Berita

Orang Miskin Kekal Miskin

Isu kemiskinan merupakan salah satu masalah asas yang ingin diselesaikan dalam kalangan ahli ekonomi di seluruh dunia. Meskipun sudah ratusan tahun masalah ini diperdebatkan, namun isu ini masih lagi membelenggu orang ramai sehingga ke hari ini.

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Kadar kemiskinan sering kali dijadikan indikator utama dalam melihat keadaan isi rumah di sesebuah negara. Di Malaysia, kadar kemiskinan telah menurun dari sekitar 50% pada tahun 1970 kepada lebih kurang 0.2% pada tahun 2019 berdasarkan formula pendapatan garis kemiskinan yang lama.

Tetapi berdasarkan cara pengiraan terbaru, kadar kemiskinan terkini adalah pada 8.4% pada 2020, meningkat berbanding 5.6% pada tahun sebelumnya.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan garis kemiskinan yang digunapakai kini adalah sebanyak RM2,208 sebulan. Angka ini diperoleh berdasarkan konsep nutrisi minimum yang diperlukan dan barangan bukan makanan yang diperlukan oleh isi rumah untuk hidup secara aktif di dalam sesebuah masyarakat.

Kos makanan, pengangkutan, perumahan dan sebagainya diambilkira bagi mencari pendapatan garis kemiskinan.

Kenapa Orang Miskin Kekal Di Dalam Kemiskinan?

Baru-baru ini, tular klip video seorang personaliti mempersoalkan gelandangan tua yang berada di pusat transit Kuala Lumpur sama ada beliau kesal dengan kelakuannya sewaktu muda. Sesi ‘motivasi’ oleh personaliti yang turut merupakan seorang usahawan mendapat reaksi negatif dalam kalangan pengguna internet.

Rata-rata berpendapat pendekatan personaliti tersebut sebagai biadab terutama sekali apabila berhadapan dengan orang yang lebih tua.

Dari sudut lain, insiden tersebut juga sedikit sebanyak mendedahkan tanggapan orang ramai terhadap stigma yang wujud terhadap golongan miskin. Mereka yang berada misalnya mungkin beranggapan bahawa golongan miskin ini berada di dalam kemiskinan kerana mereka mempersia-siakan waktu muda mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Mereka percaya bahawa jika golongan miskin ini berusaha dengan lebih keras, makanya mereka mungkin akan keluar dari kemiskinan dan melalui kehidupan yang lebih baik.

Antara stigma lain yang seringkali dihadapi oleh orang miskin adalah mereka mempunyai ramai anak serta tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik.

Persoalannya, benarkah segala dakwaan-dakwaan demikian?

Meskipun kita seringkali mendengar kisah-kisah rags to richest di media sosial, namun hakikatnya bukannya mudah bagi seseorang itu keluar dari kemiskinan. Banyak faktor yang menentukan untung rugi seseorang itu berada di luar lingkungan kawalan seseorang manusia tersebut.

Sebagai contoh, siapakah ibu dan bapa anda? Ibu dan bapa bukanlah sesuatu yang boleh dipilih oleh manusia dan perkara ini memberikan kelebihan yang luar biasa bagi seseorang itu.

Bayangkan Bill Gates dilahirkan di Gua Musang, Kelantan dengan beribubapakan seorang petani. Adakah beliau mampu mewujudkan Microsoft dan membina empayar berbilion ringgit sehingga menjadi salah satu individu terkaya di dunia.

Sudah semestinya tidak. Bill Gates dilahirkan di Seattle, Amerika Syarikat dimana bapanya seorang peguam berjaya manakala ibunya, Mary Maxwell Gates merupakan pengarah di syarikat-syarikat gergasi yang turut memperkenalkan Bill Gates dengan CEO IBM sekaligus berjaya meraih kontrak dari IBM.

