3,000 / sebulan, maka pembahagiannya adalah RM 900:900:900:300.

30% – Simpanan, pelaburan dan perlindungan

30% pertama adalah untuk kesenangan masa hadapan meliputi simpanan, pelaburan dan perlindungan.

Orang yang bijak dalam pengurusan kewangan menyimpan dahulu pendapatan yang diperoleh sebelum dibelanjakan.

Semakin banyak bahagian yang boleh disimpan, semakin baik pengurusan kewangan tersebut. Tetapi, janganlah terlalu banyak menyimpan sehingga menyusahkan diri kerana tidak dapat berbelanja untuk keperluan-keperluan asas.

Ramai juga yang tidak mahu memulakan tabungan kerana bimbang tidak dapat memberi komitmen terhadap tabungan tersebut. Walhal, terdapat banyak cara untuk menyimpan duit.

Bagi orang yang baharu bekerja, misi pertama dalam menyimpan adalah untuk mewujudkan dana kecemasan.

Selepas mempunyai dana kecemasan yang mencukupi, anda boleh membuat pelaburan untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan.

Anda boleh melabur dalam apa juga jenis pelaburan, seperti pelaburan emas, pelaburan hartanah, pelaburan saham atau jenis pelaburan yang lain. Yang penting pastikan pelaburan yang sah dan dapatkan ilmu yang betul daripada pakar yang berkelayakan.

Pada masa yang sama, jangan lupa untuk mengambil perlindungan takaful / insurans secukupnya untuk menghadapi musibah kewangan yang tidak terduga.

Mungkin pada permulaannya anda tidak perlu ambil perlindungan yang mahal, cukup sekadar mengambil perlindungan minimum untuk manfaat-manfaat asas terlebih dahulu.

Apabila pendapatan telah bertambah, anda boleh meningkatkan jumlah perlindungan dan manfaat.

30% – Hutang dan simpanan perbelanjaan

Kebanyakan graduan muda yang baharu mula bekerja terbeban dengan satu hutang, iaitu hutang pinjaman / pembiayaan pelajaran.

Semasa belajar dahulu, tawaran biasiswa adalah terhad. Ibu bapa pula tidak mampu menanggung semua kos pelajaran, maka pilihan yang ada hanyalah pinjaman / pembiayaan pelajaran.

Hutang tetap hutang, dan menjadi tanggungjawab untuk dibayar. Jadi, peruntukkan sebahagian gaji yang diperoleh untuk membayar hutang yang ditanggung. Semakin cepat diselesaikan hutang tersebut, semakin baik.

Lebihan yang ada, bolehlah disimpan sebagai simpanan perbelanjaan. Simpanan perbelanjaan adalah duit yang disimpan untuk dibelanjakan, terutamanya untuk perbelanjaan-perbelanjaan besar.

Contohnya, kebanyakan graduan muda berkeinginan untuk berkahwin. Simpanlah sebahagian daripada 30% pendapatan ini untuk mengumpul duit bagi persiapan majlis perkahwinan.

Ada juga yang merancang untuk membeli kereta, sebagai hadiah kepada diri sendiri kerana telah menamatkan pembelajaran dan mula bekerja.

Sebelum membeli kereta, mulakan dengan menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk bayaran pendahuluan kenderaan. Selagi duit yang dikumpul tidak mencukupi 10% ke 20% harga kereta yang ingin dibeli, jangan membeli kereta tersebut.

Membeli kereta mahal yang di luar kemampuan anda hanya akan menambah beban hutang dan perbelanjaan baharu. Sedangkan ada perbelanjaan yang lebih utama dan lebih besar yang perlu dilakukan, iaitu membeli rumah.

Tetapi, jika terpaksa juga membeli kereta dan mengambil hutang baharu, pastikan jangan melebihi pembahagian 30% yang ditetapkan. Pada masa yang sama, sediakan sedikit bahagian untuk pembiayaan / pinjaman perumahan kelak.

Lebih baik lagi, mulakan dahulu dengan membeli rumah dan jadikannya sebagai mesin wang. Apabila mesin wang semakin bertambah, hasilnya bolehlah digunakan untuk membeli kereta.

30% – Perbelanjaan

Bahagian ketiga ini adalah untuk perbelanjaan-perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan yang perlu dilakukan.

Ini termasuklah perbelanjaan makan dan minum, sewa tempat tinggal, keperluan peribadi, bil-bil utiliti, tambang perjalanan, petrol, tol dan apa-apa sahaja perbelanjaan yang difikirkan perlu.

Hadkan cuma 30% daripada pendapatan untuk perbelanjaan-perbelanjaan ini, yang biasanya orang disebut sebagai ‘belanja hangus’.

10% – Penyucian harta

Dengan pendapatan yang diperoleh, janganlah lupa ‘hak orang lain’.

Di sinilah perlunya diperuntukkan 10% daripada pendapatan untuk diberikan kepada orang lain sama ada menerusi zakat, cukai dan juga sedekah.

Bagi umat Islam, secara umumnya pengiraan zakat pendapatan adalah 2.5% daripada pendapatan yang diperoleh.

Pengiraan cukai pendapatan pula perlu mengambil kira banyak perkara, seperti jenis pendapatan bercukai, pengecualian, pelepasan dan rebat cukai.

Sedekah pula adalah pemberian ikhlas secara sukarela.

Jangan lupa juga untuk memberi wang kepada ibu bapa.

Walaupun mungkin mereka tidak memerlukan duit gaji anda, tetapi tidaklah salah untuk menghulurkan wang pemberian sekadar kemampuan sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Sesuaikan formula mengikut keperluan

Formula pengurusan kewangan 30:10 adalah sebagai panduan asas sahaja, bukannya tegar (rigid).

Bukan semua orang mempunyai pendapatan yang sama. Bukan semua orang mempunyai keperluan perbelanjaan yang sama.

Tambahan lagi, dari tahun ke tahun, jumlah pendapatan mungkin semakin bertambah, selari dengan jumlah perbelanjaan yang semakin bertambah.

Jadi, di sinilah perlunya kreativiti sendiri untuk mengubah suai formula tadi untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Jika boleh, hadkan peruntukan simpanan dan pelaburan pada paras minimum 20%, manakala paras hutang kepada maksimum 30% sahaja.

Jika tiada hutang, itulah yang terbaik. Hutang yang terlalu tinggi adalah bahaya dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan jika tidak dihadkan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 100/Ogos 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button