Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Pekerja Muda Hadapi Masalah Hutang Serius

Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna, Malaysia (ERA Consumer Malaysia) dan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) telah menjalankan satu kajian terhadap perilaku dan tabiat kewangan golongan pekerja muda. Kajian berdasarkan kaji selidik ini mensasarkan kepada golongan pekerja muda yang berusia antara 18 tahun hingga 35 tahun di sekitar wilayah tengah Semenanjung Malaysia (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya). Responden dipilih berdasarkan pangkalan data yang diberikan oleh Jabatan Statistik Malaysia. Saiz sampel kajian tersebut ialah sebanyak 1,002.

Penemuan yang utama

Hasil kajian telah menunjukkan bahawa lebih kurang 47% pekerja muda mempunyai hutang yang serius, iaitu lebih daripada 30% daripada gaji bulanan mereka digunakan untuk membayar hutang. Pembiayaan tetap bulanan mereka terdiri daripada pinjaman rumah, pinjaman kereta, pinjaman peribadi, pinjaman pelajaran dan insurans.

Kajian juga mendapati, 37% pekerja muda mengaku bahawa mereka berbelanja melebihi daripada tahap kemampuan mereka. Ini merupakan salah satu penyebab utama yang akan mengakibatkan seseorang menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan.

Selain itu, terdapat 37% pekerja muda tidak pernah memikirkan tentang pelan persaraan mereka. Bagi yang pernah berfikir tentang persaraan pula, 60% daripada mereka tidak berpuas hati atau kurang berpuas hati tentang pelan persaraan mereka. Ini menunjukkan pekerja muda tersebut kurang pendedahan tentang kepentingan pelan persaraan. Kebanyakan mereka beranggapan bahawa persaraan merupakan sesuatu yang tidak perlu difikirkan, atau hanya perlu risau sehingga tiba masa untuk mereka bersara.

Responden juga ditanya soalan “Bagaimana anda menilai pengetahuan kewangan peribadi anda?” Responden dikehendaki memilih skala 1 hingga 6 tentang pengetahuan mereka tentang kewangan peribadi, iaitu skala 1 menunjukkan mereka mempunyai pengetahuan yang baik tentang pengurusan kewangan peribadi, manakala skala 6 tidak mempunyai pengetahuan langsung. Skor purata bagi persepsi pengetahuan kewangan individu adalah 3.4. 43% daripada pekerja muda tersebut memilih skor 4 dan ke atas, yang bermaksud mereka mempunyai sedikit pengetahuan tentang kewangan peribadi.

Selain itu, responden juga menilai diri mereka dalam menguruskan kewangan peribadi pada skala 1 hingga 5, iaitu skala 1 menunjukkan mereka dapat menguruskan wang dengan sangat baik dan 4 pula adalah lemah, manakala skala 5 adalah tiada sebarang pendapat. 61.3% daripada responden mengaku bahawa mereka lemah dalam menguruskan kewangan.

 

 

Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan

Untuk menangani tentang isu-isu pengurusan kewangan yang lemah dalam kalangan pekerja muda, FOMCA telah mencadangkan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan untuk menyepadukan dan menyelaras pendidikan kewangan bagi semua sektor, termasuk sekolah, pekerja muda, masyarakat dan keluarga. Pendidikan kewangan dapat membantu pengguna dalam menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik serta mempunyai pengetahuan tentang sesuatu produk dan perkhidmatan kewangan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 31/November 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button