Pengurusan Hutang

Nilai Kemampuan Anda Untuk Membayar Hutang

Kebanyakan individu perlu berhutang untuk membiayai perbelanjaan seperti perubatan, pelajaran, perkahwinan, atau pun memulakan perniagaan. Untuk bebas daripada hutang sepenuhnya mungkin agak mustahil. Tetapi, anda perlu mengetahui tentang kemampuan anda untuk membayar hutang-hutang anda.

Hutang isi rumah rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan. Pada tahun 2017, hutang isi rumah rakyat Malaysia ialah RM1,139.9 bilion. Malah, jumlah hutang isi rumah kini terlalu tinggi sehingga sebahagian besar daripada pendapatan bulanan digunakan hanya untuk membayar hutang sahaja. Pada tahun 2013, nisbah khidmat hutang rakyat Malaysia ialah 43.5%, suatu angka yang membimbangkan kerana lebih 13.5% daripada kadar hutang yang disarankan. Nisbah khidmat hutang yang disyorkan ialah pada 30%, untuk memastikan anda tidak berbelanja lebih satu pertiga daripada pendapatan anda untuk membayar hutang.

Dalam cabaran ekonomi semasa serta keadaan kewangan peribadi yang tidak menentu, anda perlu memastikan diri anda tidak terperangkap dalam kitaran pembayaran hutang yang berterusan. Langkah pertama yang boleh diambil ialah dengan memahami kemampuan anda untuk membayar hutang.

Nisbah Khidmat Hutang

Sebagai permulaan, kaji jumlah kemampuan anda untuk membayar hutang yang ditanggung sekarang dengan menggunakan nisbah khidmat hutang. Nisbah ini digunakan oleh bank atau individu untuk mengetahui jumlah hutang yang boleh ditanggung oleh peminjam. Ia akan mengambil kira semua pinjaman serta kemudahan kredit anda, dan dibandingkan dengan jumlah pendapatan anda.

Sebagai contoh, anda memiliki pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan, dengan komitmen kewangan seperti di bawah:

  • Pinjaman kereta: RM600 sebulan
  • Bayaran insurans: RM200 sebulan

Berdasarkan komitmen tersebut, nisbah khidmat hutang anda ialah: (RM800 / RM5,000) x 100 = 16%

Dengan nisbah khidmat hutang 16%, jika anda ingin memohon pinjaman yang lain, anda perlu memastikan bayaran bulanan pinjaman tersebut tidak akan melebihi RM700 atau 14% daripada jumlah pendapatan anda (berdasarkan saranan nisbah khidmat hutang yang tidak melebihi 30%).

Jelas sekali pada kadar gaji yang anda terima, anda tidak boleh mengambil pinjaman yang lain kerana kebarangkalian pinjaman itu akan melebihi nisbah khidmat hutang dan kemampuan anda membayar pinjaman tersebut.

Jika tidak, sebahagian besar gaji anda akan digunakan hanya untuk membayar hutang. Kesannya, pendapatan boleh guna anda akan berkurangan. Namun, masih ada lagi cara yang membolehkan anda memohon pinjaman, sebagai contoh jika anda ingin membeli rumah.

Ramai yang masih tidak mengetahui tentang nisbah khidmat hutang ataupun ia dipandang remeh. Sebenarnya, mengetahui berapa nisbah khidmat hutang peribadi amat penting walaupun anda tidak merancang untuk memohon pinjaman. Ia akan membantu anda untuk bersedia apabila anda perlu memohon pinjaman.

Panduan Untuk Membayar Hutang

Bayar hutang tertinggi terlebih dahulu

Jika anda memiliki sejumlah wang, dan mempunyai pilihan sama ada untuk menyimpan wang tersebut dalam akaun simpanan, melabur ataupun membayar hutang anda, pilihlah alternatif yang ketiga. Pilihan ini adalah tepat terutamanya jika anda mempunyai beberapa pinjaman yang perlu dibayar. Walaupun anda hanya perlu melangsaikan satu pinjaman sahaja, keutamaan tetap perlu diberikan untuk menjelaskan hutang tersebut. Berdasarkan kadar faedah yang anda perlu bayar untuk hutang tersebut, ia akan menjejaskan kewangan anda dengan lebih teruk berbanding keuntungan yang anda dapat daripada akaun simpanan. Berdasarkan contoh di atas, jika anda mempunyai RM5,000 dan menggunakan untuk membayar balik hutang pinjaman, anda telah berjimat sebanyak RM600. Ini kerana jika anda simpan wang tersebut pada kadar faedah 6%, anda hanya akan mendapat pulangan sebanyak RM300. Jadi lebih baik jika anda menggunakan wang untuk melangsaikan hutang.

Bayar lebih berbanding bayaran minimum

Untuk pengetahuan anda, kad kredit juga merupakan sejenis pinjaman. Untuk menggunakannya dengan betul, pastikan anda mampu untuk membuat bayaran yang lebih berbanding bayaran minimum. Malah, lebih baik jika kad kredit digunakan apabila sangat diperlukan sahaja. Selain itu, pastikan anda mampu untuk membayar sepenuhnya sebaik sahaja anda menerima penyata kad kredit.

Hentikan penggunaan kad kredit buat sementara waktu

Sewaktu melangsaikan hutang anda, seeloknya kurangkan atau hentikan penggunaan kad kredit buat sementara waktu. Jangan menambah komitmen baharu sedangkan komitmen kewangan sedia ada masih belum dilangsaikan.

Jika anda tidak mampu untuk mengehadkan penggunaan kad kredit, lebih baik anda berhenti menggunakan kad kredit sehingga anda selesai melangsaikan hutang.

Tambah Pendapatan

Salah satu cara untuk melangsaikan hutang dengan lebih cepat ialah dengan menambahkan pendapatan. Biasanya, apa yang terlintas di fikiran ialah untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi. Namun, ia tidak mudah untuk dilakukan. Jika anda tidak mampu untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi, anda boleh mulakan pekerjaan sambilan.

Dengan pekerjaan sambilan, ia lebih fleksibel. Pilihan boleh dibuat untuk menentukan jenis kerja serta waktu bekerja.

Dengan cara ini, hutang anda akan lebih cepat dan mudah untuk dilangsaikan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 100/Ogos 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button