Perancangan Kewangan

Modal Bukan Kewangan Untuk Persaraan

Persediaan untuk persaraan merupakan langkah yang perlu dilakukan oleh setiap orang, sama ada bekerja di sektor kerajaan, swasta dan bekerja sendiri. Anda perlu membuat pelaburan, simpanan dan meningkatkan pendapatan pasif anda dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan persaraan anda untuk masa hadapan. Walau bagaimanapun, anda perlu melakukannya semenjak dari awal lagi agar keperluan persaraan anda benar-benar mencukupi semasa anda bersara kelak.

Namun, apakah yang akan berlaku sekiranya anda terlambat atau tidak membuat persediaan persaraan? Adakah anda boleh menampung keperluan dan perbelanjaan bulanan anda apabila bersara kelak? Anda masih boleh menampung keperluan anda sekiranya anda mempunyai modal insan seperti kemahiran, pendidikan dan mempunyai modal sosial, di samping rakan-rakan serta kawasan kejiranan anda.

Antara modal bukan kewangan yang terbaik sebagai persediaan persaraan yang boleh dilakukan sekarang untuk memastikan kehidupan anda lebih sempurna pada masa hadapan seperti berikut:-

1) Tingkatkan tahap pengetahuan anda tentang Pelaburan

Pelaburan dalam hartanah, unit amanah, saham dan bon ekuiti adalah perkara-perkara yang perlu difahami dan dipelajari. Lebih banyak anda mengetahui dan memahami mengenai pelaburan, lebih banyak anda akan meningkatkan jumlah pelaburan anda untuk persaraan. Anda perlu bijak memilih khidmat nasihat pakar perunding kewangan yang bertauliah. Ia juga boleh membantu anda untuk meningkatkan pendapatan anda selepas bersara.

2) Menguasai kemahiran tertentu

Simpanan sahaja tidak mencukupi untuk menampung persaraan anda. Anda perlu mengenal pasti bakat dan minat atau memulakan sesuatu dari sekarang supaya anda bolehmeningkatkan pendapatan dan persediaan anda apabila bersara. Wujudkan pendapatan tambahan seperti memasarkan jualan melalui “facebook”, kemahiran dalam kerja tangan, kemahiran membuat kek, penjagaan bayi atau orang tua, kemahiran menulis dan sebagainya. Sekurangkurangnya dengan adanya pendapatan tambahan daripada kemahiran tersebut, anda masih boleh bekerja seperti biasa.

3) Kemahiran menyimpan duit secara praktikal

Anda perlu mengetahui langkah-langkah untuk membuat simpanan secara praktikal dan berkesan. Apabila bersara, anda akan berbelanja sama seperti ketika anda bekerja, tetapi wang yang anda perolehi semakin berkurangan. Oleh itu, anda perlu mewujudkan pendapatan pasif seperti mempunyai rumah sewa, mempunyai kereta sewa, pelaburan hartanah, perkongsian perniagaan, pelaburan saham, simpanan emas dan sebagainya. Anda juga boleh memperuntukkan sejumlah simpanan setiap bulan untuk mencukupkan matlamat kewangan persaraan anda. Seperti contoh, apabila bersara anda memerlukan RM2,000 sebulan untuk menampung kos perbelanjaan anda sebulan. Oleh itu, kemahiran menyimpan duit secara praktikal sangat penting untuk persediaan persaraan anda kelak.

4) Jimatkan kos perbelanjaan

Amalkan langkah-langkah yang dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian anda. Wang yang dapat dijimatkan ini boleh disimpan untuk menambah dana persaraan masa hadapan anda. Antara langkah yang dapat menjimatkan kos perbelanjaan adalah dengan mengadakan amalan bergotong-royong, yang melibatkan kejiranan anda, apabila mengadakan majlis perkahwinan atau kenduri kesyukuran. Amalan bergotong-royong ini dapat mengurangkan banyak perbelanjaan, berbanding sekiranya anda menggunakan khidmat katering.

Anda juga boleh mengelakkan daripada membayar kos perubatan kesihatan yang tinggi sekiranya kesihatan anda berada pada tahap yang memuaskan. Oleh itu, anda perlu mengamalkan pemakanan yang sihat, sentiasa bersenam dan memastikan emosi anda sentiasa berada dalam keadaan stabil. Tubuh badan yang sihat dapat mengelakkan daripada wang simpanan untuk persaraan anda digunakan bagi membayar kos perubatan kesihatan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 25/Mei 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button