Pelan PelaburanPerancangan Kewangan

Pembelian Hartanah Mengikut Kemampuan Anda

Anda tentu mengimpikan sebuah rumah impian yang selesa untuk anda sekeluarga. Untuk mencapai impian tersebut, antara faktor utama yang perlu dilihat ialah kemampuan anda untuk membayar balik pinjaman perumahan yang anda inginkan. Di samping itu, anda perlu mengenal pasti lokasi, harga dan kepelbagaian kemudahan yang berdekatan. Maklumat-maklumat ini boleh diperoleh melalui pencarian atas talian, jualan pameran hartanah, media cetak seperti surat khabar dan majalah ataupun melalui agen penjual hartanah.

Sebelum mula mencari rumah, anda perlu menetapkan dahulu harga rumah yang mampu anda beli. Anda perlu mengira jumlah pembayaran bulanan yang anda mampu bayar berdasarkan jumlah pendapatan boleh guna, perbelanjaan dan tanggungan hutang yang lain. Jika tidak, anda mungkin menghadapai masalah dalam pembayaran balik pinjaman perumahan anda.

Berdasarkan pinjaman perumahan 30 tahun untuk membiayai 90% daripada harga pembelian dengan kadar faedah pada BLR 6.6% – 2% dan katakan anda tidak mempunyai hutang lain, berikut adalah jadual yang boleh dijadikan panduan apabila anda ingin membuat keputusan untuk membeli hartanah:-

Jadual cadangan pembelian hartanah mengikut kemampuan anda

Nota: Hartanah untuk jualan dan harga yang diberikan kepada iProperty.com pada 8 hingga 10 April 2012. Sumber: Personal Money

Anda perlu peka bahawa pembayaran bulanan anda akan meningkat dengan banyak sungguhpun BLR hanya meningkat sedikit.

Tip untuk memperoleh rumah kediaman anda

a) Dapatkan pra-kelulusan pinjaman bank.

Sekiranya anda memperoleh pinjaman bank untuk membiayai pembelian rumah, dapatkan dahulu pra-kelulusan pinjaman bank. Ia adalah bertujuan untuk mendapat kepastian kelulusan jumlah pinjaman yang boleh diluluskan berdasarkan maklumat kewangan peribadi anda. Anda perlu membaca dan memahami terma-terma utama, caj-caj berkaitan dan tanggungjawab anda sebagai peminjam sebelum menandatangani perjanjian pinjaman.

b) Jenis dan lokasi rumah.

Sekiranya anda ingin menetap untuk tempoh yang lama di rumah tersebut, anda perlu membuat kajian dan pemerhatian terhadap keadaan di sekeliling kawasan itu. Perhatikan tentang aspek keselamatan seperti kawasan banjir, tanah runtuh, masalah jenayah ataupun projek-projek berhampiran. Kenal pasti kepelbagaian kemudahan yang terdapat di kawasan berhampiran.

c) Periksa dan dapatkan taksiran harga rumah.

Anda boleh mendapatkan maklumat dengan menyelidik harga semasa melalui akhbar ataupun agen-agen hartanah. Maklumat juga boleh diperoleh daripada khidmat syarikat penilaian hartanah ataupun jabatan kerajaan yang berkaitan.

d) Periksa latar belakang pemaju perumahan

Pilihlah pemaju yang mempunyai pengalaman dan berjaya dalam menyiapkan projek perumahan.

e) Beli rumah yang boleh meningkat nilainya.

Pilih dan beli rumah dengan mengutamakan lokasi. Harga rumah akan meningkat sekiranya lokasi rumah anda strategik dan menjadi tumpuan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 26/Jun 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button