PenggunaPengurusan Hutang

Nasib Penjamin Apabila Peminjam Gagal Menjelaskan Bayaran

Penjamin sering menjadi mangsa apabila peminjam gagal membuat bayaran balik pinjaman yang dibuat dengan institusi kewangan.

Penjamin dibahagikan kepada dua, iaitu penjamin korporat dan penjamin sosial. Penjamin social adalah orang biasa yang menjalani kehidupan biasa. Kebiasaannya, mereka menjadi penjamin untuk menolong ahli keluarga sendiri atau kawan mereka bagi membeli kereta, rumah atau biasiswa tanpa mempunyai kepentingan kewangan.

Seseorang penjamin sosial akan dipertanggungjawabkan ke atas liabiliti peminjam mengikut syarat-syarat yang terkandung di dalam dokumen jaminan.

Apa yang kerap berlaku ialah penjamin sewenangwenangnya menandatangani kontrak jaminan tanpa menyedari sepenuhnya implikasi masa hadapan. Mereka beranggapan bahawa tanggungjawab mereka hanya sekadar menandatangani dokumen pinjaman bagi menolong peminjam untuk mendapatkan pinjaman. Oleh itu, amalan membaca dan memahami kontrak jaminan sebelum menandatanganinya adalah amat penting bagi bakal penjamin. Penjamin juga tidak boleh berprasangka baik bahawa peminjam adalah seorang yang jujur dan akan melaksanakan tanggungjawabnya.

Terdapat juga penjamin yang tidak tahu bahawa mereka telah dikenakan tindakan oleh institusi kewangan akibat kegagalan peminjam membuat pembayaran balik pinjaman. Penjamin tersebut mendakwa tidak menerima sebarang surat daripada institusi kewangan apabila tindakan undang-undang diambil seperti saman atau tindakan kebankrapan. Penjamin hanya mengetahui kedudukan mereka apabila permohonan pinjaman mereka tidak diluluskan disebabkan nama mereka disenaraikan oleh Agensi Rujukan Kredit seperti CTOS Sdn Bhd.

Oleh itu, penjamin mungkin tidak dapat membeli rumah, kereta atau apa sahaja yang melibatkan pinjaman daripada institusi kewangan. Ada juga penjamin yang dianiaya oleh ahli keluarga tersendiri dan terpaksa membuat bayaran bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terhadapnya.

Sebagai seorang penjamin, anda berhak untuk mendapat maklumat mengenai baki tertunggak akaun peminjam dengan institusi kewangan tersebut tertakluk kepada keizinan peminjam. Jika mengetahui bahawa peminjam gagal membuat bayaran, penjamin berhak untuk meminta peminjam membuat pembayaran sebelum institusi kewangan mengambil tindakan undang-undang.

Sebagai seorang penjamin, anda boleh diisytiharkan bankrap sekiranya peminjam tidak membayar balik pinjamannya jika hutang tersebut adalah bersamaan dengan ataupun melebihi RM30,000 seperti ditakrifkan di dalam Akta Kebankrapan 1967. Walau bagaimanapun, mengikut Akta tersebut, institusi kewangan perlu mengambil tindakan terhadap peminjam terlebih dahulu. Sekiranya gagal menghubungi peminjam, barulah tindakan boleh diambil ke atas penjamin sosial.

Memandangkan penjamin akan dipertanggungjawabkan ke atas liabiliti peminjam, penjamin harus berbincang dengan institusi kewangan untuk mengurangkan faedah pinjaman, mengetepikan caj pembayaran lambat atau untuk menstrukturkan pinjaman tersebut atas keupayaan penjamin. Sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan, penjamin boleh mendapatkan perkhidmatan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untukmenyediakan pelan penstrukturan / penjadualan semula pinjaman.

Melalui perbincangan NCCC dan FOMCA bersama Jabatan Insolvensi Malaysia pada April baru-baru ini, dimaklumkan bahawa Akta Kebankrapan 1967 dalam proses pindaan. NCCC dan FOMCA mengharapkan pindaan ini dapat mengurangkan beban terhadap penjamin sosial.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau myAduan@nccc.org.my

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 49/Mei 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button