Pengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Pendidikan Kewangan Dalam Sistem Persekolahan

Sesi persekolahan 2021 yang akan bermula tidak lama lagi sememangnya amat dinanti oleh semua. Masyarakat amat mengharapkan agar sesi persekolahan dapat berjalan dengan lancar pada tahun ini demi kesinambungan pendidikan generasi muda kita dalam membangunkan sahsiah mahupun untuk menyemai nilai murni dalam diri murid-murid. Antara nilai yang diketengahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia termasuklah sederhana dalam berbelanja, jimat cermat, bijak buat keputusan, amanah, jujur, bertanggungjawab, rasional dan bersyukur. Nilai murni yang dipupuk akan seterusnya menjelmakan sikap yang baik dalam generasi akan datang.

Antara wadah yang diguna pakai untuk memupuk nilai-nilai murni ini termasuklah melalui penerapan elemen celik kewangan dalam kurikulum sekolah. Bagi tujuan ini, murid-murid sekolah mula didedahkan dengan kemahiran dan ilmu yang berkaitan pendidikan kewangan seawal peringkat pra-sekolah, sekolah rendah sehingga sekolah menengah, di antara usia 5 hingga 17 tahun.

Pendedahan pada usia sebegini adalah amat bertepatan dan tidaklah terlalu awal. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia1, kanak-kanak di Malaysia didapati telahpun menjalankan transaksi kewangan secara aktif pada usia 10 tahun. Antaranya, mereka telah menguruskan wang saku yang diberikan oleh ibu bapa dan mula membentuk tabiat kewangan seperti menyimpan dan berbelanja. Kanak-kanak ini juga mempunyai kesedaran tentang tabiat pengurusan kewangan ibu bapa mereka dan menyatakan ibu bapa mereka sebagai pengaruh utama dalam tabiat perbelanjaan mereka.

Oleh itu, usaha oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ini sememangnya amat bertepatan dan diharapkan akan dapat melahirkan masyarakat yang celik wang dan bijak dalam mengurus kewangan dengan bertanggungjawab. Usaha ini telah dijalankan secara sistematik dengan mengintegrasikan elemen pendidikan kewangan dalam kurikulum persekolahan secara berperingkat sejak 2014. Proses ini lengkap sepenuhnya dengan pengenalan elemen kewangan dalam mata pelajaran baru tingkatan lima yang diperkenalkan pada tahun ini.

Melalui kurikulum yang dibangunkan, pendidikan kewangan dilaksanakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran merentasi tema, mahupun bidang atau tajuk yang bersesuaian dalam sesuatu mata pelajaran. Murid-murid didedahkan kepada elemen ini melalui mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan juga mata pelajaran elektif seperti Sains Rumah Tangga, Ekonomi, Perniagaan dan Prinsip Perakaunan. Pendedahan ini dapat mendidik murid tentang pengurusan kewangan peribadi seharian secara berhemat seperti berbelanja, menyimpan, meminjam, melabur dan dalam menguruskan risiko kewangan.

Seterusnya, pengetahuan dan kemahiran pendidikan kewangan yang dipelajari di dalam bilik darjah ini diperkasakan pula melalui aktiviti ko-kurikulum. Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menjalankan pelbagai aktiviti dan inisiatif pendidikan kewangan yang melibatkan warga Kementerian Pendidikan Malaysia di peringkat pusat, negeri, daerah dan juga sekolah. Ini termasuklah penganjuran ceramah simpanan dan pelaburan, pertandingan pidato pelaburan, kuiz celik kewangan, ceramah pengurusan kewangan, pertandingan menulis esei, membina infografik dan aplikasi bertemakan pendidikan kewangan serta penyiaran Wacana Ilmu: Pengintegrasian Elemen Pendidikan Kewangan dalam Kurikulum Persekolahan.

Sektor swasta, terutamanya penyedia perkhidmatan kewangan, juga menjalin kerjasama dengan pihak sekolah bagi memperkukuhkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keyakinan yang mantap dalam pengurusan kewangan peribadi murid. Aktiviti bertemakan pengurusan kewangan seperti ceramah berkaitan simpanan dan asas pengurusan kewangan, kuiz pendidikan kewangan, pertandingan melukiskomik pendidikan kewangan, aktiviti membuat tabung serta permainan interaktif pendidikan kewangan telah dijalankan secara bersemuka, mahupun atas talian. Pendekatan sebegini dapat mengukuhkan lagi penguasaan pengetahuan dan kemahiran kewangan yang dipelajari oleh murid sehingga berjaya mengubah tingkah laku mereka semasa melaksanakan aktiviti secara hands-on.

Pembelajaran ilmu pendidikan kewangan merupakan proses yang berterusan dan tidak terhenti di sekolah sahaja, malahan perlu diteruskan di luar sekolah. Ibu bapa dan masyarakat umumnya disarankan agar dapat memainkan peranan masing-masing dalam menyokong usaha meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam kalangan generasi muda. Ibu bapa dan masyarakat merupakan model kepada generasi muda dalam membentuk tabiat kewangan mereka. Oleh itu, mereka haruslah peka dengan inisiatif yang telah dilaksanakan ini dan memainkan peranan bagi memastikan pendidikan kewangan dapat diterapkan dalam generasi muda secara efektif. Janganlah mengambil sikap lepas tangan kepada pihak sekolah serta memandang enteng bahawa anak anda masih kecil dan tidak akan terkesan dengan tindak tanduk kewangan anda. Malahan, kajian Universiti Putra Malaysia juga mendapati kanak-kanak seringkali memperoleh maklumat tentang kewangan menerusi pemerhatian dan penglibatan secara tidak langsung dalam aktiviti seharian bersama keluarga. Sehubungan itu, ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam tabiat pengurusan kewangan termasuklah semasa membuat keputusan dalam pembelian mahupun transaksi pembayaran.

FOMCA berpendapat bahawa pengetahuan tentang kewangan adalah aspek yang amat penting bagi pendidikan untuk generasi muda, terutamanya dalam fasa pembentukan diri mereka. Pendekatan pendidikan kewangan secara terancang dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah satu usaha jangka panjang yang dapat menyemai nilai murni berkaitan pengurusan kewangan dalam diri. Pembelajaran tentang cara menyimpan, berbelanja dan hal-hal lain yang berkaitan dengan pengurusan kewangan dapat membantu mereka sebagai persiapan untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik apabila dewasa kelak. Malahan, pendekatan ini juga membantu mereka untuk mendapatkan pendidikan dan mengamalkan tabiat kewangan yang lebih baik untuk mencapai matlamat kehidupan mereka pada masa hadapan. Oleh itu, FOMCA menyeru agar masyarakat Malaysia, terutamanya ibu bapa, dapat memberi sokongan kepada usaha ini demi membina masyarakat Malaysia yang celik kewangan dan mengamalkan tingkah laku kewangan yang sihat pada masa hadapan.

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia/Edisi 115/Jan 2021

Artikel Berkaitan

Lihat Juga
Close
Back to top button