Pelan Pelaburan

Pelaburan ‘Lain’ Yang Perlu Anda Buat Selain Daripada Pelaburan Kewangan

Apabila bercakap tentang pelaburan, perkara yang bermain dalam fikiran anda ialah modal pelaburan dan keuntungan pelaburan tersebut. Semua ini melibatkan kewangan. Namun, terdapat juga beberapa bentuk pelaburan lain yang bukan berbentuk kewangan yang perlu anda berikan perhatian.

  1. Kesihatan

Ini adalah pelaburan paling besar yang anda perlu buat. Tanpa kesihatan yang baik, sukar untuk anda membuat pelaburan yang lain. Kebanyakan orang kaya menitikberatkan kesihatan mereka kerana mereka percaya kesihatan yang baik akan membantu mereka menjadi lebih kaya.

Bagaimana mahu melabur untuk kesihatan? Terdapat tiga perkara yang anda perlu berikan perhatian, iaitu pemakanan, senaman dan perlindungan. Pemakanan yang perlu anda ambil mestilah dari sumber yang berkhasiat. Ini bagi mengelakkan anda menghidap penyakit serius pada masa akan datang.

Walaupun anda sibuk dalam urusan pekerjaan atau perniagaan, anda masih perlu mengambil makanan mengikut jadual yang disarankan. Di Malaysia, makanan seperti nasi lemak, mi goreng atau roti canai memang menjadi kegemaran orang ramai. Namun, jika diambil dengan kuantiti yang banyak serta berulang kali, makanan tersebut akan memudaratkan anda.

Jangan lupa untuk sentiasa bersenam bagi mendapatkan tubuh badan yang sihat. Jika anda tidak mempunyai masa untuk bersenam pada waktu pagi dan petang, anda mungkin boleh pergi ke gym pada waktu malam untuk bersenam. Cara lain paling mudah adalah dengan melibatkan diri dengan permainan seperti badminton atau futsal.

  1. Ilmu

Jangan sesekali menganggap anda sudah mempunyai semua ilmu. Walaupun sudah berjaya, teruskan melabur dalam ilmu. Pelaburan ilmu sama juga seperti anda pergi ke universiti untuk mendapatkan ilmu di dalam kelas.

Cara paling mudah untuk melabur dalam ilmu adalah dengan membeli buku yang bermanfaat. Buku-buku seperti pengurusan kewangan, pelaburan hartanah, perniagaan dan juga pelaburan saham boleh dijadikan sebagai pelaburan awal sebelum anda melakukan pelaburan yang sebenar. Namun, tidak semua orang sanggup melabur RM50 semata-mata untuk beli buku.

Kebanyakan orang yang berjaya mempunyai hobi yang sama, iaitu suka membaca. Selain membeli buku, anda boleh datang ke seminar yang dianjurkan. Apabila datang ke seminar, anda bukan sahaja menambah ilmu, malah mendapat kenalan baru.

Dengan ilmu, anda boleh mula merancang kewangan anda dengan baik. Anda juga boleh membezakan perbelanjaan yang menjadi keperluan dan juga kehendak.

  1. Keluarga

Pelaburan yang paling tidak ternilai harganya ialah keluarga. Semua orang mahu kebahagiaan dalam keluarga. Oleh itu, rancanglah sebaiknya hidup anda supaya tidak terlepas pandang pelaburan paling bernilai ini.

Jika sibuk bekerja di pejabat, ambil cuti untuk menghabiskan masa sebaiknya dengan keluarga. Mereka adalah tulang belakang yang sentiasa memberi sokongan dalam hidup kita. Kebanyakan mereka yang mahu bekerja sendiri adalah kerana mahu menghabiskan banyak masa mereka bersama keluarga.

Mungkin anda boleh merancang untuk bersara lebih awal supaya anda dapat menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga anda. Untuk bersara awal atau ketika usia muda, anda perlu bekerja keras pada peringkat awal termasuk menambah pendapatan serta meningkatkan lagi pelaburan anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 90/Oktober 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button