Pengguna

Pelaksanaan Skim Ombudsman Kewangan

Pada 28 September 2016 yang lalu, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan bahawa Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OPK) akan memulakan operasi sebagai pengendali skim ombudsman kewangan pada 1 Oktober 2016. Ombudsman Perkhidmatan Kewangan diluluskan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk menyediakan saluran yang adil dan berkesan bagi pengguna kewangan menyelesaikan pertikaian dengan penyedia perkhidmatan kewangan.

OPK berperanan sebagai mekanisme bantuan penyelesaian yang bebas dengan formaliti yang minimum bagi pengguna kewangan menyelesaikan pertikaian dengan penyedia perkhidmatan kewangan. Perkhidmatan ini merupakan alternatif kepada pengguna kewangan, dan bukan untuk menggantikan tindakan undang-undang yang diambil di mahkamah. Perkhidmatan Ombudsman untuk Perkhidmatan Kewangan diberikan secara percuma kepada pengguna kewangan.

OPK akan beroperasi selaras dengan prinsip kebebasan, keadilan dan kesaksamaan, kebolehcapaian, kebertanggungjawaban, ketelusan dan keberkesanan. OPK ditadbir urus oleh lembaga pengarah yang diketuai oleh YBhg. Tan Sri James Foong, Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara dan telah dilantik sebagai Pengerusi Ombudsman Perkhidmatan Kewangan.

Menurut Encik Jeremy Lee, Ketua Pegawai Eksekutif OPK, beliau berkata, “Pelaksanaan skim ombudsman kewangan baharu ini tepat pada masanya. Ia mengukuhkan lagi rangka kerja perlindungan pengguna kewangan dalam persekitaran yang semakin pelbagai serta tawaran produk dan perkhidmatan kewangan yang kompetitif.

Bagi mengendalikan skim ini, Ombudsman Perkhidmatan Kewangan menggabungkan pengaturan tadbir urus dan pengendalian yang dipertingkatkan, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa bagi menggalakkan penyelesaian pertikaian yang adil, berkesan dan bebas.”

Pengguna kewangan boleh merujuk pertikaian yang layak yang melibatkan bank, syarikat insurans, pengendali takaful, institusi kewangan pembangunan, pengeluar instrumen pembayaran yang ditetapkan, broker insurans dan broker takaful serta penasihat kewangan kepada OPK untuk penyelesaian. Pertikaian yang difailkan melalui OPK hendaklah tidak melebihi RM250,000. Had yang lebih rendah terpakai bagi pertikaian mengenai tuntutan insurans motor bagi kerosakan harta pihak ketiga dan urus niaga tanpa kebenaran yang melibatkan instrumen pembayaran dan saluran pembayaran.

Maklumat lanjut mengenai pertikaian yang layak yang termasuk dalam skim ombudsman kewangan dan prosedur untuk mengemukakan pertikaian dalam skim ombudsman kewangan boleh didapati di laman sesawang Ombudsman Perkhidmatan Kewangan di www.ofs.org.my. Orang ramai juga boleh menghubungi OPK atau datang semasa waktu pejabat (8.30 pagi hingga 5.30 petang, hari Isnin hingga Jumaat).

Alamat:
Tingkat 14, Blok Utama,

Menara Takaful Malaysia,
No. 4, Jalan Sultan Sulaiman,
50000 Kuala Lumpur
Tel: 03 2272 2811
Faks: 03 2272 1577
E-mel: enquiry@ofs.org.my

Sumber : Bank Negara Malaysia

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button