Asas PerancanganPelan PenyimpananPengurusan KewanganTabiat Menabung

Pendidikan Kewangan Melalui Lensa Anak Muda

Pengalaman mengajar di sekolah berkeperluan tinggi di seluruh Malaysia yang kebanyakan murid-muridnya daripada golongan berpendapatan rendah telah membuka mata empat orang guru muda untuk memperbaiki taraf kehidupan anak murid mereka. Impian tersebut telah mendorong guru-guru ini untuk menjalankan inisiatif bagi membina generasi celik kewangan. Tahap literasi kewangan seseorang individu akan memberi impak ke atas taraf kehidupan bukan sahaja pada murid itu sendiri, tetapi juga ahli keluarganya dalam jangka panjang.

Dengan kesedaran ini, pada tahun 2019, sebuah program literasi kewangan Fun(d) for Life, yang berdasarkan konsep permainan simulasi kehidupan sebenar mula diperkenalkan. Di dalam program simulasi ini, para peserta berpeluang untuk mencuba membuat keputusan kewangan dalam kehidupan sebenar seperti: memilih pekerjaan, kawasan tempat tinggal, jenis kenderaan dan gaya hidup. Tidak ketinggalan, para peserta juga perlu mengambil kira faktor lain seperti bilangan anak, kos sara hidup anak, perlindungan takaful dan pelaburan impanan yang mereka inginkan serta cabaran hidup seperti kemalangan, jatuh sakit atau kematian.

Lebih kurang 100 orang peserta di kalangan murid sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh Malaysia telah melalui simulasi permainan ini di mana mereka dapat merasai sendiri kesan pilihan mereka di sepanjang permainan ini. Pilihan yang dibuat di awal usia memungkinkan peserta melalui kehidupan yang selesa dengan keadaan tahap kewangan yang mampu untuk menampung kehendak hidup mereka di kemudian hari ataupun mereka mungkin jatuh bankrap dan diselubungi hutang.

Setelah tamatnya simulasi permainan Fun(d) for Life ini, sahutan gembira bersilang kesalan sedih dapat dilihat di kalangan para peserta. Peserta juga dapat memahami kepentingan literasi kewangan dan perlindungan takaful dalam membuat keputusan hidup. Ini telah membuktikan betapa berkesannya sebuah program literasi kewangan yang dapat mendidik peserta melalui cara yang interaktif dan seronok dengan keperluan pembelajaran di usia ini.

Ekoran itu, sejak awal tahun 2020, program Fun(d) for Life kini telah dikembangkan lagi melalui www.fundfor.life, selaras dengan objektif program untuk membina generasi celik kewangan. Melalui program ini, faktor pengaruh luaran seperti ibu bapa dan guru juga diambil kira, di samping menyediakan kandungan secara langsung untuk murid berusia 7 hingga 18 tahun. Kandungan portal dibahagikan berdasarkan umur bagi menyampaikan maklumat kewangan yang bersesuaian dalam kategori Tonton, Main, Belajar dan Buat.

Kategori Tonton menyediakan video seperti ‘Bezakan Keperluan & Kehendak’, manakala kategori Main menyediakan permainan seperti ‘Pak Pandir di Bandar’ atau ‘Simbol Mata Wang’. Selain itu, murid juga boleh Belajar melalui maklumat berbentuk infografik seperti ‘Gol-Gol Kewangan’ dan membuat aktiviti secara langsung melalui kategori Buat menggunakan panduan seperti ‘Mempelajari Cara Menggunakan Perkhidmatan Dalam Talian dengan Selamat’. Portal ini juga menyediakan komik berunsur kewangan yang menyelitkan kisah yang mencuit hati sambil mencapai objektif dalam memberi pendidikan kewangan. Sebuah siri video “Kecil-Kecil, Celik Duit” turut membincangkan topik dan persoalan duit daripada perspektif anak-anak muda dalam cara yang santai.

Selain kandungan secara langsung untuk anak muda, portal ini menyediakan panduan aktiviti, tips dan kemahiran yang wajar diambil kira oleh ibu bapa mengikut usia anak mereka. Antara tip penting yang dikongsikan termasuklah memberikan peluang pada anak muda untuk melakukan urusniaga mudah sendiri di kedai seawal 7 tahun dan memperkasakan kemahiran hidup seperti kemahiran memasak, menjual dan menguruskan sesuatu. Kemahiran sebegini penting untuk menjadi asas dalam membina literasi kewangan di masa hadapan, selain mampu membantu anak-anak membina hobi yang produktif dan mungkin dapat menjana pendapatan kelak.

Selain ibu bapa, guru juga merupakan pengaruh kuat kepada murid di usia ini. Selaras dengan Panduan Pelaksanaan Pendidikan Kewangan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, portal Fun(d) for Life juga menyediakan pelan pengajaran dan aktiviti berdasarkan enam elemen celik kewangan yang merentas empat mata pelajaran bagi sekolah rendah dan sekolah menengah: Bahasa Melayu, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Dengan pendekatan interaktif, mudah dibaca dan diakses, program ini diharap dapat membantu membina generasi celik kewangan. Usaha ini juga memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak, untuk mendidik anak-anak muda secara berterusan dengan topik pengurusan kewangan.

Sumber: www.fundfor.life/Edisi 115/Jan 2021

Artikel Berkaitan

Lihat Juga
Close
Back to top button