Pelan PerlindunganPenggunaPerancangan Kewangan

Pelan Takaful Pendidikan Anak

Pelan Takaful Pendidikan Anak (PTPA) ialah pelan takaful yang memberikan perlindungan dan simpanan jangka panjang untuk membiayai perbelanjaan pendidikan tinggi anak anda. Anak anda akan disediakan dengan manfaat kewangan jika anda ditimpa tragedi yang dilindungi di bawah pelan ini. Pada masa yang sama, anak anda akan mempunyai simpanan jangka panjang (dana pendidikan) untuk pendidikan tinggi mereka.

Jika anda menyertai PTPA, anda juga layak memperoleh pelepasan cukai pendapatan sehingga maksimum RM3,000 setahun bagi kombinasi keduadua pelan perubatan dan pendidikan. Pelan ini juga menawarkan rider atau perlindungan tambahan di bawah takaful keluarga untuk anda dan anak. Perlindungan tambahan atau rider ini melindungi anda daripada kemalangan peribadi dan hilang upaya, faedah rawatan hospital, perbelanjaan pengebumian dan penyakit-penyakit kritikal.

Ciri-ciri Utama

  • Terbuka kepada semua individu berumur 18 hingga 55 tahun dan anak-anak berumur 15 hari hingga 17 tahun.
  • Pilihan tempoh matang yang terhad.
  • Tidak ada rampasan (no forfeiture) jika berlaku pembatalan.
  • Kemudahan pengeluaran sebahagian dana.
  • Perkongsian lebihan dengan pengendali takaful.
  • Memperuntuk simpanan dan pelaburan jangka panjang.

Memilih Pelan Takaful

Jika anda berminat untuk mendapatkan PTPA, sentiasalah:

  • Memilih pelan yang benar-benar sesuai dengan keperluan anda.
  • Mengenali jenis takaful yang ada serta kelebihan dan manfaat yang ditawarkan.
  • Memahami terma dan syarat penting yang digunakan di dalam PTPA. Sekiranya ada perkara yang anda tidak fahami, ajukan pertanyaan anda kepada ejen atau pengendali takaful untuk memahami maksud terma-terma tersebut.

Jenis Pelan – Asas

1) Takaful Pendidikan Anak Biasa

Anda dan anak anda akan menerima manfaat kewangan apabila berlaku kematian atau hilang upaya kekal, serta simpanan jangka panjang (dana pendidikan), dan keuntungan pelaburan yang akan diagihkan apabila berlaku tuntutan, matang atau penyerahan awal.

2) Takaful Pendidikan Anak Berkaitan Pelaburan

Sebahagian daripada caruman anda digunakan untuk membeli saham, seperti saham ekuiti dan sekuriti berpendapatan tetap. Sebagai tambahan kepada perlindungan takaful biasa yang melindungi kematian dan hilang upaya kekal, unit-unit pelaburan ini akan dijual apabila berlaku tuntutan, matang atau penyerahan awal

Sebahagian daripada terma penting adalah:-

  • Caruman

Caruman ialah sejumlah wang yang anda bayar secara berkala kepada pengendali takaful. Anda boleh memilih untuk membayar secara bulanan, suku tahunan, separuh tahunan atau tahunan.

  • Tempoh tangguh

Jika anda lambat menjelaskan caruman, tempoh tangguh 30 hari akan dibenarkan untuk anda menjelaskan ansuran caruman takaful. Jika anda meninggal dunia semasa tempoh tangguh, waris anda layak membuat tuntutan. Walau bagaimanapun, ansuran caruman takaful yang belum dijelaskan akan ditolak daripada manfaat takaful anda.

  • Tempoh matang

Lazimnya PTPA matang apabila anak anda mencapai umur 18 hingga 22 tahun.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 34/Februari 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button