Pelan PenyimpananPenggunaPerancangan Kewangan

Pengeluaran Wang KWSP Apabila Hilang Upaya

Objektif utama penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah untuk menyediakan jaminan kewangan asas semasa persaraan ahli. Oleh itu, sebagai sebuah organisasi yang prihatin dan berorientasikan ahli, KWSP telah memperkenal Pengeluaran Hilang Upaya. Di bawah pengeluaran ini, anda boleh mengeluarkan semua simpanan KWSP sekiranya anda mengalami hilang upaya fizikal atau mental yang menghalang anda daripada terus bekerja. Dengan adanya kemudahan ini, pastinya beban kewangan anda semasa mengalami kesulitan dapat dikurangkan.

Siapa yang layak memohon untuk Pengeluaran Hilang Upaya?

Anda boleh memohon Pengeluaran Hilang Upaya sekiranya doktor atau pakar perubatan telah mengesahkan anda hilang upaya dari segi fizikal atau mental serta tidak lagi mampu untuk terus bekerja. KWSP akan mendapatkan pengesahan doktor pakar dari hospital swasta atau kerajaan yang anda telah atau sedang menjalani rawatan.

Jika anda mengemukakan laporan perubatan yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan swasta ataupun Laporan Pencen Ilat dari PERKESO, anda akan dirujuk kepada dua klinik panel KWSP untuk mengesahkan tahap ketidakupayaan anda. Anda kemudiannya akan dirujuk kepada doktor ketiga untuk pemeriksaan sekiranya salah seorang daripada dua doktor terdahulu tidak menyokong permohonan anda.

Perlukah saya mengemukakan pengesahan tahap kesihatan saya apabila memohon bagi pengeluaran ini?

Ya, anda perlu mengemukakan pengesahan tahap kesihatan anda apabila memohon pengeluaran ini. Sebagai sokongan kepada permohonan pengeluaran ini, anda perlu mengemukakan laporan perubatan yang tidak melebihi jangka masa satu tahun dari tarikh KWSP menerima permohonan anda. Laporan itu perlu mengandungi butiran penyakit atau kemalangan yang mengakibatkan anda hilang upaya selain daripada maklumat berkaitan kesihatan semasa anda.

Bolehkah saya memohon pengeluaran ini sekiranya saya masih mampu bekerja walaupun mengalami hilang upaya?

Tidak boleh. Anda hanya boleh memohon pengeluaran ini sekiranya anda tidak lagi bekerja. Ini kerana anda mungkin telah dibersarakan atau ditamatkan perkhidmatan atas sebab kesihatan oleh majikan anda.

Adakah saya akan ditemu duga semasa membuat permohonan Pengeluaran Hilang Upaya?

Ya. Sebagai sebahagian daripada proses Pengeluaran Hilang Upaya, anda akan ditemu duga oleh pegawai KWSP semasa anda membuat permohonan. Sekiranya anda tidak dapat hadir disebabkan ketidakupayaan anda, temu duga boleh diaturkan di hospital ataupun di rumah anda.

Pegawai penemu duga akan menilai kes dan akan membuat cadangan yang boleh membantu menentukan keputusan permohonan anda.

Berapakah jumlah yang boleh dikeluarkan di bawah pengeluaran ini?

Anda boleh mengeluarkan semua simpanan KWSP anda di bawah Pengeluaran Hilang Upaya.

Bagaimanakah cara untuk saya memohon pengeluaran ini?

Anda perlu melengkapkan Borang KWSP 9L (AHL) serta mengemukakan dokumen sokongan lain, seperti MyKad dan juga buku akaun simpanan atau salinan asal penyata akaun semasa anda di mana-mana cawangan KWSP.

Anda juga perlu mengemukakan laporan perubatan asal sama ada dari hospital kerajaan atau swasta atau klinik sebagai sokongan kepada permohonan anda. Dokumen tambahan lain sebagai bukti anda hilang upaya termasuk Laporan Lembaga Perubatan yang menyatakan keadaan kesihatan anda atau Laporan Pencen Ilat dari PERKESO. Anda perlu memastikan bahawa tarikh semua dokumen ini mestilah tidak melebihi satu tahun dari tarikh KWSP menerima permohonan anda.

Sebagai ahli yang hilang upaya, adakah saya layak menerima Bantuan Hilang Upaya dari KWSP?

Ya. Sebagai ahli hilang upaya, anda layak menerima bantuan tambahan berjumlah RM5,000 sebagai tanda simpati daripada KWSP untuk mengurangkan beban kewangan anda. Kemudahan ini layak dinikmati sekiranya anda berumur kurang daripada 55 tahun dan telah memohon bagi Pengeluaran Hilang Upaya KWSP dalam tempoh 12 bulan selepas anda berhenti kerja atau diberhentikan oleh majikan atas alasan hilang upaya.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Pengeluaran Hilang Upaya, sila hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 atau layari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 23/Mac 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button