Pengguna

Panggilan Penipuan

Dalam era teknologi maklumat pada masa ini, penipu ataupun scammers menjadi semakin pintar, terutamanya dengan bantuan teknologi yang semakin berkembang dan canggih. Sebahagian daripada penipuan yang sering dilaporkan di Malaysia adalah penipuan dalam talian (online scam), penipuan loteri, African Scam, penipuan pelaburan dan sebagainya.

Baru-baru ini, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima panggilan daripada seorang mangsa, Cik Chong (bukan nama sebenar), yang mendakwa beliau telah menerima panggilan daripada nombor yang tidak diketahui. Pemanggil mendakwa dirinya sebagai seorang anggota polis. Pemanggil tersebut menyebut nama dan nombor pengenalan mangsa, yang didapati benar. Pemanggil memberitahu mangsa bahawa beliau sedang disiasat atas beberapa kesalahan, termasuk kes dadah dan pengubahan wang haram.

Terkejut dengan apa yang beliau dengar, mangsa menafikan dakwaan tersebut. Bagaimanapun, ini tidak menghalang pemanggil daripada mengancam mangsa dengan mengatakan hukuman bagi kesalahan itu adalah sangat berat dan mangsa boleh digantung sampai mati atas jenayah yang telah dilakukannya. Selain itu, pemanggil juga mengatakan gambar mangsa akan disiarkan di akhbar dan saluran berita tempatan.

Untuk menyelesaikan masalah ini, mangsa terpaksa membuat pemindahan wang sebanyak RM30,000.00 ke sebuah akaun dan beliau perlu berbuat demikian sebelum akaunnya dibekukan oleh pihak berkuasa. Mangsa kemudiannya diberitahu bahawa seorang ‘Sarjan’ akan memanggil mangsa untuk menasihati tindakan seterusnya apabila pembayaran telah dibuat. Sekiranya mangsa gagal membayar, beliau akan direman selama 45 hari dan kos untuk mengikat jamin akan meningkat sehingga RM700,000.00.

Mangsa yang mula berasa sangsi dengan permintaan pemanggil itu, terus meminta bantuan daripada keluarganya. Tindakan cepat mangsa telah menghalang mangsa daripada memindahkan wang titik peluhnya kepada akaun penipu tersebut.

Mangsa kemudiannya dinasihati oleh ahli keluarga untuk membuat laporan polis. Polis telah mengesahkan bahawa penipuan sedemikian pernah dilaporkan dan menggesa mangsa supaya berwaspada.

Nasihat daripada NCCC

  1. Jika suspek mendesak anda untuk menyerahkan maklumat peribadi seperti kad kredit anda atau apa jua maklumat peribadi, kemungkinan besar pemanggil tersebut adalah penipu (scammer). Hentikan panggilan tersebut dan laporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.
  2. Jangan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil tanpa berunding dengan sesiapa terlebih dahulu. Hubungi polis atau institusi kewangan yang berkaitan untuk mendapatkan pengesahan.
  3. Jika pemanggil memperkenalkan dirinya mewakili institusi kewangan, jangan dedahkan nombor akaun atau butiran kad kredit. Cuba hubungi institusi kewangan tersebut dengan merujuk maklumat yang betul di laman sesawang mereka untuk mendapatkan pengesahan.
  4. Jangan panik dan bertenang, supaya anda boleh berfikir dengan waras dan menangani masalah dengan lebih berkesan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 94/Februari 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button