Skip to toolbar
Pelan PewarisanPentadbiran PusakaWasiat

Mewariskan Harta Kepada Orang Tersayang

Penulisan wasiat merupakan perkara yang sering dianggap sebagai sesuatu yang remeh. Hanya kira-kira 2% daripada penduduk Malaysia yang telah menulis wasiat. Majoriti penduduk ‘terlepas pandang’ tentang kepentingan menulis wasiat.

Berdasarkan rekod Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, kira-kira RM60 bilion jumlah harta tidak dituntut oleh waris si mati sehingga tahun 2016.

Adakah penulisan wasiat benar-benar diperlukan? Mari kita lihat beberapa persoalan umum dan akibat tidak menulis wasiat.

Kebaikan Mempunyai Wasiat

A. Secara Konvensional

Jadual di bawah menunjukkan kelebihan menulis wasiat dan akibat meninggalkan keluarga anda tanpa menyediakannya.

Jika seseorang meninggal dunia dengan wasiat Jika seseorang meninggal dunia tanpa wasiat
Harta pusaka akan diberi kepada waris pilihan anda. Tanpa mempertimbangkan keperluan waris, harta pusaka akan dibahagikan mengikut Akta Pembahagian 1958 dan bukannya mengikut kehendak anda.
Anda berhak memilih pentadbir aset yang bakal melaksanakan wasiat. Anda juga boleh melantik penjaga yang boleh menjaga kebajikan anak-anak anda sehingga mereka matang. Mahkamah akan membuat keputusan untuk anda
Kos untuk memproses pembahagian harta adalah rendah dan hanya mengambil masa beberapa bulan. Wasiat akan memastikan orang tersayang mendapat jaminan daripada sudut kewangan, selain mengelakkan konflik antara ahli keluarga Proses pembahagian mungkin melibatkan kos yang tinggi, dan dalam kes yang melibatkan konflik kekeluargaan, yuran guaman boleh melonjak berlipat kali ganda kerana kes-kes sebegini boleh mengambil masa sehingga beberapa tahun untuk diselesaikan. Keadaan ini menyebabkan keluarga anda menghadapi masalah kewangan dan persengketaan sebelum dapat mewarisi pusaka anda.

Sering kali, pertikaian tentang pembahagian harta si mati menyebabkan perselisihan sesama ahli keluarga. Persediaan wasiat boleh menggelakkan konflik yang mungkin berlaku pada masa depan apabila berlaku kematian.

B. Secara Islam

Bagi orang Islam, wasiat hendaklah ditulis mengikut undang-undang Islam. Wasiat perlu bagi orang Islam. Tanpa penyediaan wasiat, harta pusaka akan dibahagikan mengikut kaedah Faraid, yang menyebabkan anak angkat atau anak tiri tidak layak mewarisi apa-apa harta.

Jika seorang Muslim meninggal dunia dengan wasiat Jika seorang Muslim meninggal dunia tanpa wasiat
Selepas menolak hutang dan liabiliti, seorang Muslim boleh memilih untuk menyumbang 1/3 daripada harta pusakanya kepada bukan waris, dan bakinya akan diberi kepada waris Faraid (mengikut undang-undang). Harta akan diagihkan mengikut undang-undang Faraid. Andaikan kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia, 1/8 daripada harta pusaka si mati akan diberi kepada isteri, dan selebihnya akan diberi kepada anak lelaki dan anak perempuan (dengan pertalian darah tetapi tidak termasuk anak luar nikah) dengan nisbah 2:1.
Sesiapa boleh menjadi waris anda, (pengagihan lebih daripada ½ harta pusaka kepada bukan waris memerlukan persetujuan daripada waris, tetapi walaupun tanpa persetujuan mereka, pengagihan boleh dilakukan sebagai Hibah semasa anda masih hidup). Ahli keluarga bukan Islam tidak berhak mewarisi harta pusaka ahli keluarga Muslim. Anak angkat atau anak tiri tidak berhak mewarisi harta pusaka.
Kebaikan lain adalah sama dengan wasiat secara konvensional. Kesan-kesan lain adalah sama dengan tidak mempunyai wasiat konvensional.

Penyediaan wasiat bertujuan untuk memastikan harta pusaka tersebut akan diagihkan mengikut keutamaan dan kehendak si mati.

Siapakah Yang Perlu Menulis / Memperbaharui Wasiat?

Wasiat perlu dikemas kini dari semasa ke semasa untuk merangkumi semua aset yang baru diambil alih atau perubahan dalam waris.

Berikut beberapa keadaan yang memerlukan anda menulis atau mengemas kini wasiat anda:

  • Perkahwinan, perkahwinan semula atau perceraian
  • Memulakan atau menamatkan perniagaan
  • Kematian ahli keluarga atau benefisiari
  • Pembelian atau pelupusan aset
  • Pertukaran agama; contohnya kepada agama Islam, iaitu wasiat terikat kepada Undang-undang Syariah

Kesimpulan

Lebih penting lagi, anda tidak mahu harta anda diambil alih oleh kerajaan akibat tidak dituntut oleh sesiapa. Beri perhatian untuk menulis fasal-fasal dalam wasiat tersebut dengan jelas dan sempurna kerana wasiat yang tidak sah atau boleh dicabar adalah sama seperti anda tidak membuat wasiat.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 104/December 2018

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button