Pelan Perbelanjaan

Panduan Lengkap Mengenai Kad Kredit Di Malaysia (Bhg.1)

Kad kredit menawarkan kaedah yang mudah untuk membeli pakaian, kasut, tiket penerbangan dan banyak lagi. Tetapi, anda harus sentiasa ingat bahawa sebarang  pembelian yang dilakukan melalui kad kredit dilakukan ‘secara kredit / hutang’. Ini bermaksud, pihak bank telah mendahulukan pembayaran tersebut dan anda perlu membayar pihak bank semula. Ini juga bermaksud, sekiranya anda tidak mampu untuk membayar pada tempoh yang telah ditetapkan oleh pihak bank, hutang anda akan tertunggak.

Namun, sekiranya digunakan dengan betul, kad kredit menawarkan pelbagai kelebihan, termasuk rebat dan juga mata ganjaran. Berikut adalah panduan lengkap untuk kad kredit di Malaysia. Panduan ini juga akan membantu anda untuk memilih kad kredit yang sesuai.

Bagaimana kad kredit berfungsi?

Secara asasnya, sebarang pembelian yang dilakukan menggunakan kad kredit, merupakan sejenis pinjaman wang daripada pihak bank yang menawarkan kad kredit tersebut. Sebelum anda memohon kad kredit, pihak bank akan menyemak laporan kredit anda terlebih dahulu. Kemudian, pihak bank akan menentukan tahap kredit dan juga terma syarat bayaran balik untuk kad kredit anda.

Laporan kredit ialah rekod yang memaparkan semua kredit yang telah anda gunakan, termasuk semua pinjaman, kad kredit dan khidmat overdraf. Selain itu, laporan kredit juga akan memaparkan maklumat tentang corak bayaran untuk bil telefon serta internet anda. Sekiranya anda mempunyai corak pembayaran yang baik, pihak bank biasanya akan menawarkan anda had perbelanjaan yang lebih tinggi dan pada kadar faedah yang rendah.

Setiap akhir bulan, anda akan menerima bil daripada pihak bank, yang menunjukkan semua perbelanjaan yang telah anda lakukan menggunakan kad kredit tersebut serta jumlah wang yang anda perlu bayar kepada bank. Bil tersebut juga akan menyatakan tarikh akhir pembayaran serta kadar minimum pembayaran yang anda perlu lakukan.

Bagaimana untuk mengetahui had perbelanjaan kad kredit saya?

Sekiranya permohonan kad kredit anda diluluskan, pihak bank akan menyediakan butiran akaun, termasuk had perbelanjaan. Had perbelanjaan tersebut merupakan jumlah maksimum yang anda boleh belanja menggunakan kad kredit tersebut. Dalam erti kata lain, ia juga bermaksud jumlah yang anda boleh pinjam daripada pihak bank. Peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa, had perbelanjaan maksimum bagi semua pemegang kad kredit bergaji kurang dari RM3,000 sebulan tidak boleh melebihi dua kali ganda gaji bulanan mereka.

Apa itu kadar faedah kad kredit?

Kadar faedah bagi kad kredit di Malaysia adalah dalam lingkungan 8% hingga 18%. Kadar faedah akan dikenakan terhadap perbelanjaan, khidmat pemindahan baki dan khidmat pengeluaran wang yang dilakukan menggunakan kad kredit tersebut. Biasanya, kadarfaedah yang dikenakan berbeza-beza antara kategori perkhidmatan.

Sebagai contoh, pemindahan baki biasanya mengenakan kadar faedah lebih rendah berbanding khidmat pengeluaran wang menggunakan kad kredit yang mengenakan kadar faedah lebih tinggi.

Nota: Kadar faedah untuk kad kredit boleh berubah, dan anda mungkin tidak sedar terhadap perubahan kadar faedah yang dikenakan. Oleh itu, anda perlu meneliti penyata bulanan kad kredit yang anda terima supaya anda mengetahui berapa kadar faedah yang dikenakan terhadap kad kredit anda.

Bagaimana caj faedah akan dikenakan atas kad kredit saya?

Kadar faedah bagi kad kredit di Malaysia berbezabeza bagi setiap individu. Kebiasaannya, anda boleh mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah sekiranya anda mempunyai laporan kredit yang baik. Faedah yang dikenakan untuk kad kredit biasanya terhadap tunggakan bayaran. Jadi anda disyorkan untuk membayar jumlah penuh pada setiap akhir bulan. Sekiranya anda tidak mampu untuk membuat pembayaran penuh, elakkan daripada hanya membayar pada kadar minimum. Jika anda hanya membuat pembayaran minimum, jumlah kadar faedah yang perlu dibayar akan terus terkumpul dan berganda. Akibatnya, tempoh yang lebih panjang akan diambil untuk membayar hutang tersebut.

Bagaimana saya boleh mengurangkan kadar faedah kad kredit saya?

Kadar faedah biasanya ditentukan bergantung kepada corak pembayaran seorang pemegang kad kredit tersebut, dan kadar faedah kad kredit akan diselaraskan oleh pihak bank. Ini juga dikenali sebagai kadarfaedah bertingkat, yang bermaksud lebih baik corak pembayaran anda, maka lebih rendah kadar faedah yang akan dikenakan terhadap kad kredit anda. Polisi ini telah ditentukan oleh pihak Bank Negara Malaysia pada tahun 2011 untuk menggalakkan pemegang kad kredit melakukan pembayaran tepat pada masanya.

