Akta dan PerundanganFaraidPelan PewarisanPentadbiran PusakaPerancangan KewanganWasiat

Pengurusan Harta Pusaka Di Malaysia

Disebabkan Malaysia merupakan negara yang berbilang agama, maka wujud perbezaan makna dalam istilah “wasiat” itu sendiri. Wasiat dalam Islam dan wasiat bagi orang bukan Islam adalah tidak sama. Prosedur legal bagi kedua-duanya juga berbeza. Namun, kedua-duanya memainkan peranan yang sangat penting dalam kelancaran pengurusan harta pusaka si mati.

Wasiat bagi orang bukan Islam

Bagi orang bukan Islam, seseorang itu berhak untuk mewasiatkan hartanya kepada waris pilihan dengan syarat dia mempunyai dokumen hitam putih yang sah dan ditandatangani peguam bertauliah. Dari sudut legaliti, mereka tertakluk pada Akta Pembahagian Harta 1958. Oleh itu, jika seseorang yang bukan Islam meninggal dunia tanpa sebarang wasiat, hartanya akan dibahagi mengikut akta ini dan mahkamah akan menentukan segala-galanya baik dari segi kelayakan penerima atau waris, kadar pembahagian harta dan lain-lain yang berkenaan.

Berbeza pula bagi yang mereka yang meninggal dengan wasiat. Siapa yang berhak menerima dan berapa kadar pembahagian harta boleh ditetapkan di dalam wasiat yang ditulis dengan bantuan peguam bertauliah, mahkamah berperanan sebagai pelaksana dan pemutus berdasarkannya.

Maka, dalam pengurusan harta, wasiat merupakan instrumen yang sangat penting untuk memastikan segala kelancaran proses di mahkamah. Kelancaran proses dan urusan ini menjamin pengurangan kos guaman yang terpaksa ditanggung waris kerana menurut statistik kes-kes pembahagian harta pusaka melibatkan si mati tanpa wasiat, kos guaman mereka sangat tinggi. Antara penyebabnya ialah konflik antara keluarga dan waris yang berpanjangan sehingga prosiding terpaksa ditangguhkan dan tidak berkesudahan bagi jangka masa yang amat panjang. Ini juga boleh menyebabkan keretakan sebuah institusi keluarga yang baru sahaja kehilangan ahli keluarga. Sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah kehilangan ahli keluarga, bergaduh pula disebabkan harta.

Wasiat bagi orang Islam

Di kalangan Muslim di negara kita, bahkan di seluruh dunia, ramai yang menghadapi kekeliruan tentang wasiat. Di Malaysia khususnya, perbezaan definisi “wasiat” itu sendiri menyumbang kepada kekeliruan ini. Ditambah pula dengan senario ayah memberi wasiat pada anak yang seringkali didengari dan biasa dipersembahkan di kaca televisyen. “Nak, ayah mahu mewasiatkan rumah sebelum ayah pergi”. Inilah skrip berlatarkan hospital yang biasa diulang-ulang.

Perlu difahami bagi orang Islam atau lebih tepat lagi, dalam Islam, tiada wasiat untuk waris. Wasiat hanyalah untuk bukan waris sahaja seperti ahli keluarga bukan Islam, anak angkat, anak tiri, anak susuan, sedekah pada fakir miskin dan wakaf pembinaan masjid. Adapun, bahagian harta untuk waris telah ditentukan dengan spesifik melalui kaedah faraid.

Kadar wasiat untuk bukan waris ini hanya tertakluk pada 1/3 harta si mati, tidak lebih dan tidak kurang. Jika nilai wakaf tanah lebih daripada nilai 1/3 daripada keseluruhan harta, ia memerlukan persetujuan daripada semua waris si mati.

Perlaksanaannya pula adalah berdasarkan dokumen hitam putih yang ditandangani dan disahkan oleh peguam bertauliah. Di sini terdapat konflik antara syarie dan legal berkenaan status wasiat yang tidak didokumenkan atau dikenali sebagai wasiat mulut. Walaupun wasiat begini sah dari sudut syarie selagi ia cukup segala rukunnya, namun ia bakal berdepan dengan masalah dari sudut perlaksanaannya di mahkamah.

