Pengguna

Panduan Berkaitan Pembiayaan Perniagaan

Apa yang anda perlu tahu?

Kemudahan kewangan merupakan pemangkin kepada usaha membangunkan usahawan terutama mereka yang berkecimpung dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Untuk melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini, berbagai usaha telah diwujudkan oleh kerajaan dan agensi yang terlibat bagi membantu sektor PKS mengembangkan perniagaan mereka.

Walaupun terdapat pelbagai skim pembiayaan yang disediakan oleh kementerian dan agensi kerajaan, namun masih ada rungutan di kalangan usahawan tentang kesukaran mendapatkan bantuan kewangan untuk modal pusingan.

Kekurangan modal perniagaan ini selalunya lebih ketara di kalangan usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan.

Penilaian Permohonan Pembiayaan melalui 5K

Tahukah anda, proses untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan melibatkan pertimbangan beberapa factor oleh pihak bank sebelum meluluskannya?

Institusi kewangan perlu menilai permohonan pembiayaan dengan teliti untuk menentukan keupayaan kredit pemohon bagi pembayaran balik pembiayaan.

Beberapa aspek yang perlu dinilai terlebih dahulu oleh pihak bank sebelum meluluskan sesuatu permohonan pembiayaan iaitu melalui penilaian 5K (karektor, kapasiti / keupayaan, kapital / modal, keadaan dan kolateral / cagaran).

  1. Karektor – Karektor seseorang peminjam dinilai melalui pengetahuan dan pengalaman dalam mengendalikan sesebuah perniagaan atau projek;
  2. Kapasiti / Keupayaan – Kemampuan untuk membayar dan mengurus hutang baru;
  3. Kapital / Modal – Kapital atau modal merujuk kepada kedudukan dan prestasi kewangan, sumber modal kerja, atau kecukupan komitmen kewangan seperti dana pemegang saham dan pendahuluan daripada pengarah;
  4. Keadaan – Keadaan merujuk kepada daya saing perniagaan, model operasi perniagaan serta pelan perancangan untuk mengatasi cabaran-cabaran perniagaan, ekonomi dan kewangan; dan
  5. Kolateral / Cagaran – Cagaran yang ditawarkan membolehkan pihak bank untuk mengimbangi kelemahan yang terdapat di faktor-faktor lain.

Masalah Kewangan (financial distress)

‘Masalah kewangan’ boleh ditakrifkan apabila peminjam menghadapi masalah kewangan dan tidak dapat mematuhi jadual pembayaran balik pembiayaan. Kebanyakan PKS di Malaysia bergantung kepada sumber pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan dan untuk mengatasi masalah kekurangan modal. Terdapat beberapa organisasi yang terlibat dalam penyediaan bantuan kewangan dan khidmat nasihat berkaitan pembiayaan, antaranya:

  • Pusat Khidmat Nasihat PKS serta Unit Pemulihan Pinjaman PKS oleh institusi kewangan;
  • Pusat Rujukan Setempat (ORC) yang dikendalikan oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp);
  • Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) oleh Bank Negara Malaysia; dan
  • Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bermanfaat kepada individu dan golongan usahawan mikro.

Apakah Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Fungsinya?

Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil atau “Small Debt Resolution Scheme” (SDRS), adalah bantuan penyusunan atau penjadualan semula pembiayaan yang diselia oleh Sekretariat Jawatankuasa Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRC) di Bank Negara Malaysia (BNM). Objektif utama bantuan di bawah SDRS adalah untuk membantu PKS yang menghadapi masalah kewangan berpunca dari pembiayaan yang terjejas (impaired financing) dengan pelbagai institusi kewangan di bawah kawal selia BNM.

Mekanisma SDRS

SDRS memudahkan proses penyusunan atau penjadualan semula pembayaran balik kemudahan pembiayaan perniagaan. Sekiranya layak, bantuan di bawah SDRS juga  menawarkan PKS pembiayaan baharu oleh institusi kewangan terbabit melalui dana dan skim bantuan kepada PKS yang ditubuhkan oleh BNM.

Pembiayaan baharu yang ditawarkan adalah untuk perkembangan dan seterusnya memulihkan perniagaan tertakluk kepada penilaian teliti oleh pihak institusi kewangan yang terlibat.

Objektif utama SDRS adalah untuk membantu PKS yang mempunyai masalah pembayaran balik pembiayaan dengan institusi kewangan supaya PKS dapat mencari jalan penyelesaian berhubung pembiayaan yang terjejas terutama sebelum tindakan undang-undang diambil oleh pihak bank terbabit.

PKS adalah disarankan untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian dengan institusi kewangan terbabit untuk menyusun semula pembayaran balik pembiayaan perniagaan sebelum mendapatkan bantuan di bawah SDRS. Institusi kewangan sentiasa menyediakan peluang untuk PKS berbincang dan mencari jalan penyelesaian apabila berhadapan dengan kesukaran untuk mematuhi obligasi pembayaran balik pembiayaan mengikut terma yang ditetapkan.

Apakah Syarat-syarat untuk Memohon SDRS?

  • Syarikat adalah milik warganegara Malaysia (pemilikan sekurang-kurangnya 51%) dan institusi dalam semua sektor yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Pertubuhan 1966 atau Akta Pertubuhan Koperasi 1993;
  • PKS yang mempunyai bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 200 orang atau jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta;
  • PKS berdaya maju yang menghadapi masalah pembiayaan terjejas (impaired financing);
  • PKS yang mempunyai masalah kewangan berikutan pembiayaan daripada pelbagai institusi kewangan;
  • Pembiayaan adalah berkaitan dengan perniagaan sahaja (tidak termasuk pembiayaan untuk pembelian saham dan peribadi); dan
  • Perniagaan mestilah masih beroperasi.

Semenjak penubuhan SDRS pada 2003, skim ini telah membantu lebih 880 PKS melibatkan jumlah pembiayaan sebanyak RM944.3 juta dengan lebih 72% permohonan telah berjaya dibantu setakat akhir Mac 2014. Lebih daripada 50% PKS yang dibantu telah berjaya memulihkan kedudukan kewangan serta prestasi perniagaan malahan terdapat PKS yang berupaya mendapatkan pembiayaan baharu untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Bagaimana untuk Memohon?

Borang SDRS boleh didapati di:

  • Semua Institusi Kewangan Peserta (IKP)
  • Bank perdagangan
  • Bank-bank Islam
  • Institusi Kewangan Pembangunan
  • Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat)
  • Bank Pembangunan Malaysia Berhad
  • Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank)
  • Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank)
  • Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank)
  • Bank Simpanan Nasional (BSN)
  • Sekretariat Jawatankuasa Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRC)
  • Laman sesawang: smeinfo.com.my

Borang permohonan yang lengkap di isi berserta dokumen-dokumen yang diperlukan hendaklah dikemukakan terus kepada IKP yang menyelenggarakan akaun pembiayaan tersebut atau boleh dikemukakan di BNM serta pejabat cawangan BNM yang berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :

BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465
Faksimili : 03-2174 1515
E-mel : bnmtelelink@bnm.gov.my

Sumber :  Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 47/Mac 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button