Pengguna

Pengguna Mudah Terpedaya Dengan Iklan

Kita sering melihat dan mendengar iklan yang berbunyi, ‘Beli satu percuma satu’, ‘Diskaun sehingga 70%’, ‘100% original’, ‘Pil pelangsingan badan dan anda boleh turun berat badan dalam masa 2 minggu’ dan banyak lagi. Kebanyakan pengiklan membuat kenyataan palsu atau mengelirukan, semata-mata untuk mendorong seseorang pengguna untuk melakukan kesilapan dalam membuat keputusan untuk membeli.

Iklan dalam konteks ini termasuklah yang berupa ucapan, tulisan, bunyian atau gambar yang diterbitkan melalui pempameran, penggunaan media cetak, seperti suratkhabar, majalah atau bahan-bahan bercetak, seperti katalog dan senarai harga, pertunjukan filem, gambar atau penggunaan medium elektronik, seperti radio, televisyen atau telekomunikasi atas talian.

Apa yang tidak diketahui oleh orang ramai ialah risiko yang bakal mereka hadapi di sebalik harga yang ditawarkan terlalu murah. Begitu juga dengan promosi yang ditawarkan, seperti ‘Beli satu, percuma satu’ serta diskaun yang terlalu tinggi oleh penjual yang menjual barangan tersebut.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima banyak aduan mengenai iklan yang ditawarkan oleh penjual yang tidak jujur. Antara aduan tersebut ialah barang yang diiklankan tidak wujud, barang tersebut berkualiti rendah, menjual barang yang palsu, penjual tersebut tidak dapat dikesan selepas pembayaran dibuat, dan produk tersebut tidak berkesan seperti yang dijanjikan. Sebagai contoh, ‘Kulit akan menjadi putih dalam masa 2 minggu dan sekiranya tidak berkesan, wang pengguna akan dikembalikan’. Apabila pengguna cuba menghubungi penjual tersebut, mereka gagal untuk mendapatkan  kembali wang yang telah dibayar untuk produk tersebut.

Berikut merupakan kes sebenar yang diterima oleh NCCC :

“Pengguna dijanjikan barangan percuma untuk setiap pembelian seperti yang diiklankan dan kos penghantaran adalah percuma di laman sesawang. Tetapi realitinya, pengguna terpaksa membayar kos penghantaran, cukai dan sebagainya. Apabila pengguna menghubungi penjual tersebut, mereka hanya diberikan janji kosong bahawa wang mereka akan dikembalikan.”

Panduan kepada Pengguna

Pengguna harus tampil membuat aduan mereka sekiranya mereka mendapati wujudnya iklan yang palsu dan mengelirukan. Pengguna harus mengetahui bahawa iklan yang palsu atau mengelirukan adalah salah di sisi undang-undang. Pengiklan, sama ada pengeluar, agensi pengiklanan, media dan pihak lain yang terlibat dalam pengeluaran iklan tersebut, boleh dikenakan tindakan.

Semua iklan palsu atau mengelirukan akan dikenakan tindakan di bawah Akta  Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan denda antara RM50,000 hingga RM1 juta, dan penjara antara tiga hingga lima tahun.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menubuhkan Jawatankuasa Pengiklanan, khususnya untuk melindungi pengguna yang berhadapan dengan masalah seperti ini. Peruntukan baru bertujuan untuk memantau iklan-iklan palsu atau mengelirukan pengguna.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menubuhkan Jawatankuasa Pengiklanan, khususnya untuk melindungi pengguna yang berhadapan dengan masalah seperti ini. Peruntukan baru bertujuan untuk memantau iklan-iklan palsu atau mengelirukan pengguna.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button