Asas PerancanganPengurusan KewanganPerancangan KewanganTip dan Panduan

Panduan Pengurusan Kewangan Peribadi

Pengurusan kewangan peribadi adalah kunci bagi memastikan anda tidak terlibat dalam masalah kewangan yang serius. Individu yang dapat menguruskan kewangan peribadi dengan baik akan lebih ‘bersedia’ untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan terjadi.

Panduan 1: Elakkan berhutang
Elakkan berhutang, terutama hutang kad kredit yang mengenakan faedah yang tinggi. Jika menggunakan kad kredit, pastikan bayaran dibuat sepenuhnya setiap bulan. Kalau tidak, itu adalah tanda anda berbelanja di luar kemampuan. Ramai yang bankrap disebabkan terperangkap dalam hutang yang mempunyai kadar faedah yang tinggi

Panduan 2: Membeli mengikut keperluan
Beli barang berdasarkan nilai, bukan harga. Banyak barang bernilai yang berharga murah. Kopi di gerai tepi jalan dan di premis lima bintang sama sahaja. Namun yang membezakan ialah suasana. Beli kereta yang sesuai dengan pendapatan, bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Panduan 3: Gunakan apa yang ada jika masih elok
Usah berlumba-lumba beli kereta dan telefon bimbit baharu. Apabila telah selesai membayar ansuran kereta, anda tidak perlu tukar kereta baharu.

Panduan 4: Elakkan beli secara berhutang
Elakkan beli perabot, peti sejuk, tv atau telefon bimbit secara berhutang. Kadar faedah pinjaman peribadi adalah tinggi sama seperti kad kredit.

Panduan 5: Jaga wang simpanan KWSP
Usah gunakan wang simpanan KWSP untuk majlis kenduri kahwin. Wang KWSP ialah untuk persaraan. Begitu juga jangan membuat pinjaman peribadi untuk majlis kenduri kahwin. Satu daripada faktor pasangan bercerai ialah akibat tekanan kewangan, berpunca daripada hutang yang tidak diuruskan dengan baik.

Panduan 6: Urus wang dengan betul
Beli apabila ada wang. Usah belanja pendapatan yang belum diperoleh. Gunakan tunai atau kad debit. Ada wang beli, tidak ada wang tunggu dahulu.

Panduan 7: Jangan berhutang untuk memulakan perniagaan
Elak memulakan perniagaan dengan berhutang. Buat pinjaman hanya untuk mengembangkan perniagaan, bukan memulakan perniagaan.

Panduan 8: Jangan berhutang semata-mata untuk ke luar negara
Usah pergi haji atau umrah dengan hutang. Begitu juga dengan melancong. Haji dan umrah wajib jika anda mampu. Kalau anda berhutang untuk menunaikan haji atau umrah, ia bermakna anda tidak mampu.

Panduan 9: Rancang persaraan dengan bijak
Rancang persaraan sebaik sahaja mula bekerja. Setiap orang ada keperluan kewangan yang berbeza. Pastikan anda mempunyai wang yang mencukupi untuk bersara selama 15-20 tahun, apabila usia mencecah 55 atau 60 tahun.

Panduan 10: Wajibkan simpanan
Simpan 10-20% daripada gaji bersih setiap bulan. Pastikan anda mempunyai simpanan kecemasan bersamaan sekurang-kurangnya enam bulan keperluan.

Panduan 11: Kawal nafsu berbelanja
Usah beli barangan secara dalam talian pada setiap bulan. Cukuplah beberapa helai tudung, tidak perlu beli tudung setiap kali mendapat gaji. Begitu juga tidak perlu membeli bermacam-macam jenis produk kecantikan setiap bulan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 102/Oktober 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button