Pelan PerbelanjaanPengurusan Kewangan

Panduan Mudah Sebelum Membeli Kereta

Memiliki kenderaan sendiri adalah impian bagi setiap individu. Kini, terdapat pelbagai tawaran dan promosi diperkenal untuk anda memiliki kereta impian, sama ada anda ingin menjual kereta lama dan membeli kereta yang baharu. Keputusan membeli kereta perlulah difikirkan secara teliti dengan mengambil kira komitmen bayaran bulanan, penyelenggaraan, membaik pulih kenderaan, insurans dan keperluan sekeluarga.

Berikut adalah beberapa tip umum membeli kereta baharu dan terpakai yang boleh dijadikan sebagai panduan: –

  1. Apabila anda berhadapan dengan penjual kereta, pastikan penjual memaklumkan kepada anda harga kereta yang ditawarkan dan kos-kos yang terlibat secara terperinci.
  2. Pastikan perjanjian yang dibuat adalah mudah. Jangan tergesa-gesa membincangkan untuk menjual kereta lama anda atau pinjaman kereta, kecuali jika anda telah bersetuju dengan harga belian.
  3. Buat perbandingan harga antara syarikat penjual kereta yang lain serta promosi/pakej menarik yang memberi kelebihan kepada anda.
  4. Sebelum anda berkunjung ke bilik pameran kereta baru, pertimbangkan model-model yang sesuai dengan keperluan anda sekeluarga, dan yang paling penting, mengikut kemampuan anda. Anda boleh melawati beberapa bilik pameran model kereta yang berlainan.
  5. Jika boleh, pandu uji kenderaan untuk memastikan ia sesuai dengan keperluan anda.
  6. Anda juga boleh menyemak senarai harga kereta di pasaran semasa melalui surat khabar, iklaniklan dan risalah-risalah.
  7. Pastikan kelengkapan aksesori kereta benar-benar lengkap, seperti yang dinyatakan semasa proses perjanjian jual beli, sebelum anda membawa pulang kereta berkenaan.
  8. Hati-hati dengan sebarang perubahan terhadap kenderaan, kemungkinan terdapat kekurangan aksesori pada kenderaan tersebut.
  9. Elakkan daripada menerima tawaran, membayar deposit atau perjanjian jual beli kereta pada cuti umum atau hujung minggu. Sebaik-baiknya, lakukan sewaktu hari bekerja. Ini untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan daripada pihak ejen.
  10. Untuk pembelian kereta terpakai, pastikan dokumen pemilik kenderaan lama telah dipindah milik sepenuhnya kepada anda dan mendapat kelulusan daripada PUSPAKOM.

Berikut disertakan serba ringkas prosedur membeli kereta bermula daripada membuat tempahan sehinggalah setelah menerima kenderaan.

  1. Semasa membuat tempahan
  • Tempahan hendaklah dibuat dengan menggunakan cek atau bank deraf. Bayaran tunai tidak digalakkan.
  • Pastikan setiap bayaran yang dibuat diberikan resit rasmi syarikat serta merta sebagai mengakui penerimaan bayaran.
  • Pastikan borang tempahan diisi dengan betul, seperti maklumat peribadi, maklumat pinjaman dan maklumat kenderaan.
  • Anda harus menyimpan satu salinan yang lengkap yang telah ditandatangani.
  • Sila baca dan fahami keseluruhan terma dan syarat yang terkandung dalam borang tempahan tersebut.
  1. Ketika Membuat pinjaman

Ketika memohon pinjaman, serahkan dokumendokumen berikut:

  • Salinan borang tempahan rasmi syarikat pengedar.
  • Salinan kad pengenalan yang dicatatkan perkataan ‘untuk tujuan pinjaman dengan syarikat kewangan’ bagi mengelakkan penyalahgunaan salinan tersebut.
  • Salinan lesen memandu atau sekeping gambar pemohon.
  • Slip gaji terbaru bagi tempoh tiga bulan.
  • Penyata akaun simpanan/semasa/tetap
  • Borang EA.
  • Surat perlantikan tawaran kerja.
  1. Apabila pinjaman telah diluluskan, sila ambil tindakan berikut:
  • Hubungi syarikat kewangan dan sahkan syaratsyarat kelulusan pinjaman seperti dicatatkan dalam surat tawaran, seperti jumlah pinjaman, tempoh bayaran, kadar faedah dan jenis atau model kenderaan.
  • Semua dokumen mengenai perjanjian pinjaman ditandatangani di syarikat kewangan.
  • Tidak ada bayaran dikenakan bagi pengendalian proses pinjaman kenderaan.
  1. Pendaftaran Kenderaan

Pendaftaran kenderaan hanya boleh dibuat sekiranya:

  • Bayaran penuh harga kenderaan telah dibuat (bagi pembelian tanpa pinjaman).
  • Surat Aku Janji daripada syarikat kewangan dikeluarkan dan bayaran muka telah dijelaskan sepenuhnya.
  1. Untuk tujuan pendaftaran, kemukakan dokumen-dokumen berikut di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ):
  • Salinan kad pengenalan pembeli yang disahkan dicatatkan perkataan ‘untuk tujuan pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan sahaja’
  • 2 salinan JPJ K1 yang telah lengkap diisi dan ditandatangani oleh pembeli.
  • Borang pelepasan tanggungan JPJ yang lengkap diisi dan ditandatangani oleh pembeli dan juga ditandatangani oleh seorang saksi.
  • Surat jualan daripada syarikat pengedar.
  • Dokumen perlindungan insurans yang berkuat kuasa yang diisi penuh dengan butir-butir pembeli dan kenderaan.
  • Surat tuntutan hak milik daripada syarikat kewangan.
  • Resit tender nombor pendaftaran (jika ada).
  • Untuk mendapatkan pendaftaran segera, pembeli perlu hadir di Jabatan Pengangkutan Jalan.
  • Bayaran pendaftaran kereta, cukai jalan dan tuntutan hak milik termasuk dalam harga kenderaan yang diisytiharkan.
  • Bayaran tambahan dikenakan bagi kes-kes seperti penukaran nombor pendaftaran yang melibatkan pengekalan nombor pendaftaran lama kepada kereta baru.
  1. Semasa penyerahan kenderaan

Apabila anda menerima kenderaan baru, sila pastikan:

  • Kereta tersebut sempurna dan memuaskan.
  • Perkakas dan aksesori lengkap dibekalkan.
  • Buku jaminan diisi dan dicop dengan cop syarikat wakil pengedar dan ditandatangani oleh pembeli.
  • Borang penyerahan rasmi syarikat pengedar kereta hendaklah ditandatangani oleh pembeli serta wakil syarikat pengedar dan satu salinan disimpan oleh pembeli.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 32/Disember 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button