Pelan PelaburanPelan Penyimpanan

Mulakan Perancangan Pesaraan Awal Anda Lebih Awal

Kita sering mendengar pepatah Melayu ‘sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit’ dan pepatah ini amat benar bagi perancangan persaraan. Namun, pada masa ini, golongan muda dewasa yang baru sahaja mula bekerja akan berhadapan dengan pelbagai komitmen dan cabaran. Selalunya, golongan muda yang bekerja ini akan leka dengan peluang-peluang baru dalam kehidupan bekerja mereka. Selain itu, mereka juga berhadapan dengan keutamaan yang bercanggah dengan gaya hidup mereka, serta keperluan untuk menyimpan bagi masa hadapan mereka. Oleh itu, perancangan persaraan mungkin tidak berada dalam senarai keutamaan mereka. Walau bagaimanapun, realitinya adalah apabila anda melangkah ke dalam dunia pekerjaan, waktu sentiasa bergerak ke arah hari persaraan

Kajian menunjukkan bahawa golongan muda dewasa menyedari tentang hari persaraan mereka kerana kebanyakannya masih tinggal dengan ibu bapa yang telah bersara ataupun mengenali saudara-mara mahupun rakan-rakan yang telah bersara. Mereka menyedari taraf kehidupan dan gaya hidup yang dijalani golongan pesara ini serta isu-isu yang mereka hadapi. Sekiranya mereka tidak suka melihat gaya hidup ibu bapa, saudara-mara ataupun rakan-rakan yang telah bersara ini, adalah lebih baik untuk bertindak sekarang untuk memastikan kehidupan persaraan mereka lebih baik. Dalam erti kata lain, golongan muda dewasa tidak perlu menunggu untuk bersara untuk mengetahui dan merasai dilema waktu persaraan jika mereka tidak membuat perancangan dari sekarang.

Insentif Belia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang baru dilancarkan bagi golongan berumur 30 tahun ke bawah kini telah meningkatkan kesedaran terhadap PRS dalam kalangan golongan muda yang bekerja. Insentif Belia PRS yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Bajet 2014 menyediakan insentif kerajaan sebanyak RM500 kepada penyumbang PRS yang membuat sumbangan minimum RM1,000 dalam setahun. Kerajaan mengiktiraf kepentingan menyediakan struktur insentif yang baik untuk menggalakkan golongan muda dewasa memperuntukkan simpanan persaraan yang awal ketika mereka bekerja bagi membolehkan mereka menjalani persaraan yang kukuh dari segi kewangan. Insentif berkenaan yang berkuat kuasa pada 2014 bagi tempoh lima tahun, juga adalah sokongan yang bertepatan masanya dengan penubuhan PRS sebagai tunggak ketiga sukarela bagi rangka kerja pencen negara.

Golongan muda dewasa yang bekerja, sekiranya memulakan simpanan PRS dalam umur 20-an bagi persaraan, sudah semestinya mempunyai kelebihan memandangkan mereka mempunyai simpanan 30 hingga 40 tahun serta pulangan pengkompaunan. Jumlah yang signifikan bagi dana yang disimpan dan dilaburkan dalam PRS akan membantu menangani masalah-masalah berkaitan kecukupan dan kemampanan dalam menggantikan pendapatan yang diperoleh semasa bekerja, pada tahun-tahun persaraan mereka.

Bagi menangani isu kemampuan, golongan muda dewasa boleh membuat permulaan yang mudah dengan mengagihkan 5% daripada gaji bulanan mereka ke dalam akaun PRS. Sumbangan RM1,000 hanya memerlukan sebanyak RM85 sebulan. Anggaplah ia seperti mengetepikan sebanyak RM3 sehari sebagai perbelanjaan di masa depan demi persaraan impian. Dengan insentif RM500 untuk belia, ahli-ahli akan berpeluang menambah simpanan PRS mereka daripada RM1,000 kepada RM1,500. Selain itu, sumbangan RM1,000 juga boleh dikecualikan daripada cukai pendapatan individu.

Dana Persaraan pada umur 60 tahun

Caruman Bulanan

Umur Permulaan

Simpanan Terkumpul pada umur 60 tahun Caruman Simpanan Bulanan Secara Tetap

Pertumbuhan Kompaun

20 (5.0%)

612,000 218,000 (36%) 394,000 (64%)
25 (7.5%) 551,000 211,100 (38%)

340,000 (62%)

30 (10.0%) 468,000 199,000 (43%)

269,000 (57%)

Berdasarkan kepada kajian Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA), kami mendapati bahawa sekiranya golongan muda dewasa mula menyimpan dengan PRS lebih awal, lebih banyak faedah yang akan mereka nikmati. Mereka yang mula menyimpan pada usia antara 20 dan 25 tahun pada kadar 5% daripada gaji bulanan (dengan anggapan gaji permulaan sebanyak RM2,000), dijangka akan dapat mengumpul sebanyak RM612,000 pada usia persaraan 60 tahun. Daripada jumlah yang dikumpul, sebanyak 64% adalah diperoleh daripada pertumbuhan pengkompaunan (dengan anggapan pulangan tahunan purata sebanyak 6%), manakala selebihnya, 36% adalah daripada modal yang disumbangkan secara simpanan bulanan tetap.

Walau bagaimanapun, mereka yang menangguhkan simpanan persaraan sehingga 10 tahun, iaitu pada umur 30 tahun, akan kehilangan sebanyak RM144,000 daripada simpanan terkumpul pada persaraan. Lebih lama masa yang diambil untuk memulakan simpanan persaraan, kelebihan pertumbuhan pengkompaunan akan berkurangan. Ini sudah tentu akan menyebabkan mereka perlu menambah kadar simpanan mereka.

Golongan muda dewasa yang bekerja mempunyai kelebihan masa untuk simpanan dan pengkompaunan pertumbuhan dana persaraan mereka. Pertama, tempoh sebelum bersara yang lebih panjang membolehkan golongan muda dewasa untuk menyimpan melalui caruman bulanan secara tetap. Keduanya, pelaburan jangka panjang ke atas simpanan persaraan membolehkan kesan pengkompaunan untuk mempercepatkan pertumbuhan dana persaraan. Secara dasarnya, melabur dalam dana yang secara konsisten memberi pulangan tahunan 7% akan menggandakan pertumbuhan dana dalam masa 10 tahun. Ketiga, pelaburan jangka panjang membolehkan dana mengatasi ketidaktentuan pasaran dan menjana pulangan purata yang mampan sepanjang tempoh pengumpulan persaraan. Dato’ Steve Ong adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA), pentadbir pusat bagi Skim Persaraan Swasta (PRS). PPA diamanahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menggalakkan pertumbuhan industri PRS, mewujudkan kesedaran dan mendidik orang ramai tentang simpanan persaraan. PPA juga bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan pencarum PRS.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 58/Februari 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button