Jadi, sekiranya anda ingin menikmati kadar faedah yang lebih rendah, anda digalakkan untuk membuat pembayaran penuh setiap bulan, atau membuat pembayaran jumlah minimum sebelum tarikh terakhir yang tertera pada penyata bulanan kad kredit. Anda hendaklah melakukan ini untuk setiap bulan selama 12 bulan, ataupun untuk sekurang-kurangnya 10 atau 11 bulan dalam masa setahun.

Adakah situasi yang saya tidak dikenakan kadar faedah?

Kebanyakan pihak bank menawarkan kemudahan 20 hari tempoh tanpa faedah. Tempoh tanpa faedah ini biasanya hanya untuk perbelanjaan runcit. Kemudahan ini hanya akan diberi sekiranya anda telah membuat pembayaran penuh sebelum tarikh terakhir dari bulan sebelumnya.

Apa Itu Kad Prabayar?

Kad prabayar merupakan kad yang digunakan untuk membuat pembelian, sama seperti penggunaan kad kredit di Malaysia. Tetapi, bezanya ialah, anda hanya boleh melakukan pembayaran tertakluk kepada jumlah wang yang terdapat di dalam akaun anda. Kelebihan terbesar untuk kad prabayar ialah tiada kadar gaji minimum atau kadar had umur (untuk kebanyakan kad prabayar). Oleh kerana itu, ia menyediakan kadar pembayaran mudah dan selamat bagi golongan remaja. Contoh: Ambank NexG Prepaid (AmBank) dan AEON Prepaid Mastercard (AEON)

Apa Itu Kad Caj?

Kad caj menyediakan kemudahan yang lebih kurang sama seperti kad kredit. Namun, perbezaan antara kad caj dan kad kredit ialah, anda perlu membuat pembayaran penuh bagi kad caj pada setiap hujung bulan.

Bagi kad kredit, anda tidak akan dikenakan caj walaupun anda tidak membuat pembayaran penuh; asalkan anda melangsaikan bayaran minimum yang dikenakan. Untuk kad caj pula, anda akan dikenakan caj lewat sekiranya anda tidak membuat bayaran penuh pada setiap hujung bulan. Contoh: Charge Card-I (Al-Rajhi Bank) dan American Express Card (Maybank)

Apa Itu Kad Tambahan?

Sebagai pemegang kad kredit utama, anda boleh memberikan kad tambahan, contohnya kepada pasangan anda atau anak-anak yang berumur 18 tahun ke atas. Tiada gaji minimum bagi pemegang kad tambahan, tetapi pemegang kad tambahan perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun ke atas. Semua transaksi pembayaran yang dilakukan dengan kad tambahan akan dicaj kepada pemegang kad utama.

Apakah Kriteria Untuk Memohon Kad Kredit Di Malaysia?

Berikut adalah kriteria untuk memohon kad kredit:

  • Pendapatan : Semenjak tahun 2011, Bank Negara Malaysia telah menetapkan bahawa  pendapatan bulanan minimum untuk memohon kad kredit ialah RM2,000. Kad kredit yang menawarkan had kredit yang lebih tinggi akan meletakkan syarat pendapatan bulanan yang lebih tinggi.
  • Umur : Had umur minimum untuk memohon kad kredit ialah 21 tahun, sementara individu yang berumur sekurang-kurangnya 18 tahun layak menjadi pemegang kad tambahan. Namun, beberapa kad kredit mempunyai kriteria had umur yang lebih tinggi kerana kad tersebut menawarkan lebih ganjaran yang sesuai untuk golongan dewasa dan bekerjaya.

Apakah Yuran Dan Caj Yang Akan Dikenakan Pada Kad Kredit Saya?

Selain kadar faedah, terdapat yuran dan caj lain yang anda perlu bayar untuk menggunakan kad kredit. Sekiranya anda tidak menyedari tentang caj tambahan tersebut, ia boleh menyebabkan anda mengumpul hutang dan anda akan dikenakan kadar faedah yang lebih tinggi. Pastikan anda bertanya tentang sebarang caj pengecualian sebelum anda memohon kad kredit.

Terdapat kad kredit yang diiklankan sebagai tiada kadar faedah, tetapi ingat bahawa kebiasaannya tempoh tiada kadar faedah itu bukan untuk selama-lamanya. Jadi pastikan anda membaca terma dan syarat untuk kad tersebut.

Selain itu, caj-caj lain untuk kad kredit ialah seperti berikut:

  • Yuran tahunan
  • Pemindahan Baki
  • Caj penggantian kad
  • Caj pendahuluan wang tunai
  • Yuran urus niaga luar negara dan pertukaran mata wang
  • Caj bayaran lewat
  • Caj lebih had perbelanjaan
  • Cukai perkhidmatan
  • Caj untuk penyata
  • Caj untuk kad tambahan

Sebelum anda membuat sebarang pembayaran atau melanggan untuk sebarang perkhidmatan, anda harus ingat bahawa kebiasaannya anda akan dikenakan caj yang tertera pada terma dan syarat. Bagi mendapatkan kad kredit yang terbaik, anda perlu mengetahui tentang semua caj dan yuran.

Nantikan bahagian kedua kepada panduan ini untuk maklumat seterusnya!

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 73/Mei 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button