Pengurusan Hutang

Pemindahan Baki Kad Kredit: Apakah Manfaatnya?

Kad kredit membolehkan anda membeli barangan atau perkhidmatan tanpa membawa atau menggunakan wang tunai. Apabila anda menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan membayar terlebih dahulu kepada syarikat bagi pihak anda dan menghantar bil kepada anda dalam bentuk penyata bulanan.

Anda mungkin mempunyai beberapa kad kredit. Pada masa yang sama, anda mempunyai baki yang belum jelas terhadap kad kredit. Anda mungkin memikirkan apakah langkah yang perlu dilakukan untuk menjelaskan hutang-hutang kad kredit anda.

Mari sama-sama kita ketahui tentang Pemindahan Baki Kad Kredit.

Apakah Pemindahan Baki Kad Kredit?

Pemindahan Baki Kad Kredit ialah pemindahan baki belum jelas dalam akaun kad kredit yang sedia ada kepada akaun kad kredit baru dengan bank baru (atau syarikat kad kredit baru).

Pemindahan baki kad kredit akan memberi manfaat kepada anda sekiranya anda mendapatkan maklumat dan memilih pelan yang sesuai untuk menyelesaikan hutang-hutang anda.

Walau bagaimanapun, anda perlu meneliti beberapa perkara sebelum membuat keputusan mengikuti program Pemindahan Baki Kad Kredit seperti:

a) Kadar faedah rendah

Anda boleh memilih mana-mana bank dan syarikat kad kredit yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah berbanding kadar faedah yang dikenakan oleh bank yang sedia ada.

b) Tempoh tanpa faedah

Banyak syarikat kad kredit yang menawarkan tempoh tanpa faedah kepada pelanggan seperti Pemindahan Baki Kad Kredit (iaitu baki belum jelas dan anda tidak dikenakan faedah untuk tempoh tertentu). Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada syarikat kad kredit yang anda pilih dan tempoh tanpa faedah yang ditawarkan mungkin menjangkau beberapa bulan atau beberapa tahun.

c) Menyatukan beberapa akaun kad kredit

Bagi anda yang mempunyai beberapa kad kredit, Pemindahan Baki Kad Kredit membolehkan anda menyatukan akaun-akaun kad kredit anda menjadi satu akaun. Anda mungkin tidak perlu lagi mengingati pelbagai tarikh bayaran dan pelbagai terma dan syarat setiap kad kredit. Jika langkah ini dapat memudahkan anda, maka anda boleh mempertimbang untuk memindahkan baki kad kredit anda.

d) Adakah anda dikenakan Yuran Pindahan Baki?

Lazimnya, pindahan-pindahan baki BUKAN PERCUMA. Apabila anda melakukan pindahan baki, syarikat kad kredit baru anda secara lazimnya mengenakan yuran pendahuluan tunai dalam lingkungan 3% daripada jumlah yang ingin dipindahkan. Pastikan anda mempertimbang perkara ini – anda mungkin mendapat penjimatan daripada kadar permulaan anda, tetapi menghadapi bebanan daripada yuran pindahan baki anda!

e) Mengurus hutang kad kredit

Secara tidak langsung, proses mencari kadar faedah yang paling rendah dan memilih pelan yang paling sesuai memaksa anda meneliti kedudukan sebenar akaun kad kredit anda. Sekiranya anda buntu bagaimana hendak membayar balik baki yang telah terkumpul selama beberapa tahun, maka Pemindahan Baki Kad Kredit mungkin dapat membantu memulakan penyelesaiannya.

Pastikan anda benar-benar memahami terma dan syarat sebelum mengikuti Program Pemindahan Baki Kad Kredit. Dapatkan maklumat yang tepat daripada pihak syarikat kad kredit dan bank. Setiap syarikat kad kredit dan bank mempunyai terma dan syarat yang berbeza.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 64/Ogos 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button