Pengguna

Pembantu Rumah: Membantu Atau Membebankan?

Pembantu rumah merupakan salah satu alternatif lazim yang sering diambil oleh para pengguna yang sibuk bekerja, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak. Tujuan asal untuk meringankan beban, sebaliknya boleh bertukar menjadi suatu permasalahan jika pembantu rumah yang tidak tepat diambil bekerja. Berdasarkan Laporan NCCC tahun 2013, sebanyak 396 aduan direkodkan berkenaan pembantu rumah dan juga agensi yang dipilih.

Kes yang sering dicatatkan di NCCC lazimnya melibatkan pembantu rumah yang tidak kelayakan, iaitu keupayaan pembantu rumah tersebut tidak seperti yang dijanjikan oleh agensi yang menawarkan perkhidmatan. Contohnya, terdapat pengguna yang mendakwa bahawa mereka dijanjikan pembantu rumah yang mahir menjaga kanak-kanak di bawah umur 6 tahun oleh agensi yang terlibat. Namun hakikatnya, pembantu rumah tersebut gagal untuk melaksanakan tugas seperti yang dijanjikan agensi, malah pembantu rumah tersebut membuat pengakuan bahawa apa yang dijanjikan oleh agensi tentang keupayaannya menjaga kanak-kanak di bawah umur 6 tahun adalah tidak benar.

Jadi apakah tindakan yang boleh diambil oleh pengguna dalam situasi seperti ini? Pengguna diingatkan supaya memandang serius setiap butiran yang terkandung di dalam kontrak pekerjaan yang disediakan oleh pihak agensi. Hal ini disebabkan, sesetengah agensi cuba untuk menolak apa jua liabiliti yang mungkin berlaku dengan memanipulasikan terma-terma yang terkandung di dalam kontrak.

Nasihat NCCC apabila berurusan dengan agensi pembantu rumah ialah:

  1. Semak syarat kontrak bagi mengetahui tentang liabiliti kedua-dua pihak iaitu agensi dan majikan;
  2. Pastikan terdapat tempoh percubaan pembantu rumah tersebut sebelum mengambilnya bekerja secara sah;
  3. Periksa jika terdapat tempoh waranti (lazimnya 3 bulan) jika pembantu rumah tersebut gagal mematuhi tanggungjawabnya;
  4. Kaji jadual bayaran gaji/bayaran kepada agensi. Hal ini disebabkan terdapat sesetengah agensi memberikan maklumat yang berbeza apabila berlaku permasalahan. Sebaiknya segala syarat dibuat secara bertulis;
  5. Pastikan kontrak tidak berat sebelah / memihak sebelah pihak sahaja.

Akta Perlindungan Pengguna 1999 memperuntukkan mengenai kontrak berat sebelah, iaitu kontrak seperti ini adalah tidak sah. Akta Kontrak tidak terpakai bagi kontrak yang berat sebelah. Selain itu, Akta Perlindungan Pengguna juga ada memperuntukkan mengenai sesuatu perkhidmatan yang dibekalkan mestilah memenuhi/setara dengan apa yang dijanjikan sebelum perkhidmatan tersebut dibekalkan.

Pada masa ini tidak terdapat badan kawal selia yang memantau aktiviti atau salah laku oleh agensi pembantu rumah. Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya mengambil pembantu rumah melalui agensi-agensi yang tersenarai dalam persatuan agensi pembantu rumah (PAPA). Sekiranya anda merupakan majikan dan kali pertama ingin mendapatkan khidmat pembantu rumah, dapatkan nasihat dan pengalaman daripada majikan yang mempunyai pengalaman mengenai agensi dan pembantu rumah terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini. Namun begitu, bagi pengguna yang ingin mendapatkan ganti rugi, anda boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bagi nilai tuntutan yang tidak melebihi RM25,000. Anda juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada NCCC tentang hak anda dan tindakan yang boleh diambil.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau myAduan@nccc.org.my

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 52/Ogos 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button