PenggunaPengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Pengenalan Perbankan Ejen

Dalam usaha mencapai sektor kewangan yang lebih inklusif, Bank Negara Malaysia telah melancarkan rangka kerja perbankan ejen. Sebagai satu saranan dalam Pelan Sektor Kewangan, inisiatif ini membolehkan institusi kewangan meluaskan perkhidmatan mereka kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan (underserved), khususnya di kawasan luar bandar dengan cara yang lebih berkesan dari segi kos melalui penggunaan saluran runcit bukan bank.

Ejen bank berdaftar akan menyediakan perkhidmatan perbankan asas iaitu menerima deposit dan memudahkan pengeluaran. Perkhidmatan perbankan asas lain yang boleh disediakan oleh ejen bank ialah pemindahan dana, pembayaran bil dan pembayaran balik pembiayaan. Semua transaksi yang dijalankan ialah secara masa nyata bagi melindungi kepentingan orang ramai.

Pada akhir bulan Julai, semasa operasi ‘percubaan’ perbankan ejen, lebih daripada satu juta transaksi bernilai lebih daripada RM190 juta telah dijalankan melalui 2,322 ejen bank yang mewakili tiga buah institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Bagi memastikan perbankan ejen dijalankan secara selamat dan diyakini, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Perbankan Ejen kepada institusi kewangan. Garis Panduan ini menggariskan keperluan yang harus dipatuhi oleh institusi kewangan dalam bidang tadbir urus dan pengawasan, pengurusan ejen bank serta perlindungan, kesedaran dan pendidikan pengguna.

Semua ejen bank berdaftar akan mempamerkan logo kebangsaan perbankan ejen bersama-sama dengan logo institusi kewangan masing-masing. Ini akan memudahkan orang ramai mengenalpasti ejen bank yang sah dan perkhidmatan perbankan asas yang disediakan.

Untuk maklumat lanjut mengenai perbankan ejen, orang ramai boleh menghubungi talian penting institusi kewangan yang mengambil bahagian atau Bank Negara Malaysia di 1-300-88-5465.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 30/Oktober 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button