Pengguna

Pengenalan Kewangan Islam di Malaysia

Industri Perbankan Islam

Perbankan Islam merujuk kepada sistem perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam, yang juga dikenali sebagai undang-undang Syariah. Prinsip-prinsip asas yang mendasari perbankan Islam ialah saling berkongsi risiko dan keuntungan Antara kedua-dua pihak, jaminan keadilan untuk semua dan urus niaga yang dijalankan itu berdasarkan aktiviti perniagaan atau aset asas.

Prinsip-prinsip ini disokong oleh nilai teras perbankan Islam yang menggalakkan aktiviti yang memupuk keusahawanan, menjana perniagaan dan perdagangan serta aktiviti yang menjurus kepada pembangunan kemasyarakatan yang memanfaatkan semua lapisan masyarakat. Aktiviti yang melibatkan faedah (riba), perjudian (maisir) dan urus niaga spekulatif (gharar) adalah dilarang.

Dengan memanfaatkan pelbagai konsep kewangan Islam seperti ijarah (sewa beli), mudarabah (perkongsian keuntungan) dan musyarakah (perkongsian), institusi perbankan mempunyai fleksibiliti, kreativiti dan pilihan yang lebih banyak dalam menghasilkan produk kewangan Islam. Selain itu, dengan menekankan bahawa keperluan terhadap urus niaga harus disokong oleh aktiviti berkaitan perdagangan atau perniagaan yang sebenar, perbankan Islam menetapkan piawaian yang lebih tinggi bagi pelaburan dan menggalakkan kebertanggungjawaban dan pengurangan risiko yang lebih besar.

Kewangan Islam telah berkembang dengan begitu pesat sejak mula diperkenalkan pada tahun 1970-an. Aset perbankan Islam global dan aset di bawah pengurusan kewangan Islam telah mencecah USD1.3 trilion pada tahun 2011.

Terdapat lebih daripada 600 institusi kewangan Islam di 75 buah negara di seluruh dunia. Menurut Asian Banker Research Group, 100 bank Islam terbesar di dunia telah mencatat kadar pertumbuhan aset tahunan sebanyak 26.7% dan industri kewangan Islam global mencatat pertumbuhan purata 15-20% setiap tahun. Industri kewangan Islam di Malaysia telah beroperasi lebih daripada 30 tahun yang lalu. Penggubalan Akta Bank Islam 1983 telah membolehkan Bank Islam yang pertama ditubuhkan. Seterusnya, lebih banyak institusi kewangan Islam telah ditubuhkan di dalam negara berikutan liberalisasi sistem kewangan Islam.

Kejayaan Malaysia membangunkan industri kewangan Islam domestik dalam tempoh 30 tahun telah memberikan asas yang kukuh kepada kestabilan kewangan negara dengan meningkatkan kekayaan,

kepelbagaian dan kematangan sistem kewangan Islam. Pada akhir tahun 2011, aset perbankan Islam Malaysia telah mencapai USD142.1 bilion (RM434.6 bilion) dengan kadar pertumbuhan tahunan purata 16%.

Pada masa ini, kewangan Islam terus berkembang pesat di Malaysia. Ini disokong oleh persekitaran yang kondusif yang terkenal dengan inovasi produk yang berterusan, kepelbagaian institusi kewangan dari seluruh pelosok dunia, pelbagai rangkaian instrument pelaburan Islam, infrastruktur kewangan yang komprehensif dan menerima pakai amalan terbaik pengawalseliaan dan undang-undang global. Malaysia juga telah memberikan lebih penekanan kepada pembangunan modal insan seiring dengan pembangunan industri kewangan Islam bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir dalam kewangan Islam. Semua ini telah mentransformasikan Malaysia menjadi salah satu pasaran perbankan Islam yang paling maju di dunia.

Liberalisasi yang pesat dalam industri kewangan Islam, di samping persekitaran yang memudahkan urusan perniagaan, telah mendorong institusi kewangan asing memilih Malaysia untuk menjalankan perniagaan perbankan Islam. Ini telah dapat memupuk komuniti institusi kewangan tempatan dan antarabangsa yang pelbagai dan semakin besar.

Kini, Malaysia mempunyai sebilangan besar bank Islam yang menjalankan perniagaan perbankan Islam sepenuhnya, termasuk beberapa entiti milik asing; institusi konvensional yang telah menubuhkan subsidiari Islam dan juga entiti yang menjalankan perniagaan mata wang asing. Semua institusi kewangan diberikan kebenaran untuk menjalankan perniagaan dalam ringgit dan bukan ringgit.

Perkembangan dalam industri perbankan Islam ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk memajukan Malaysia sebagai sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa. Pelbagai insentif juga diberikan kepada institusi-institusi perbankan Islam untuk menyediakan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan Islam di Malaysia.

Melangkah ke hadapan, bagi kemajuan sector kewangan Malaysia, satu Pelan Sektor Kewangan baharu untuk tempoh sepuluh tahun (2011-2020) telah dilancarkan pada 21 Disember 2011. Pelan Sektor Kewangan ini juga akan menyumbang ke arah mendorong usaha-usaha untuk terus membangunkan Malaysia menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi. Bagi kewangan Islam, strategi yang disasarkan adalah ke arah pengantarabangsaan yang lebih menyeluruh dengan integrasi yang lebih meluas dalam sistem kewangan global melalui peningkatan perkongsian antara negara, industri dan pasaran merentas pelbagai negara.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 23/Mac 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button