PenggunaPerancangan Kewangan

Pengeluaran Wang KWSP Untuk Pendidikan

Memang tidak dinafikan bahawa faedah yang diperoleh melalui pendidikan amat luas. Pendidikan bukan sahaja menjamin kesejahteraan hidup individu, bahkan turut menyumbang ke arah keutuhan ekonomi serta masyarakat secara amnya. Bagaimanapun, kos pendidikan tinggi yang berkualiti agak mahal dan ramai dalam kalangan ahli masyarakat yang kurang kemampuan untuk membiayainya. Memahami keperluan ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan Pengeluaran Pendidikan untuk membolehkan ahli melanjutkan pelajaran atau membiayai yuran pengajian tinggi anak mereka.

Siapakah yang boleh memohon untuk membuat pengeluaran ini?

Anda boleh memohon untuk membuat pengeluaran ini bagi membiayai yuran pengajian anda atau anak anda di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di dalam atau di luar negara sekiranya anda belum mencapai usia 55 tahun dan masih mempunyai baki dalam Akaun 2.

Berapakah jumlah yang boleh dikeluarkan?

Anda boleh mengeluarkan jumlah keseluruhan yuran pengajian tersebut atau semua baki dalam Akaun 2, tertakluk kepada amaun mana yang lebih rendah.

Berapa kerapkah anda dibenarkan membuat pengeluaran ini?

Bergantung kepada kecukupan baki simpanan dalam Akaun 2, anda boleh memohon untuk pengeluaran ini sekali setiap semester atau setiap tahun akademik bagi membiayai yuran pengajian anda.

Bolehkah pengeluaran ini digunakan bagi membiayai pengajian anak ahli?

Boleh dan ia turut merangkumi anak tiri dan anak angkat yang sah. Anda juga boleh memohon pengeluaran bersama-sama pasangan bagi membiayai pendidikan anak.

Apakah kursus pengajian yang layak dibiayai di bawah pengeluaran ini?

Kursus pengajian yang dibenarkan di bawah Pengeluaran Pendidikan adalah bermula dari peringkat diploma dan ke atas bagi ahli serta anak ahli. Semua program pengajian mestilah dijalankan di Institusi Pengajian Tinggi yang dibenarkan. Senarai penuh kursus pengajian yang dibenarkan boleh diperoleh daripada laman www.kwsp.gov.my

Bolehkah pengeluaran ini dipohon untuk membayar balik yuran yang telah dibayar kepada Institusi Pengajian Tinggi?

Boleh, dengan syarat permohonan dikemukakan dalam tempoh tidak melebihi satu tahun dari tarikh pembayaran dibuat. Ahli hanya perlu mengemukakan resit asal pembayaran yuran pengajian tersebut, buku bank atau penyata asal akaun persendirian yang masih aktif.

Bagaimana caranya untuk memohon pengeluaran ini?

Anda perlu melengkapkan Borang KWSP 9H (AHL) dan mengemukakan bersama-sama salinan kad pengenalan yang telah disahkan, surat tawaran daripada Institusi Pengajian Tinggi untuk anda atau anak anda, sijil-sijil kelayakan akademik yang berkaitan dan dokumen-dokumen tambahan yang dikehendaki oleh KWSP dari semasa ke semasa. Untuk pengajian dalam negara, surat pengesahan pendaftaran pelajar mengikut format KWSP diperlukan dan tarikh surat tidak boleh melebihi enam bulan dari tarikh permohonan diterima.

Jika anda membuat pengeluaran seterusnya, anda dikehendaki menyediakan surat pengesahan pendaftaran daripada institusi berkaitan, kad pelajar dan slip peperiksaan terkini. Untuk maklumat lanjut tentang dokumen-dokumen yang diperlukan, sila layari laman www.kwsp.gov.my

Bagaimanakah pembayaran akan dibuat?

Terdapat tiga kaedah pembayaran bergantung kepada keadaan. Sekiranya anda atau anak anda sedang mengikuti program pengajian di dalam atau luar negara, KWSP akan mengeluarkan cek jurubank di atas nama IPT terbabit. Bagi tujuan pembayaran balik, bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun ahli. Sekiranya pengeluaran adalah bagi menyelesaikan pinjaman pendidikan, pembayaran adalah dalam bentuk cek jurubank di atas nama institusi pemberi pinjaman berkenaan.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Pengeluaran Pendidikan, sila kunjungi pejabat KWSP terdekat, hubungi pusat panggilan di 03-8922 6000 atau layari www.kwsp.gov.my.

Sumber : KWSP/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 19/November 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button