Skip to toolbar
HibahPelan PewarisanPentadbiran Pusaka

Pengetahuan Cetek Punca Harta Pusaka Terbiar

BERA. 31 Mei 2018 bersamaan 15 Ramadan 1439H – Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah menzahirkan kebimbangan mengenai umat Islam yang masih kurang pengetahuan tentang urusan pembahagian harta pusaka.

Kebimbangan tersebut timbul selepas baginda membaca laporan akhbar yang menyatakan sejumlah RM66.6 bilion nilai harta pusaka di Malaysia masih terbuka dan belum diwariskan atau dituntut oleh waris selain berpunca daripada masalah pengurusan harta pusaka.

“Perlu diingat, harta bukanlah diperolehi secara pipis datang melayang. Harta tidak dimiliki secara bulat datang bergolek. Harta yang diperoleh adalah dengan penat jerih yang diusahakan sepanjang hayat oleh si pemilik harta.

“Mereka mengorbankan keperluan hari ini untuk persediaan memenuhi keperluan anak cucu hari esok. Maka, amatlah malang setelah pemilik harta meninggal dunia, harta tersebut yang bertaraf harta pusaka, ditinggalkan terbeku begitu sahaja dan tidak boleh digunakan.

“Senario ini merupakan satu kerugian kepada waris dan kerugian amat besar kepada umat Islam keseluruhannya,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Kampung Batu Papan dan berbuka puasa bersama rakyat dan pengurniaan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di sini.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan, YB Dato’ Sri Ustaz Syed Ibrahim Syed Ahmad, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad,

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhamad Safian Ismail, ADUN Guai, Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman dan Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Tengku Abdullah bertitah, Islam adalah agama yang syumul, bersifat menyeluruh lagi sempurna, agama yang menggariskan pelbagai panduan merangkumi pelbagai dimensi untuk menangani masalah ummah.

“Islam menggalakkan umatnya memperuntukkan harta yang dikumpul agar diagihkan kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk zakat, wakaf atau diatur mengikut hukum Faraid.

“Namun malangnya, majoriti umat Islam masih kurang pengetahuan tentang urusan pembahagian harta pusaka. Jadi di sinilah Islam membolehkan harta seseorang itu dihadiahkan semasa hidup dalam bentuk hibah atau hadiah agar dapat memberi manfaat kepada ahli keluarga yang ditinggalkan,” titah baginda.

Baginda bertitah, hibah merupakan satu cabang muamalat dan digalakkan untuk diberikan terutamanya kepada anggota keluarga terdekat. Amalan hibah memberi manfaat terutamanya dalam menyelesaikan beberapa pertikaian berkaitan harta pusaka.

“Saya mencadangkam agar Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berganding bahu dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melaksanakan gerakan kesedaran hibah khusus untuk masyarakat Islam di Pahang dengan menyediakan perkhidmatan nasihat mengenai hibah di peringkat negeri, daerah serta mukim diikuti dengan melatih pegawai-pegawai semua masjid di negeri Pahang,” titah baginda.

Sebelum mengakhiri titah diraja, baginda menyempurnakan perasmian Masjid Baharu Kampung Batu Papan dan menamakan masjid tersebut, Masjid Nurul Salam Kampung Batu Papan.

Turut hadir, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman dan YAA Hakim Mahkamah Syarie, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Yunos, Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato’ Nazri Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Abdul Rahim Muda, Pegawai Daerah Bera, YH Dato’ Razihan, Adun Kemayan, YB Dato’ Mohd Fadil Osman dan Adun Triang Pakatan Harapan (DAP), Leong Yu Man.

Sumber: http://www.dirajapahang.my/portaldiraja/?p=15564

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button