Pengguna

Penentuan Harga Baharu bagi Cek akan berkuat kuasa 2 Januari 2015

Pada bulan Mac 2013, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan tentang strategi penentuan harga baharu untuk perkhidmatan pembayaran bagi menangani perbezaan harga antara instrument pembayaran elektronik (e-pembayaran) dengan instrumen pembayaran berasaskan kertas. Di bawah strategi penentuan harga yang baharu ini, fi untuk urus niaga Sistem GIRO Antara Bank (Interbank GIRO, IBG) yang dilakukan melalui Internet dan perbankan mudah alih dihadkan kepada 10 sen berkuat kuasa pada 2 Mei 2013, berbanding dengan kira-kira RM2 sebelum ini, manakala fi baharu untuk memproses cek sebanyak 50 sen akan dikenakan berkuat kuasa 1 April 2014.

Sejak pelaksanaan strategi penentuan harga baharu, urus niaga IBG menunjukkan perkembangan yang menggalakkan. Kadar penumbuhan bulanan meningkat tiga kali ganda kepada 6% atau 10 juta urus niaga dari bulan Mei hingga bulan Disember 2013, berbanding dengan 2% atau 6 juta urus niaga dalam tempoh 8 bulan sebelumnya. Cek yang dikeluarkan juga menurun dengan kadar yang lebih cepat sebanyak -3.3% atau 6.7 juta keping cek pada tahun 2013, berbanding dengan hanya -0.5% atau 1 juta keping cek pada tahun 2012.

Meskipun perkembangan ini adalah menggalakkan, namun keperluan asas e-pembayaran perlu disediakan bagi memudahkan penerimaan e-pembayaran secara menyeluruh, terutamanya oleh agensi Kerajaan peringkat persekutuan dan negeri di seluruh Malaysia. Bagi membolehkan entiti-entiti ini menyediakan peranti yang diperlukan, fi memproses cek sebanyak 50 sen hanya akan berkuat kuasa 2 Januari 2015. Institusi perbankan juga akan mempergiat usaha untuk menyediakan panduan dan insentif yang sewajarnya kepada pelanggan bagi mempercepat penggunaan e-pembayaran.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 47/Mac 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button