Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Orang Bujang Banyak Berhutang

Alasan tiada tanggungan, mahu berseronok, boros berbelanja

Selalunya sesetengah orang bujang tidak mahu berfikir panjang apabila mempunyai wang yang banyak. Mereka tidak mahu memikirkan untuk menguruskan wang.

Maklumlah orang bujang. Tanggungjawab tidak banyak. Kalau ada pun, mungkin membayar ansuran kereta atau pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Selebihnya, selagi ada wang di tangan, mereka akan berbelanja mengikut kehendak hati. Menukar telefon atau gajet baru, yang kadang-kadang tidak diperlukan sangat, membeli pakaian atau aksesori berjenama mahal.

Bagi orang bujang lelaki, kerana hendak menunjuk dirinya ada banyak wang, mereka akan belanja teman wanita makan di tempat yang eksklusif.

Soal hendak membuat simpanan kadang-kadang tidak terlintas dalam fikiran segelintir orang bujang.

Jadi, atas sebab itulah, orang bujang adalah antara golongan paling banyak berhutang berbanding mereka yang berkeluarga.

Berikut ada cerita yang menggambarkan kehidupan orang bujang yang berjaya tetapi boros.

Ia mengisahkan tentang Dr Azam, lelaki muda dan berjaya. Pada umur 33 tahun, dia hampir memiliki semuanya; dua kereta mewah, tinggal di kondominium mahal dan mempunyai kerjaya yang membanggakan.

Dr Azam merasakan dia berhak memiliki gaya hidup serba mewah kerana sudah bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi doktor pakar. Dia yakin mampu membeli apa saja yang diinginkan.

Dr Azam terlalu banyak bergantung kepada kad kredit. Dia berpendapat dengan gaji lima angka sebagai doktor pakar, dia tidak perlu bimbang dengan masa hadapannya. Apa yang penting ialah keseronokan serta merta dengan membeli semua kehendaknya menggunakan lima kad kredit yang dimiliki.

Dr Azam tidak ada bajet untuk menjejak aliran tunainya. Lama-kelamaan, dia tidak mampu membayar ansuran dua keretanya dan hampir tidak dapat membuat bayaran minimum untuk semua kad kreditnya. Keadaan semakin meruncing apabila sewa kondominium juga tertunggak selama tiga bulan.

Berhadapan dengan tindakan pengusiran, Dr Azam didesak oleh semua pemiutang supaya membayar hutang dengan segera. Sebuah keretanya ditarik oleh pihak bank. Tanpa disedari, Dr Azam dibelenggu hutang yang sudah mencecah RM120,000. Bimbang akan diisytiharkan bankrap, dia mengambil keputusan mendapatkan bantuan AKPK.

Pengajaran daripada cerita Dr Azam ini ialah jangan ghairah hidup mewah atau memikirkan keseronokan sahaja semata-mata kerana masih bujang, bergaji besar dan kerjaya bagus. Hutang juga tidak mengenal mangsa.

Oleh itu, menguruskan bajet adalah penting. Jangan ghairah sangat memiliki kad kredit. Kalau perlu sangat, cukuplah memiliki satu dan tidak lebih daripada dua kad kredit. Sebaik-baiknya ada satu saja.

Adalah dicadangkan supaya menabung sekurangkurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan. Lebih baik kalau anda boleh menyimpan 15 peratus hingga 20 peratus daripada pendapatan bulanan (gaji) kerana anda akan mempunyai lebih banyak wang pada masa hadapan.

Panduan memupuk tabiat menabung

  1. Menabung sebelum berbelanja
  • Menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji atau pendapatan anda.
  • Menabung secara automatik dengan menggunakan skim potongan gaji, auto debit atau cara lain sepertinya.
  1. Dorong diri dengan sasarkan matlamat.
  • Menetapkan matlamat yang bermakna dan penting untuk menggalakkan diri anda menabung.
  • Anda boleh menetapkan matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang.
  1. Jadikan menabung sebagai tabiat.
  • Selepas membuat simpanan 10 peratus daripada gaji anda, cabar diri anda untuk meningkatkan tabungan secara beransuransur.
  1. Simpan sebahagian ‘durian runtuh’.
  • Setiap kali menerima wang, seperti bonus atau hadiah wang tunai, masukkan sebahagian wang tersebut ke dalam akaun simpanan.
  • Kalau anda menerima kenaikan gaji, tingkatkan jumlah simpanan bulanan anda.

Menabung untuk kecemasan

Dalam kehidupan seharian, kadang-kadang berlaku kejadian yang tidak diduga, yang boleh menyebabkan anda hilang keupayaan untuk mencari pendapatan. Adakalanya anda mungkin memerlukan jumlah wang yang banyak dalam masa singkat untuk menangani masalah yang dihadapi.

Kebiasaannya, tabungan kecemasan digunakan untuk menampung perbelanjaan jika anda kehilangan pekerjaan atau mengalami masalah kesihatan serius dengan tiba-tiba atau akibat kos membaiki kerosakan rumah atau kereta. Sekiranya anda atau pasangan kehilangan pekerjaan, semua bil masih perlu dibayar.

Dalam keadaan seperti ini, adalah penting jika anda mempunyai tabungan untuk menanganinya. Sebagai panduan, anda perlu mempunyai simpanan yang boleh menampung perbelanjaan asas selama tiga hingga enam bulan. Keadaan akan bertambah buruk jika anda perlu meminjam untuk mengatasi masalah yang timbul.

Selain menabung untuk tujuan kecemasan, bajet atau perancangan perbelanjaan juga dapat membantu anda menyimpan untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang bernilai besar.

Sumber : Berita Harian, 29 Jun 2013/AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 43/November 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button