Pengguna

Panduan Pengguna Untuk Membuat Pinjaman

Pada suatu peringkat kehidupan, seseorang terpaksa meminjam daripada institusi kewangan. Bagaimanakah anda menyediakan diri anda dalam hal ini? Berikut adalah panduan yang boleh membantu anda dalam memilih produk pembiayaan yang sesuai.

Apa yang perlu anda sematkan dalam fikiran?

  • Semua pinjaman mesti dibayar balik.
  • Pinjaman wang melibatkan kos. Oleh itu, jangan meminjam melebihi jumlah yang anda perlu atau mampu.
  • Anda perlu mengambil kira jumlah pembayaran bulanan yang anda mampu bayar berdasarkan jumlah pendapatan boleh guna, perbelanjaan dan tanggungan hutang yang lain. Jika tidak, anda mungkin menghadapi masalah dalam pembayaran balik pinjaman anda kelak.
  • Anda perlu peka bahawa peningkatan dalam kadar pembiayaan atau apa-apa perubahan yang mungkin mempengaruhi pendapatan atau perbelanjaan masa hadapan.

Buat perbandingan untuk mendapatkan pakej pinjaman terbaik

  • Ambil masa untuk membandingkan kadar pembiayaan, tempoh ‘lock-in’ dan penalti, ciri-ciri produk yang ditawarkan, fi dan caj.
  • Perubahan yang sedikit dalam kadar pembiayaan boleh mengakibatkan perubahan besar dalam jumlah pembayaran balik.
  • Untuk membantu anda membuat perbandingan produk kewangan, institusi kewangan dikehendaki memberi anda satu Lembaran

Penzahiran Produk (Product Disclosure Sheet) yang mengandungi maklumat-maklumat utama mengenai sesuatu produk pembiayaan.

  • Anda juga boleh merujuk kepada jadual perbandingan produk pembiayaan di laman sesawang infoperbankan, www.bankinginfo.com.my bagi membantu anda memilih produk yang paling sesuai untuk memenuhi keperluan dan kehendak anda.
  • Anda perlu membaca dan memahami terma-terma utama, caj-caj berkaitan dan tanggungjawab anda sebagai peminjam.
  • Sekiranya anda tidak memahami mana-mana terma, dapatkan penjelasan daripada institusi kewangan tersebut.
  • Pastikan anda memahami produk pembiayaan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menerima produk tersebut.

Apakah maklumat yang perlu dikemukakan semasa membuat permohonan pinjaman?

  • Slip gaji untuk 3 bulan yang terkini dan bukti-bukti pendapatan lain.
  • Penyata EPF terkini atau penyata cukai pendapatan.
  • Jika anda bekerja sendiri, penyata bank untuk 6 bulan terakhir dan penyata kewangan.
  • Hutang lain anda (contohnya pinjaman daripada koperasi, pelan pembayaran ansuran dengan pedagang dan lain-lain).

Apakah tanggungjawab anda sebagai peminjam?

  • Memberi maklumat yang benar, tepat dan mencukupi di dalam borang permohonan. Maklumat yang tidak tepat mungkin menjejaskan profil risiko anda, yang menyebabkan institusi kewangan akan mengenakan kadar pembiayaan yang lebih tinggi. Institusi kewangan mungkin juga menolak permohonan pinjaman anda.
  • Anda mesti membaca dokumen pembiayaan sebelum menandatanganinya.
  • Membuat pembayaran sebelum atau pada tarikh pembayaran untuk mengelakkan daripada dikenakan penalti bayaran lewat.
  • Sekiranya anda mempunyai duit yang lebih, buat pembayaran balik pinjaman dahulu. Ini akan menjimatkan bayaran faedah. Semak dengan institusi kewangan anda untuk mengetahui sama ada fi akan dikenakan jika anda membuat penyelesaian awal.
  • Jelaskan ansuran tertunggak terlebih dahulu.

Apakah hak anda sebagai peminjam?

  • Institusi kewangan mesti memberi anda notis 21 hari sebelum menukar terma-terma dan syaratsyarat perjanjian pinjaman (termasuk fi dan caj).
  • Institusi kewangan mesti memberi penyata akaun sekurang-kurangnya sekali setahun. Penyata tersebut mesti menunjukkan jumlah pembayaran yang telah dibuat dan jumlah yang dicajkan ke dalam akaun pinjaman anda.

Apa yang akan berlaku jika kadar pembiayaan meningkat?

  • Jika pembiayaan anda berdasarkan kadar terapung, kadar pembiayaan mungkin berubah mengikut pertukaran dalam kadar rujukan atau profil risiko anda.
  • Apabila kadar pembiayaan meningkat, jumlah pembayaran balik dan kos pembiayaan adalah lebih tinggi pada akhir tempoh pinjaman.

Andaian anda meminjam RM250,000 untuk tempoh 20 tahun dengan kadar pembiayaan 6%, pembayaran ansuran bulanan anda adalah RM1,791. Jika kadar pembiayaan meningkat 1%, anda akan membuat bayaran tambahan sebanyak RM147 sebulan. Sekiranya kadar pembiayaan meningkat 2%, anda akan membuat bayaran tambahan sebanyak RM300 sebulan.

Apa yang akan berlaku jika anda gagal membuat ansuran pinjaman?

Jika anda menghadapi masalah dalam membuat pembayaran ansuran pinjaman, hubungi institusi kewangan anda dengan segera untuk  membincangkan skim pembayaran balik yang sesuai. Jika tidak, institusi kewangan anda mungkin:

  • Mengenakan penalti bayaran lewat 1% setahun ke atas jumlah tunggakan. Ini akan meningkatkan baki pinjaman belum jelas anda.
  • Meningkatkan kadar pembiayaan. Faedah yang dikenakan ke atas pinjaman akan meningkat dan akhirnya anda akan membayar lebih tinggi.
  • Tolak selesai (set-off) baki pinjaman belum jelas anda dengan duit dalam akaun simpanan anda.
  • Mengambil tindakan undang-undang terhadap anda. Institusi kewangan anda mungkin menarik balik kereta (untuk pinjaman sewa beli) atau merampas dan melelong rumah anda (untuk pinjaman perumahan). Anda dikehendaki membayar semua kos berkaitan penarikan balik kereta atau lelongan rumah. Seandainya hasil lelongan tidak mencukupi, anda masih perlu membayar baki hutang kepada institusi kewangan.

Anda mungkin ingin mendapat perkhidmatan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan penstrukturan semula pinjaman kepada individu. Semua perkhidmatan AKPK adalah percuma. Anda boleh menghubungi AKPK di:

Aras 8, Maju Junction Mall
1001 Jalan Sultan Ismail
50250 Kuala Lumpur
Tel : 1-800-88-2575
E-mel : enquiry@akpk.org.my
Laman sesawang : www.akpk.org.my

Di mana anda boleh rujuk untuk membuat aduan?

  • Jika anda mempunyai pertanyaan atau masalah berhubung kontrak pembiayaan anda, hubungi unit aduan atau perkhidmatan pelanggan institusi kewangan anda terlebih dahulu.
  • Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan keputusan dan penjelasan yang diberikan oleh institusi kewangan, anda boleh menghubungi Bank Negara Malaysia LINK atau TELELINK di:

Blok D, Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur
Tel : 1-300-88-5465
E-mel : bnmtelelink@bnm.gov.my

  • Anda juga boleh menghubungi Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia di:

Tingkat 34, UBN Tower
10, Jalan P. Ramlee
50250 Kuala Lumpur
Tel : 1-300-88-9980
Faks : 03-2078 8004

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 27/Julai 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button