Contohnya, bagi wasiat lisan, wasiat ini perlu disahkan terlebih dahulu di Mahkamah Syariah dengan memohon melalui Seksyen 61(3)(b)(v), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Jika sah, ia boleh dilaksanakan, namun jika mahkamah memutuskan ia tidak sah, ia tidak boleh dilaksanakan dan ia bakal tertakluk pada Sijil Faraid yang dikeluarkan mahkamah.

Mudah cerita, matinya seorang anak Adam itu, hartanya wajib diuruskan oleh waris. Segala perkara wajib perlu dilangsaikan dahulu seperti wasiat pada bukan waris, hutang pada manusia, hutang pada bank, kos pengurusan jenazah, zakat dan lain-lain kewajipan. Baki daripadanya barulah akan diagihkan kepada waris berdasarkan faraid.

Jadi, bagaimana jika berlaku situasi memberi wasiat pada waris? Wasiat tersebut tidak sah dan tidak wajib diikuti. Namun, ia masih boleh dilaksanakan dengan syarat semua waris perlu duduk semeja dan bersetuju melaksanakannya. Jika tidak, ia akan kembali ke hukum asal iaitu hukum faraid.

Hukum Faraid

Berkenaan faraid, penting untuk kita fahami, ia merupakan jalan terakhir dalam pembahagian pusaka walaupun kadar-kadar pembahagiannya telah dinyatakan secara jelas oleh Allah SWT dalam Al-Quran. Jalan yang terbaik adalah semua waris duduk semeja untuk bincang bersama tentang kadar-kadar pembahagian harta, syaratnya semua waris bersetuju dengan semua keputusan yang dibuat seterusnya menandatangani borang persetujuan yang disahkan oleh peguam. Sebaiknya ia dilaksanakan sewaktu pemilik harta masih hidup.

Terdapat kes di mana ada waris yang sukarela untuk melepaskan hak mereka, maka besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Ada juga kes di mana waris yang mahu membeli hak waris lain dengan wang tunai, kaedah ini dikenali sebagai kaedah tebusan dan ia juga akan memudahkan proses pembahagian pusaka.

Walaubagaimanapun, terdapat banyak kes di mana ada waris yang berkeras atau tidak bersetuju dengan kadar pembahagian hasil perbincangan antara mereka, jalan untuk kes ini tidak lain tidak bukan adalah hanya melalui pembahagian mengikut faraid. Untuk ini, Sijil Faraid perlu dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah supaya perintah perlaksanaan boleh dikeluarkan oleh Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi bergantung kepada nilai harta yang ditinggalkan.

Maka, kuncinya di sini ialah persetujuan atau muafakat antara waris. Jika wujud muafakat, mudah dan lancar segala urusan. Jika sebaliknya, boleh jadi proses pembahagian mengambil masa yang sangat panjang, lebih-lebih lagi bagi si mati yang meninggalkan harta yang sangat banyak. Bahkan, senario terburuk adalah proses tersebut tidak berkesudahan dan tertangguh disebabkan tiada kata putus antara waris dan perbalahan antara mereka.

Banyak rentetan implikasi buruk yang akan berlaku disebabkan proses pembahagian harta yang tertangguh. Boleh jadi seseorang itu akan mengambil hak orang secara batil. Memakan hak orang lain merupakan antara perkara yang paling dimurkai oleh Allah SWT, maka ia bukan perkara yang remeh temeh. Selain itu, kos guaman juga bakal melambung tinggi disebabkan konflik-konflik yang berlaku dan akhirnya, harta terbeku dan waris sudah tidak berkeinginan untuk meneruskan prosiding. Amat malang bagi si mati dan juga waris jika situasi ini berlaku.

Kesimpulan

Bila sudah namanya manusia, maka tidak dapat tidak, ajal bakal menjemput. Oleh itu, wajarlah semua manusia tidak kira agama dan bangsa untuk ambil tahu dan cakna berkenaan pembahagian harta pusaka ini kerana ia juga termasuk dalam pengurusan harta. Pengurusan yang mantap dan persediaan yang rapi akan memudahkan urusan pelbagai pihak, tidaklah nama kita sering disebut-sebut dengan hal yang kurang enak walaupun selepas kembali ke pangkuan Ilahi kelak.

Sulaiman Abd Kadir
Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Sulaiman Abd Kadir

Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel Berkaitan

Back to top button