PenggunaPengurusan Kewangan

Pendidikan Kewangan Dan Pengguna

Adalah cukup penting agar usaha-usaha yang aktif dan berkesan dikendalikan untuk membantu pengguna Malaysia menguruskan kewangan mereka dengan lebih cekap dalam persekitaran yang mencabar ini.

Berdasarkan laporan statistik muflis daripada Jabatan Insolvensi Malaysia dan golongan yang mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, menunjukkan bahawa pengguna Malaysia tidak menguruskan kewangan mereka dengan baik. Mereka tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang produk kewangan dan tidak mempunyai kemahiran untuk membuat keputusan kewangan untuk menjaga kepentingan kewangan mereka.

Kekurangan ini sudah tentu akan memberi kesan terhadap pengurusan harian individu dan keluarga. Begitu juga ia akan mempengaruhi kemampuan untuk membuat tabungan untuk matlamat jangka panjang seperti membeli rumah, mendapatkan pendidikan tinggi bagi diri atau anak dan juga mempunyai tabungan yang cukup untuk persaraan.

Pengurusan kewangan yang kurang berkesan juga boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada krisis kewangan bila menghadapi kecemasan seperti isu perubatan, hilang pekerjaan atau kemalangan.

Jadi, pendidikan kewangan memberi manfaat kepada pengguna dalam setiap peringkat umur dan tahap pendapatan.

Bagi golongan muda dewasa yang baru memasuki alam pekerjaan, ia boleh dijadikan perkara asas bagi menguruskan bajet dan simpanan serta mengawal perbelanjaan serta hutang.

Pendidikan Kewangan boleh membantu sesebuah keluarga membentuk disiplin untuk membuat tabungan sendiri di rumah atau untuk keperluan pendidikan anak-anak. Ia juga menggalakkan penggunaan berhemat dan mengurangkan perbelanjaan di rumah.

Pendidikan Kewangan boleh membantu pekerja yang telah berumur untuk memastikan mereka mempunyai simpanan yang cukup untuk menjalani kehidupan persaraan yang selesa dengan menyediakan mereka maklumat serta kemahiran membuat pelaburan secara bijaksana dan pilihan simpanan.

Pendidikan pengurusan kewangan boleh membantu pengguna yang berpendapatan rendah untuk menggunakan apa yang mereka miliki dan buat keputusan kewangan yang bijak untuk wang mereka semasa membeli sebarang produk kewangan. Untuk pengguna yang mempunyai wang untuk membuat pelaburan, pendidikan pengurusan kewangan dapat meningkatkan kefahaman tentang maklumat kewangan yang asas seperti risiko dan pulangan serta maklumat yang lebih spesifik tentang pelbagai jenis pelaburan.

Pengguna memerlukan pengetahuan tentang pengurusan kewangan untuk menilai dan membandingkan pelbagai maklumat yang kompleks tentang produk dan perkhidmatan kewangan. Tanpa pengetahuan kewangan yang asas, pengguna mungkin tidak dapat membeli produk dan perkhidmatan kewangan yang mereka perlukan atau mungkin mereka telah membeli sesuatu produk kewangan yang tidak diperlukan atau tidak sesuai.

Pendidikan pengurusan kewangan dapat membantu pengguna untuk menjadi lebih berpengetahuan tentang produk dan perkhidmatan kewangan. Pengguna akan mengetahui saluran untuk mendapatkan maklumat kewangan dan memanfaatkannya, serta menggunakan maklumat tersebut untuk membuat keputusan yang lebih baik.

Secara am, pendidikan kewangan adalah proses di mana pengguna boleh meningkatkan kefahaman mereka tentang produk dan perkhidmatan kewangan agar mereka dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat dan melindungi diri daripada pelbagai penipuan serta pengguna boleh mengambil tindakan untuk memperbaiki kedudukan kewangan masa kini dan pada masa hadapan.

Pendidikan pengurusan kewangan boleh membantu pengguna yang berpendapatan rendah untuk menggunakan apa yang mereka miliki ….

Daripada aspek yang lain, operasi pasaran dan persaingan di pasaran akan menjadi kurang cekap sekiranya pengguna tidak ada pengetahuan atau kemahiran untuk menguruskan hubungan mereka dengan institusi kewangan dengan baik. Pengguna yang berpengetahuan dan berkeyakinan akan menuntut dan berunding untuk produk dan perkhidmatan yang memenuhi matlamat jangka panjang dan jangka pendek pengguna.

Oleh itu, penyedia perkhidmatan kewangan dikehendaki menyediakan produk dan perkhidmatan yang mempunyai ciri-ciri yang dituntut oleh pengguna yang berpengetahuan tersebut. Akan tetapi sekiranya pengguna tidak mempunyai pengetahuan, kemahiran atau keyakinan untuk menuntut daripada institusi kewangan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan mereka, pengguna akan terikut-ikut “nasihat” penjual atau agen yang seringkali lebih mementingkan komisyen mereka daripada kebajikan pengguna. Ada kemungkinan keputusan pengguna di dalam konteks ini akan mengakibatkan kerugian dan pembaziran akan dihadapi oleh pengguna.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 12/April 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button