Skip to toolbar
Pengguna

Penangguhan Bayaran Premium/ Sumbangan untuk Insurans Hayat/Takaful Keluarga

Wabak COVID-19 yang melanda dunia awal tahun ini memberikan kesan besar kepada kesihatan rakyat dan ekonomi negara. Isi rumah di Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkesan dengan wabak ini. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia menganggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menjejaskan 2.4 juta pekerjaan atau 15.7 peratus jumlah pekerjaan di Malaysia. Manakala, dapatan kajian khas kesan COVID-19 terhadap individu dan ekonomi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pula mendapati hampir separuh atau sebanyak 46.6 peratus responden yang bekerja sendiri mengakui kehilangan sumber pendapatan kesan daripada wabak ini. Kaji selidik itu disertai seramai 168,182 responden yang berumur 15 tahun ke atas secara dalam talian bermula 23 hingga 31 Mac 2020.

Pengendali insurans hayat dan takaful menawarkan kelonggaran

Perubahan corak perbelanjaan dapat membantu mengharungi cabaran kewangan di saat-saat sebegini. Bagi meringankan beban kewangan isi rumah di Malaysia, 25 syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga telah memberikan kelonggaran kepada pemegang polisi/sijil yang terjejas akibat penularan COVID-19 untuk menangguhkan bayaran premium/sumbangan serta fleksibiliti yang berkaitan. Langkah bantuan ini telah diumumkan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) pada 27 Mac 2020. Walau bagaimanapun, elakkan daripada membatalkan perlindungan insurans/takaful anda sekeluarga yang sudah sedia ada.

Kelayakan untuk penangguhan bayaran premium/sumbangan

  • Pemegang polisi/pemegang sijil yang terjejas* secara langsung akibat COVID-19 akan diberikan penangguhan bayaran premium/sumbangan selama tiga bulan (90 hari); dan
  • Hanya untuk premium/sumbangan yang perlu dibayar antara 18 Mac 2020 sehingga 31 Disember 2020.

*Merujuk kepada individu yang telah dijangkiti, dikenakan kuarantin mandatori di rumah atau mengalami kehilangan pendapatan; dan pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mengalami kehilangan pendapatan perniagaan, akibat daripada kesan ekonomi yang terhasil akibat wabak COVID-19.

Permohonan penangguhan pembayaran

Pemegang polisi/sijil yang terjejas boleh membuat permohonan penangguhan daripada syarikat insurans hayat atau pengendali takaful keluarga bermula 1 April 2020 hingga 31 Disember 2020.

Tempoh penangguhan bayaran

Penangguhan bayaran premium/sumbangan 90 hari akan diberikan dari tarikh akhir premium/sumbangan perlu dibayar setelah mendapat kelulusan dan ianya tertakluk kepada terma dan syarat-syarat syarikat insurans atau pengendali takaful. Pemegang polisi perlu membayar balik semua premium/sumbangan yang ditangguhkan selepas tamat tempoh penangguhan bayaran 3 bulan premium/sumbangan.

Fleksibiliti lain untuk mengekalkan atau menghidupkan semula perlindungan

Selain itu, syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga juga menyediakan bantuan berikut kepada pemegang polisi/sijil yang terjejas sehingga 31 Disember 2020:

  • Melanjutkan tempoh yang membolehkan pemegang polisi/ sijil menghidupkan semula polisi/sijil yang telah luput;
  • Memberikan pilihan supaya pemegang polisi/sijil boleh terus membuat bayaran premium/sumbangan dan mengekalkan polisi/sijil mereka. Pilihan ini boleh merangkumi perubahan pada jumlah perlindungan, perubahan pada struktur premium/sumbangan dan pertukaran kepada polisi berbayar (paid up policy);
  • Memberikan pengecualian fi dan caj yang dikenakan untuk mengubah polisi/sijil; dan
  • Memberikan pengecualian apa-apa penalti/akibat daripada kelewatan pembayaran premium/sumbangan, terutamanya jika pemegang polisi/sijil tidak dapat mengakses saluran pembayaran elektronik semasa PKP.

Hubungi syarikat insurans dan pengendali takaful anda

Anda dinasihatkan untuk menghubungi syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga untuk memahami maklumat yang lebih lanjut berkaitan:

  • Manfaat dan terma serta syarat polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga anda;
  • Nasihat berhubung dengan pilihan bayaran balik premium/ sumbangan yang ditangguhkan; dan
  • Kelonggaran/bantuan lain yang ditawarkan oleh syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga dan impak ke atas perlindungan insurans dan takaful anda.

Sumber: www.liam.org.my dan www.bnm.gov.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 112/Julai 2020

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button