Pelan PelaburanPelan PenyimpananPerancangan Kewangan

Penabungan 1/3 Sekarang Bagi 2/3 Penggantian Pendapatan Masa Depan

Seperti yang dinyatakan dalam artikel RINGGIT isu bulan September 2014, adalah penting bagi anda memastikan bahawa memiliki 2/3 penggantian pendapatan gaji terakhir yang disyorkan sebagaipendapatan persaraan bulanan untuk terus menikmati gaya hidup yang anda telah biasakan. Bagi anda yang berkhidmat dalam sektor swasta, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sumber utama dana persaraan anda. Sebagaimana yang diketengahkan dalam artikel sebelum ini, caruman mandatori kepada KWSP mungkin tidak mencukupi untuk menggantikan 2/3 pendapatan akhir anda. Ini juga telah dilaporkan dalam banyak artikel yang mengutarakan keperluan menabung lebih banyak untuk persaraan melangkaui caruman terhadap KWSP.

Pada peringkat kebangsaan, nisbah penggantian pendapatan semasa Malaysia adalah pada tahap 30%, berbanding purata 57% bagi negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Menjelang tahun 2020, Malaysia akan bergerak ke arah masyarakat berusia, dengan 11.3% daripada penduduk dalam usia persaraan, iaitu lebih daripada 60 tahun. Oleh itu, anda perlu menangani kedua-dua isu di peringkat kebangsaan dan individu sebelum ia menjadi masalah sosio ekonomi bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang tidak akan mampu menggantikan 2/3 daripada gaji terakhir mereka.

Maka, apakah penabungan wajar bagi persaraan? Kaji selidik Pentadbir Pencen Swasta (PPA) menunjukkan bahawa anda perlu menyediakan 1/3 pendapatan bulanan anda untuk mencapai 2/3 penggantian pendapatan. Sementara perkara ini dilihat ‘sangat sukar’ dengan paras pendapatan semasa dan hal-hal berkaitan kos kehidupan, untuk memperuntukkan 1/3 pendapatan bulanan, namun ia tetap boleh dilakukan dan tidak setinggi yang anda fikirkan. Sebagai rakyat Malaysia, anda bertuah kerana memiliki caruman mandatori minimum KWSP berjumlah 23% (iaitu 11% daripada pekerja dan 12% caruman minimum majikan). Anda hanya perlu membuat tabungan tambahan 10% atau lebih, untuk menjadikan 1/3 atau 33% tabungan untuk dana persaraan anda.

Rakyat Malaysia amat bertuah kerana terdapat agensi seperti KWSP yang ditubuhkan sebagai Teras Pencen Kedua mandatori. Tanpa KWSP anda terpaksa memperuntuk 1/3 tabungan daripada pendapatan bulanan. Dengan pelancaran Skim Persaraan Swasta (PRS) pada Julai 2012, ia bertujuan untuk menangani nisbah penggantian pendapatan sebanyak 30%. Oleh itu, kini rakyat Malaysia memiliki Teras Pencen Ketiga sukarela bagi membantu mereka melakukan penabungan tambahan bagi menyokong KWSP. Pada masa akan datang, rakyat Malaysia akan memiliki dua teras penabungan persaraan dengan bilangan besar dana mereka datang daripada KWSP dan penabungan tambahan daripada PRS.

Memandangkan anda perlu menggantikan pendapatan apabila anda bersara, bagi menyediakan keperluan semasa tempoh persaraan, maka anda perlu membangunkan dana persaraan untuk menjana pendapatan secukupnya dalam tempoh kerangka masa yang berbaki sebelum mencecah usia persaraan 60 tahun. Matlamat dana ini ialah sebagai persediaan untuk mendapatkan sejumlah wang yang mencukupi berdasarkan paras yang anda inginkan, yang boleh menjana aliran pendapatan persaraan pasif untuk menggantikan 2/3 gaji terakhir anda. Untuk meningkatkan dana persaraan masa depan, anda perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut:

  • Memperuntukkan masa untuk melabur dalam pelan persaraan anda bagi mengumpul dana yang diperlukan bagi menjana penggantian pendapatan untuk persaraan anda.
  • Dapatkan maklumat tentang jumlah dana KWSP yang telah anda kumpulkan sehingga hari ini dan tabungan-tabungan lain untuk persaraan serta penabungan lain yang perlu anda buat.
  • Tetapkan penabungan tambahan untuk melengkapkan keperluan caruman 1/3 persaraan semasa anda bagi melengkapkan 2/3 penggantian pendapatan masa hadapan.
  • Buka akaun PRS anda untuk menempatkan caruman tabungan tambahan ke dalam dana PRS yang akan menyediakan potensi pertumbuhan terkumpul.

Sememangnya, perkara ini perlu diuruskan seberapa awal yang boleh sebelum tarikh persaraan anda makin hampir. Lagi lambat anda membuat perancangan, maka ia menjadi lagi sukar kerana tempoh masa lebih pendek kepada persaraan. Ia memerlukan anda membuat caruman lebih tinggi dan mengehadkan pertumbuhan terkumpul pulangan pelaburan tersebut.

Ia boleh menjadi tugas yang sukar untuk menentukan berapakah pendapatan terakhir anda sebelum bersara. Untuk mengetahui unjuran pendapatan akhir anda berdasarkan usia persaraan 60 tahun, anda secara mudah boleh membuat perkiraan menerusi kalkulator persaraan PPA. Layari www.ppa.my dan ikuti beberapa langkah mudah untuk mengetahui sebanyak manakah simpanan tambahan yang anda perlukan, selain daripada caruman KWSP anda. Unjuran gaji terakhir akan memberikan anda suatu bentuk petunjuk tentang pendapatan yang anda perlukan untuk bersara dan berapa lama ia akan bertahan, selain daripada unjuran bilangan dana persaraan yang anda patut ada untuk menjana pendapatan yang diperlukan. Anda disarankan supaya membuat semakan secara tahunan untuk mengetahui sebarang perubahan kepada kedudukan semasa pendapatan dan kemungkinan kewangan anda.

Dato’ Steve Ong ialah CEO Pentadbir Pencen Swasta (PPA), pentadbir pusat bagi Skim Persaraan Swasta (PRS). PPA juga diberi peranan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk mempromosikan pertumbuhan industri PRS, mewujudkan kesedaran awam dan mendidik orang ramai mengenai penabungan persaraan. PPA juga berperanan melindungi kepentingan penyumbang-penyumbang PRS.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 55/November 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button