Asas PerancanganPengurusan KewanganTip dan Panduan

Pendidikan Kewangan untuk Kanak-Kanak

 

Pendidikan kewangan sewajarnya bermula pada masa kanak-kanak. Sekiranya nilai dan kemahiran kewangan yang bijak dapat disemai dan dipupuk pada peringkat kanak-kanak, mereka akan bersedia untuk menghadapi cabaran kewangan pada masa hadapan.

Mendidik kanak-kanak tentang asas pengurusan kewangan serta memiliki sikap dan nilai yang positif terhadap pengurusan kewangan adalah kritikal untuk pembangunan insan. Asas-asas pengurusan kewangan, seperti menyediakan bajet, perbelanjaan, berjimat cermat dan pengurusan hutang, akan mewujudkan tabiat kewangan yang baik sepanjang hayat.

Didik Tentang Wang

Pada masa ini, perbelanjaan dan urus niaga sering dilakukan dengan menggunakan kad kredit, pembelian dalam talian dan perbankan internet. Kanak-kanak kurang melihat pertukaran wang secara fizikal. Hal ini berkemungkinan menyebabkan mereka sukar untuk memahami ciri-ciri kewangan dan aspek pertukaran dalam pembelian. Ada kemungkinan, kanak-kanak menganggap duit sebagai satu sumber tidak terhad, yang masuk dan keluar melalui akaun bank keluarga mereka. Anda perlu berbincang dengan anak-anak tentang aspek kewangan dan proses pembelian barang menggunakan wang supaya mereka memahami bahawa wang wujud secara fizikal. Mendidik kanak-kanak dalam keadaan sebenar pertukaran wang, akan lebih membantu kanak-kanak memahami punca wang diperoleh dan cara ia dibelanjakan.

Didik Tentang Fungsi ATM

Mesin Juruwang Automatik (ATM) adalah tempat yang baik sebagai permulaan untuk mendidik kanak-kanak tentang wang. Anda boleh menerangkan kepada mereka bahawa bank sebagai tempat untuk menyimpan pendapatan yang anda peroleh sebagai gaji daripada pekerjaan anda. Apabila anda mengeluarkan wang dari ATM, wang itu sebenarnya diambil daripada simpanan anda dan jumlah dalam simpanan anda akan berkurangan akibat pengeluaran tersebut.

Didik Tentang Pembelian

Apabila membeli barang di pasar raya, anda boleh menerangkan kepada anak anda cara suatu harga barang ditetapkan dan perbezaan harga bagi barang yang sama berdasarkan jenama dan timbangan berat. Anda juga boleh mendidik mereka untuk membuat perbandingan harga bagi mendapat nilai yang terbaik. Begitu juga anda boleh memberikan peluang mereka untuk membanding dan memilih barang yang berharga paling rendah. Jika anda hendak memilih barang yang lain, anda perlu menjelaskan kepada mereka mengapa anda memilih barang tersebut.

Didik Tentang Bil Utiliti

Apabila anda membayar bil utiliti seperti bil elektrik, air, siaran televisyen berbayar, internet dan sebagainya, anda boleh menerangkan kepada mereka mengapa anda perlu membayar bil tersebut. Ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada mereka bahawa kemudahan yang mereka gunakan itu bukannya diperoleh secara percuma, tetapi ada kos yang perlu dibayar. Secara tidak langsung, ini juga mendidik mereka supaya mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dengan cara mematikan suis televisyen, lampu dan penyaman udara apabila tidak digunakan.

Didik Tentang Perancangan Bajet

Anda perlu melibatkan anak anda apabila merancang bajet rumah anda. Ini akan memberikan gambaran tentang perbelanjaan rumah kepada mereka. Dengan menerangkan perbelanjaan kepada anak-anak, mereka akan lebih memahami tentang perbelanjaan harian keluarga. Anda juga boleh meminta cadangan mereka bagaimana untuk menjimatkan perbelanjaan tersebut.

Didik Tentang Wang Saku

Anda juga boleh berbincang tentang wang apabila memberikan wang saku kepada anak anda. Mereka perlu memahami tentang perbelanjaan bijak, kepentingan untuk berjimat cermat , menyimpan wang lebihan dan tanggungjawab untuk menderma kepada orang yang kurang berkemampuan.

Didik tentang Keperluan dan Kehendak

Anda juga perlu mendidik anak anda tentang perbezaan antara keperluan dan kehendak supaya mereka dapat membezakan antara perbelanjaan berasaskan keperluan dan kehendak.

Didik Menyimpan Rekod Perbelanjaan dan Tabungan

Galakkan anak anda untuk menyimpan rekod tentang perbelanjaan dan tabungan. Rekod ini perlu dikemas kini dari semasa ke semasa. Anda perlu sering berbincang dengan mereka tentang corak perbelanjaan dan tabungan anak anda.

Didik tentang Perbelanjaan dan Tabungan

Anak-anak juga perlu diberikan kefahaman tentang matlamat perbelanjaan dan tabungan. Sebagai contoh, jika mereka ingin membeli sesuatu barang, mereka perlu menyimpan sebahagian wang untuk membeli barang tersebut. Jika penentuan matlamat ini dapat disemai dalam diri mereka, anak-anak akan bertanggungjawab dalam merancang kewangan dan perbelanjaan mereka. Kanak-kanak juga harus memahami perbezaan antara perbelanjaan dan tabungan serta kadar faedah dalam tabungan. Jika anak-anak berjaya menyimpan sejumlah wang tertentu di rumah, ibu bapa boleh membayar mengikut kadar faedah yang ditetapkan. Didik anak anda cara untuk mengira kadar faedah tersebut. Sekiranya wang simpanan mereka telah banyak, anda boleh membuka akaun simpanan untuk mereka. Ini bertujuan untuk menyemai semangat menyimpan wang secara tetap.

Didik Tentang Keputusan Perbelanjaan

Anda juga perlu menggalakkan anak anda untuk membuat keputusan perbelanjaan. Galakkan mereka untuk membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum membeli. Didik mereka untuk membuat perbandingan harga dan pastikan mereka mendapat nilai yang terbaik untuk wang yang dibelanja.

Didik tentang Peranan Iklan

Apabila menonton iklan di televisyen, anda boleh berbincang dengan anak anda tentang mesej iklan tersebut. Jelaskan kepada mereka bahawa iklan bertujuan untuk menggalakkan mereka untuk membeli barang. Walau bagaimanapun, mereka perlu menilai secara kritikal sama ada barang tersebut benar-benar perlu atau tidak.

Didik tentang Penipuan

Anda juga perlu mendidik anak anda tentang penipuan (scam). Sekiranya sesuatu tawaran adalah terlalu bagus untuk dipercayai, anda perlu meminta mereka supaya berwaspada dengan tawaran seperti itu. Berbincang dengan mereka sama ada tawaran tersebut tulen ataupun penipuan.

Didik Tentang Kad Kredit

Apabila anda membuat pembayaran menggunakan kad kredit, terangkan kepada mereka mengapa anda menggunakan kad kredit. Begitu juga tentang risiko penggunaan kad kredit. Anda juga boleh mendidik mereka tentang jenis kadar faedah apabila menggunakan kad kredit dan cara mengira kadar faedah tersebut.

Mendidik anak-anak anda melalui aktiviti akan membantu anak-anak untuk memahami pengurusan kewangan secara lebih praktikal dan seterusnya dapat menyemai amalan pengurusan kewangan yang bijak dalam diri anak-anak.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button