Pengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Panduan Perancangan Kewangan Untuk Ibu Tunggal

Sebagai ibu tunggal, anda mempunyai beban kewangan yang sama seperti orang lain, cuma anda tidak mempunyai pasangan untuk berkongsi bebanan tersebut. Pinjaman perumahan, sewa beli, bil-bil, makan minum, perbelanjaan anak-anak dan sebagainya terpaksa ditanggung bersendirian. Keadaan ini amat merumitkan terutamanya di peringkat awal kerana dahulu anda berkongsi pendapatan dengan suami, tetapi sekarang semua bebanan tersebut terletak di bahu anda seorang diri. Kalau tidak betul caranya, mungkin anda akan mengalami masalah kewangan yang serius dan hidup dalam keadaan tertekan.

Sebagai ibu tunggal, perancangan kewangan adalah sangat penting dalam kehidupan anda. Ia bakal menentukan masa depan dan lebih penting lagi keluarga anda, iaitu anak-anak yang disayangi. Berikut disenaraikan beberapa petua yang dapat membantu anda mengurus wang dengan lebih bijak:

Panduan 1: Buat Bajet

Setiap orang, tidak kira sama ada bujang ataupun sudah berkahwin, perlu merancang bajet bagi pengurusan pendapatan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, sekiranya anda seorang ibu tunggal, keperluan membuat bajet adalah lebih besar lagi kerana pendapatan yang terhad perlu disalurkan kepada pelbagai perbelanjaan. Ibu tunggal perlu mempunyai perancangan belanjawan seisi rumah dan berdisiplin dalam mematuhi bajet tersebut. Senaraikan pendapatan anda dan bandingkannya dengan senarai perbelanjaan. Kenal pasti bagaimana anda boleh memastikan pendapatan adalah melebihi perbelanjaan ataupun seimbang.

Panduan 2: Buat Konsep “Bayar Diri Sendiri Dahulu”

Apabila membuat bajet, jangan lupa untuk menyediakan peruntukan setiap bulan untuk perancangan tabungan. Perancangan ini ada kalanya dipanggil sebagai “membayar diri sendiri dahulu”. Kaedah ini sangat mudah untuk dibuat dan amat berkesan dalam memastikan kewangan anda stabil dan kukuh. Jika anda bekerja makan gaji, potong sebahagian daripada gaji dan masukkan ia secara automatik ke mana-mana produk pelaburan yang bersesuaian. Kebanyakan majikan sudah menyediakan kemudahan skim potongan gaji secara automatik, maka manfaatkan kemudahan ini untuk kesenangan anda pada masa depan. Bagi yang bekerja sendiri pula, gunakan teknik yang sama, tetapi anda perlu lebih berdisiplin kerana anda perlu membuat simpanan secara tetap setiap bulan secara konsisten. Tabungan ini seelok-eloknya perlu dimasukkan dalam pelaburan yang kurang berisiko, kerana sebagai ibu tunggal, anda sahajalah yang menyara keluarga. Oleh itu anda tidak mahu kehilangan wang tersebut.

Panduan 3: Tingkatkan Celik Kewangan

Kesilapan terbesar yang mungkin dilakukan oleh wanita ialah kurang ilmu mengenai perkara-perkara yang membabitkan perancangan kewangan. Didiklah diri sendiri dengan menghadiri seminar dan bengkel yang membincangkan mengenai melabur dan merancang kewangan yang bijak. Ini untuk memastikan supaya anda berada di landasan yang betul ketika membuat keputusan kewangan yang berdasarkan maklumat. Selain itu, dengan adanya ilmu menguruskan wang,  anda tidak akan mudah tertipu dengan skim cepat kaya, skim penipuan atau skim pelaburan tidak sah yang berleluasa sekarang ini.

Panduan 4: Sediakan Dana Kecemasan

Sebagai ibu tunggal, lebih penting bagi anda mempunyai dana kecemasan, iaitu simpanan yang cukup untuk perbelanjaan hidup selama beberapa bulan. Sesetengah pakar kewangan mencadangkan, selain tabungan sedia ada, anda juga hendaklah menyediakan simpanan yang cukup untuk perbelanjaan hidup selama sekurang-kurangnya tiga bulan. Ini bertujuan menyediakan anda dengan dana yang boleh digunakan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, umpamanya kehilangan pekerjaan. Laburkan wang ini dalam pelaburan yang kurang berisiko atau unit amanah yang boleh anda tunaikan dengan mudah sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Selain itu, anda juga boleh membeli insurans, terutama insurans kesihatan dan kehilangan upaya. Sekiranya anda merupakan sumber utama yang menyara pendidikan anak-anak, pastikan insurans yang diambil mencukupi untuk membiayai pendidikan mereka.

Panduan 5: Mulakan Perancangan Persaraan

Mahu atau tidak, anda akan bersara atau tidak lagi mampu bekerja suatu hari nanti. Mulakan perancangan persaraan anda mulai daripada sekarang dan jangan tunggu sehingga tempoh persaraan sudah dekat. Lagi awal anda bermula, lagi baik. Wanita patut mengambil kira jangka hayat mereka ketika membuat perancangan persaraan memandangkan ada statistik yang menyatakan bahawa wanita mempunyai jangka hayat lebih panjang daripada lelaki.

Panduan 6: Didik anak mengenai wang

Sebagai ibu tunggal, tanggungjawab membesar dan mendidik anak-anak bukanlah mudah. Pelbagai halangan yang terpaksa ditempuhi. Seelok-eloknya, didik anak anda mengenai wang, iaitu bagaimana wang boleh menjadikan seorang berjaya, mengajar mereka untuk membuat pilihan dan menunjukkan mereka cara untuk mengendalikan wang dengan baik. Anak-anak kepada ibu tunggal selalu mempunyai perasaan takut memikirkan apa akan terjadi kepada mereka sekiranya ibu mereka sudah tiada lagi. Terangkan kepada anak mengenai perancangan kewangan, pelaburan unit amanah, insurans, harta atau wasiat anda. Semua maklumat ini boleh memberi keyakinan kepada mereka dan dalam masa yang sama dapat mendidik anak-anak anda tentang kepentingan membuat perancangan kewangan untuk masa depan.

Kesimpulan

Sebagai ibu tunggal, anda perlu mempunyai perancangan kewangan supaya anda dan anakanak mempunyai masa depan yang lebih baik. Jika anda masih belum mempunyai perancangan kewangan, sekaranglah masanya untuk bermula. Mulakan sekarang! Jangan berlengah lagi demi kepentingan mereka yang tersayang.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 19/November 2011

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button