Pelan Perbelanjaan

Orang Muda Mewah Berbelanja

Keliru Antara Kos Gaya Hidup Dan Kos Sara Hidup

Kajian mendapati ramai graduan yang baharu mendapat pekerjaan lebih cenderung untuk membeli kenderaan import berbanding kenderaan tempatan sambil mengamalkan gaya hidup mewah.

Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmand Dzariean Mohd Nadzri berkata, berikutan gaya hidup mewah, ramai golongan muda kini terhimpit dengan masalah kewangan.

“Apa tidaknya, makan tengah hari di Dome dan Tony Romas sambil memegang iPhone 7 di tangan walaupun mereka memperoleh pendapatan sederhana sahaja.

“Malah, tidak keterlaluan dikatakan jika mereka mempunyai pendapatan yang lumayan setiap bulan sekalipun, ia bukanlah satu amalan atau gaya hidup yang boleh dicontohi,” katanya.

Tidak menafikan bahawa kos sara hidup juga meningkat, Dr Achmand menegaskan ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di peringkat global seperti Korea Selatan yang mengalami kenaikan kos sara hidup sehingga 50 peratus.

Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk menukar cara perbelanjaan harian sebagai langkah keluar daripada kesempitan kewangan selain bijak menguruskan perbelanjaan seperti tempat tinggal, makanan, kenderaan dan kesihatan.

Selain itu, Dr Achmand turut mencadangkan rakyat boleh memilih untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan membuat pekerjaan lain di luar waktu pejabat.

Sungguhpun peningkatan kos sara hidup merupakan trend global, Malaysia masih menunjukkan kadar peningkatan terendah berbanding negara-negara jiran serta negaranegara di rantau Asia.

Menerusi artikel ‘A Malaysian Perception: Cost of Living vs Standard of Living and Affordability’, penganalisis politik, Lim Sian See memberi penjelasan mudah menggunakan ‘Teori Big Mac’ bagi membandingkan harga semasa dengan harga 30 tahun lalu.

Menurut beliau, pada 1993, harga Big Mac di Malaysia adalah RM3.35, sementara minyak petrol RON92 (minyak petrol RON95 belum diperkenalkan) adalah RM1.06 seliter.

Berbanding pada 2014, Big Mac berharga RM7.60 dan minyak petrol RON95 berharga RM2.30 seliter. Pada tahun 2018 pula, harga Big Mac ialah RM8.60, manakala minyak petrol RON95 ialah RM2.20 seliter (kerana harganya ditetapkan oleh Kerajaan selepas Pilihan Raya Umum 2018, iaitu 9 Mei 2018 sehingga 31 Disember 2018).

Kesimpulannya, peningkatan harga barang disebabkan oleh kenaikan kos sememangnya wujud berdasarkan permintaan yang semakin meningkat.

Sebagai contoh, kuasa membeli rakyat semakin meningkat saban tahun ekoran peningkatan pendapatan median (penengah) isi rumah sebanyak RM2,841 (2009) kepada RM5,228 (2016) – menurut bancian Jabatan Statistik Negara.

Justeru, golongan muda perlu mengelak daripada mengamalkan gaya hidup mewah yang akhirnya boleh menjerumuskan mereka kepada masalah kewangan kelak.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 103/November 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button