Pengguna

Pendahuluan Tunai yang tidak dibenarkan melalui Kad Kredit

Kejadian berlaku atas Encik T selepas pulang daripada menghadiri majlis di sebuah kelab. Beliau mendapati keretanya telah dipecah masuk. Antara barang penting yang telah dicuri ialah Mykad, lesen, beberapa keping kad kredit dan kad ATM daripada bank-bank yang berbeza.

Encik T membuat laporan polis dan menyatakan bahawa kereta beliau telah dipecah masuk, kehilangan kad kredit, kad ATM dan barang-barang peribadi lain. Beliau turut membuat laporan kepada bank-bank perdagangan berkenaan dan meminta pihak bank menyekat semua kad kredit dan kad ATM beliau.

Tidak lama selepas itu, Encik T dimaklumkan oleh Bank AB (salah satu bank pengeluar kad kredit beliau) bahawa terdapat tiga pengeluaran ATM untuk pendahuluan tunai berjumlah RM3,000 telah dibuat menggunakan salah satu kad kredit Visa Bank AB dengan had kredit sebanyak RM50,000.

Encik T menafikan pengeluaran tersebut dan mendakwa bahawa dia hanya menggunakan kad kredit Bank AB bagi pembelian runcit dan nombor PIN beliau juga tidak dicatatkan / disimpan di dalam dompet beliau. Tambahan pula, tiada urus niaga tanpa kebenaran dilakukan dengan menggunakan mana-mana kad kredit yang dicuri apabila keretanya dipecah masuk. Encik T menegaskan bahawa beliau tidak seharusnya bertanggungjawab untuk pengeluaran yang tidak sah kerana dia bertindak dengan serta merta melaporkan kecurian kad kreditnya kepada Bank AB dan pihak polis.

Penyiasatan kepada Bank AB mendedahkan bahawa tiga pengeluaran wang tunai berjumlah RM3,000 telah dibuat sebelum pihak Bank AB menerima laporan daripada Encik T pada hari kecurian tersebut. Mustahil bagi pihak Bank AB menyekat urus niaga tanpa kebenaran tersebut. Berdasarkan catatan jurnal ATM bank tersebut, tiada kesilapan atau percubaan PIN sah dicatatkan dalam jurnal ATM bagi tiga pengeluaran wang tunai yang tidak dibenarkan tersebut.

Pihak Bank AB membuat kesimpulan bahawa PIN Encik T mungkin telah terdedah dengan beberapa cara. Nombor PIN untuk mengeluarkan pendahuluan tunai melalui ATM adalah sulit dan hanya diketahui oleh pemegang kad sahaja. Nombor PIN Encik T juga hampir sama dengan nombor Mykad beliau (merupakan salah satu barang yang telah dicuri). Ini membolehkan pencuri tersebut meneka dan memasukkan nombor PIN dengan betul. Pihak Bank AB juga memberitahu mengenai kewajipan pemegang kad adalah melindungi kad kredit dan nombor PIN pada setiap masa. Encik T bertanggungjawab sepenuhnya bagi urus niaga tanpa kebenaran kerana telah gagal menggunakan kombinasi nombor PIN yang kukuh, supaya sukar bagi orang lain meneka PIN dengan betul pada percubaan pertama.

Kes ini telah dibawa kepada Biro Pengantaraan Kewangan. Apabila pemeriksaan dibuat ke atas segala keterangan yang dikemukakan, Pengantara bersetuju dengan keputusan Bank AB bahawa terdapat kompromi terhadap PIN Encik T. PIN Encik T, barangkali berkait rapat atau sama dengan butir-butir Mykad Encik T yang menyebabkan pencuri membuat pengeluaran wang tunai yang tidak dibenarkan dengan menggunakan nombor PIN.

Pengantara berpendapat bahawa Bank AB tidak harus dikenakan tindakan kerana tidak melakukan sebarang kecuaian tentang kerugian yang ditanggung oleh Encik T. Oleh itu, Pengantara telah mengekalkan keputusan pihak Bank AB. (Walau bagaimanapun, Bank AB bersetuju untuk mengetepikan semua caj kewangan dan caj lewat yang dikenakan ke atas jumlah yang dipertikaikan).

Sumber: Biro Pengantaraan Kewangan (FMB)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button