Skip to toolbar
Pelan PenyimpananPengurusan Kewangan

Pelan Tabungan Sebagai Komitmen Kewangan

Adakah anda seorang pemboros atau seorang penyimpan? Jika anda adalah seorang penyimpan, maka amalan ini memang baik untuk anda. Ini adalah cara yang baik untuk menguruskan kewangan anda. Namun jika anda adalah seorang yang boros, mungkin pada masa ini anda sedang menikmati keseronokan hidup, tetapi pada satu masa nanti, anda akan menghadapi masalah peribadi atau masalah keluarga yang serius.

Jika anda adalah seorang pemboros, sudah sampai masa untuk menanam nilai kawalan diri dalam diri anda sebelum terpaksa menghadapi sebarang krisis peribadi atau keluarga. Walaubagaimanapun, jika anda adalah seorang pemboros, jangan terlalu susah hati. Ramai pengguna Malaysia yang bersikap seperti anda. Mereka lebih mudah berbelanja daripada menyimpan. Kaji selidik yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2010 menunjukkan bahawa bagi setiap tiga orang pengguna yang ditanya, seorang mengaku mendapat lebih kepuasan membelanjakan wang berbanding menyimpan wang mereka. Malahan, hampir separuh rakyat Malaysia menganggap wang memang untuk dibelanjakan (berbanding untuk disimpan).

Pengaruh media dan kawan sebaya sering memberikan mesej yang jelas, iaitu ’Belanja! Belanja! Belanja!’. Sama ada melalui televisyen, internet, majalah atau surat khabar – anda diserang bertubi-tubi dengan desakan untuk membeli iaitu mengajak untuk membeli kereta! membeli jeans! membeli kasut! Apa sahaja asalkan membeli.

Pada 50 atau 60 tahun dahulu, wang yang ada ditangan pengguna begitu sedikit berbanding dengan hari ini. Ketika itu mereka kurang berbelanja. Pada masa itu tidak ada televisyen, tidak ada pasar raya besar, tidak ada telefon bimbit dan tidak ada barang mewah.

Pada masa sekarang pula, anda hidup dalam masyarakat yang menekankan perbelanjaan dan nilai materialisme. Identiti seseorang ditentukan oleh apa yang dimilikinya – jenama kereta, lokasi kediaman dan jenama pakaian, dan bukannya sumbangan kepada masyarakat.

Tambahan pula dengan adanya kad kredit dan pinjaman cara lain, kaedah berbelanja bukan sahaja berdasarkan duit yang ada sekarang, tetapi boleh berbelanja berdasarkan duit yang bakal diperolehi. Jika harga sehelai seluar jeans adalah RM 250, anda tidak perlu mempunyai RM 250 sekarang. Anda hanya perlu ada RM 12.50 pada hujung bulan apabila menerima penyata kad kredit. Tidakkah mudah untuk berbelanja?

Oleh kerana tekanan daripada dua aspek tersebut serta desakan membeli dan kemudahan kredit yang mudah, maka bukan mudah untuk menyimpan; lebih mudah untuk berbelanja. Walaupun tidak mudah untuk menjadi seorang yang komited terhadap menyimpan, tetapi ia boleh dibuat.

Menurut kajian oleh BNM, 2 orang daripada 5 orang rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang hanya dapat bertahan selama kurang daripada sebulan sekiranya mereka kehilangan sumber pendapatan. Jika anda tidak memulakan tabiat menyimpan secara sukarela, biasanya apabila berlaku sesuatu masalah atau krisis tentu, ia akan menjadi pengajaran kepada diri anda. Sebagai contoh, apabila anda atau keluarga anda menghidap penyakit yang memerlukan rawatan yang mahal dan anda tidak ada simpanan yang mencukupi, ia akan menjadi pengajaran kepada kita.

Seterusnya, apabila anak anda ingin melanjutkan pelajaran atau anda ingin membeli rumah sendiri, dan tidak mempunyai simpanan, maka itu juga menjadi pengajaran. Maka, sebelum keadaan “mengajar”, adalah lebih baik jika anda mulai dengan rela dan membuat satu komitmen untuk menyimpan.

Sebenarnya konsep simpanan adalah mudah iaitu anda hanya perlu berbelanja kurang daripada pendapatan anda. Tetapi mengapakah masih sukar untuk menyimpan duit?

Seringkali jawapan yang diberikan adalah, “Saya suka menyimpan, tetapi gaji saya adalah tidak cukup. Selepas membayar bil, wang saya sudah habis.” Alasan ini bukan sahaja diberikan oleh mereka yang berpendapatan rendah, tetapi juga yang berpendapatan tinggi. Walaupun anda mendapat kenaikan gaji, tetapi perbelanjaan juga akan bertambah.

Untuk merancang masa hadapan kewangan anda, tindakan pertama yang perlu dilakukan ialah mengetahui dengan tepat, apakah sebenarnya perbelanjaan anda. Adakah wang anda habis digunakan untuk membayar bil atau membayar hutang untuk membeli barang mewah? Sekurang-kurangnya untuk satu tempoh tertentu seperti satu atau dua bulan, anda perlu menyenaraikan secara terperinci setiap perbelanjaan. Kemungkinan besar anda akan terperanjat dengan perbelanjaan sebenar anda. Analisis perbelanjaan anda akan memberi panduan untuk membantu mengurangkan perbelanjaan dan menggunakan baki perbelanjaan sebagai simpanan.

Keduanya, anda perlu mempunyai pelan tabungan. Pelan ini harus merangkumi perancangan dari aspek pembelian masa hadapan seperti membeli rumah, majlis perkahwinan anda, pendidikan anak anda dan percutian pada setiap tahun. Tidak lupa juga, anda harus memperuntukkan tabungan untuk menghadapi sebarang krisis seperti perubatan, kerosakan kereta dan kecemasan keluarga yang lain.

Sebagai insentif untuk menabung, anda perlu berusaha untuk memahami kuasa kaedah penambahan wang secara kompoun, iaitu mengetahui bagaimana nilai duit anda akan meningkat dengan banyak jika anda dapat menabung untuk satu jangka masa yang lebih lama.

Anda juga perlu membentuk tabiat untuk menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan untuk mengawal perbelanjaan dan simpanan anda dengan lebih baik. Ambillah inisiatif ini melalui kesedaran dan tindakan anda. Jangan biarkan sesuatu musibah sebagai pengajaran bagi anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 10/Februari 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button