Pengguna

Pelanggaran Data Peribadi Menerusi Pembelian Dalam Talian

Sejak kebelakangan ini, terdapat ramai pengguna yang menjadi mangsa penipuan pembelian dalam talian. Aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) pada 2016 sebanyak 7,371, dengan jumlah kerugian melebihi RM5 juta.

Tidak dapat dinafikan bahawa membeli secara dalam talian sangat mudah dan menjimatkan masa kerana proses membeli hanya di hujung jari sahaja.

Penipuan pembelian dalam talian bukan sahaja melibatkan penjual yang mungkir janji, barang yang dipesan tidak diterima/rosak, tetapi apa yang merunsingkan adalah pelanggaran data pengguna.

Selain itu, nombor kad pengenalan yang disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu boleh menyebabkan kerugian, bukan sahaja dari segi wang tetapi berkemungkinan digunakan untuk melakukan jenayah. Kecurian identiti semakin berleluasa dan kegiatan seperti ini juga dikenali sebagai jenayah siber.

Apa yang pengguna harus tahu adalah maklumat peribadi seseorang individu yang diproses untuk tujuan transaksi komersial dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (2010).

Antara hak individu yang diberikan oleh Akta Perlindungan Data Peribadi ialah :

  1. Hak untuk diberitahu sama ada data mereka diproses oleh sesebuah organisasi.
  2. Hak untuk mengakses data peribadi.
  3. Hak untuk membetulkan data peribadi.
  4. Hak untuk menarik balik kebenaran memproses data peribadi.
  5. Hak untuk menghalang pemprosesan yang mungkin menyebabkan kerosakan atau tekanan.
  6. Hak untuk menghalang pemprosesan bagi maksud pemasaran langsung.

Jika individu merasakan bahawa data peribadi mereka telah disalahgunakan, pengguna boleh membuat aduan dengan segera kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui talian: 03-89115000 atau e-mel: aduan@pdp.gov.my. Aduan juga boleh dibuat kepada NCCC melalui talian, 03-78779000 atau e-mel: myAduan@nccc.org.my. Kegagalan mana-mana pihak mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi merupakan satu kesalahan jenayah, dan jika disabitkan kesalahan, hukuman setimpal akan dikenakan.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button