Panduan Pengurusan Kewangan Untuk Graduan

Cara Membina Kewangan Anda
1. Belajar tentang asas kewangan
Baca artikel dan buku kewangan peribadi untuk meningkatkan ilmu kewangan anda.
2. Kawal perbelanjaan anda
Kunci pengurusan kewangan peribadi yang efektif adalah disiplin diri. Buat kiraan bajet bulanan yang terperinci dan semak setiap perbelanjaan anda.
Gunakan aplikasi telefon pintar seperti BNM MyTabung.
3. Jangan abaikan pinjaman pendidikan anda
Walaupun kadar faedah pinjaman pendidikan kebiasaannya rendah, lama-kelamaan jumlahnya akan menjadi besar. Jadi, hubungi pihak yang berkenaan dan selesaikan pinjaman pendidikan anda secepat mungkin.
4. Lindungi diri anda dengan insurans
Beli insurans sementara anda masih muda dan risiko kesihatan anda masih rendah, kerana kadar premium adalah lebih murah. Mulakan dengan pelan insurans yang berpatutan, seperti insurans hayat atau kad kesihatan.
5. Bina skor kredit yang sihat
Skor kredit yang sihat adalah penting bagi meningkatkan kadar kelulusan pinjaman kewangan anda dan pada kadar faedah yang munasabah. Ikuti langkah-langkah berikut:
- Mohon kad kredit – bagi memulakan rekod kredit
- Bayar bil-bil kredit pada masa yang ditetapkan – rekod pembayaran akan tertera di dalam rekod kredit.
- Kawal perbelanjaan – jangan gunakan kad kredit jika tidak mampu untuk membayar balik
Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Dalam Usia 20-an
1. Pilih kerjaya anda dengan bijak
Cari pekerjaan yang stabil dan luangkan masa untuk belajar bagi meningkatkan nilai diri anda kepada syarikat.
2. Mulakan dana kecemasan
Simpan sekurangkurangnya 3 bulan perbelanjaan untuk situasi yang tidak
dijangka.
3. Mulakan pelaburan anda
Jangan tunggu sehingga anda sudah berusia untuk melabur. Mulakan dengan pelaburan berisiko rendah seperti unit amanah, deposit tetap, atau insurans pelaburan.
4. Langsaikan hutang anda
Rancang pembayaran semula hutang anda dengan teliti supaya anda tiada lagi hutang apabila mencecah usia 30.
Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 103/November 2018