Bahkan jika beliau dilahirkan sebagai anak orang terkaya di Malaysia sekalipun, belum tentu kejayaan yang serupa boleh dikecapi. Hal ini kerana modal-modal sosial ( social capital ) seperti kepakaran individu lain serta infrastruktur yang canggih tidak berada di Malaysia.

Bagi golongan yang kurang bernasib baik. The world is against them. Jika mereka dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai pendapatan yang terhad, kemungkinan besar mereka tidak dapat mendapat khasiat yang mencukupi untuk membantu proses tumbesaran mereka.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Perkara ini boleh dilihat dari kadar bantut, iaitu apabila ketinggian seorang kanak-kanak itu tidak berada di paras yang sepatutnya. Di Kelantan misalnya, kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak berada pada paras 34%, lebih tinggi berbanding kanak-kanak di Semenanjung Gaza.

Masalah bantut yang berpunca dari ketidakcukupan khasiat ketika membesar akan mengakibatkan kesan yang tidak dapat diterbalikkan kepada kanak-kanak tersebut. Hal ini kerana ketinggian manusia tidak boleh terus tumbuh apabila mencapai ke tahap kemuncaknya apabila menjelang dewasa.

Isu bantut juga bukanlah hanya isu tidak cukup tinggi. Ia juga memberi kesan terhadap kemampuan kognitif seseorang itu. Kajian di Ethiopia mendapati kanak-kanak yang bantut meraih markah yang lebih rendah di dalam tugasan matematik dan pemahaman pembacaan berbanding kanak-kanak yang sihat.

Apabila mereka masuk ke alam pekerjaan, pendapatan seumur hidup yang diperoleh dianggarkan kira-kria 20% lebih rendah berbanding pekerja yang tidak menghadapi masalah bantut.

Dalam kata lain, perkara-perkara yang dilihat kecil seperti makanan apa yang diberikan pada ketika kecil bagi memberi impak terhadap pencapaian hidup seseorang manusia di kemudian hari. Dan yang lebih menyedihkan, perkara ini bukanlah di bawah lingkungan kawalan seseorang individu tersebut.

Pendidikan Sebagai Tangga Untuk Keluar Dari Kemiskinan

Ketika kita kecil, seringkali diungkapkan agar belajar rajin-rajin agar boleh memasuki ke universiti dan mengubah nasih keluarga. Ini kerana hampir kesemua orang bersetuju bahawa pendidikan merupakan alat penting agar seseorang itu mendapat pekerjaan yang memberi pulangan tinggi sekaligus tidak lagi berada di dalam kancah kemiskinan.

Hakikatnya, akses terhadap pendidikan tidak serupa untuk semua orang. Kanak-kanak yang berada di Bukit Damansara mendapat pendidikan yang lebih berkualiti berbanding kanak-kanak yang berada di Baling, Kedah.

Bukan saja keadaan sekolah yang mungkin daif, tetapi fasiliti-fasiliti yang tidak mencukupi menyukarkan mereka untuk belajar. Pelajar yang berada di sekitar Kuala Lumpur mungkin boleh belajar secara atas talian untuk membuat ulangkaji selain pergi ke pusat-pusat tusiyen.

Peluang yang sama tidak ada pada mereka yang berada di ceruk-ceruk kampung yang tidak ada liputan internet ataupun pusat tuisyen.

Sumber: Families on The Edge oleh UNICEF Malaysia

Kajian yang dilakukan oleh Families on The Edge oleh UNICEF Malaysia menunjukkan hanya 29% kanak-kanak mempunyai komputer untuk mengikuti pengajian secara atas talian. Sebahagian besar daripada mereka bergantung kepada telefon pintar untuk mengikut pelajaran susulan krisis Covid-19. Ini bukanlah satu berita yang menggembirakan kerana peranti berkenaan bukanlah satu peranti yang kondusif dalam mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah ( PdPR ).

Sumber: Ekonomi Rakyat

Back to top button