Perancangan Kewangan

Merancang Perkahwinan Dan Keluarga

Perkahwinan adalah suatu komitmen yang besar dan anda hanya boleh berumah tangga jika anda telah bersedia memikul tanggungjawab tersebut. Anda juga akan berhadapan dengan isu-isu kehidupan sebenar termasuk isu kewangan.

Perkahwinan

Anda seharusnya bersikap realistik tentang perbelanjaan perkahwinan anda. Anda pastinya akan terperanjat apabila mengetahui betapa besarnya jumlah yang terlibat bagi semua perbelanjaan yang berkaitan, seperti hadiah, majlis istiadat, jamuan makan, pakaian, kasut, barangan hantaran dan gambar perkahwinan.

Dalam membuat perancangan perkahwinan, antara aspek yang perlu difikirkan adalah:-

  1. Sediakan senarai barangan yang mustahak bagi perkahwinan anda.
  2. Berbincang dengan pasangan anda tentang jumlah wang yang anda mampu peruntukkan.
  3. Dapatkan petua dan nasihat daripada orang yang berpengalaman dan cara berbelanja secara berhemat.
  4. Jangan berbelanja sehingga anda terpaksa meminjam daripada ahli keluarga atau bank.

Anda sepatutnya membuat simpanan awal bagi perkahwinan sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan anda secara menyeluruh. Terdapat banyak kes tentang pasangan yang mengalami masalah disebabkan hutang besar yang terpaksa ditanggung kerana perbelanjaan perkahwinan.

Perkahwinan dan keluarga

Wang merupakan isu yang sensitif. Ini menyebabkan ramai pasangan yang mengharungi alam perkahwinan tanpa berbincang antara satu sama lain secara terbuka mengenainya. Berikut adalah perkara yang melibatkan keputusan kewangan bersama (dengan andaian anda berdua bekerja):-

  • Perancangan kewangan anda sepatutnya beralih daripada perancangan individu kepada perancangan bersama pasangan.
  • Buat keputusan untuk menangani bil-bil rutin, perbelanjaan untuk keluarga dan anak, bajet isi rumah, termasuk simpanan dan pelaburan.
  • Untuk membuat bayaran bagi perbelanjaan bersama, simpan duit di dalam akaun bersama setiap bulan. Kaji semula perbelanjaan ini sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk melihat sama ada perbelanjaan bertambah kerana inflasi ataupun gaya hidup anda yang baru.
  • Jika anda berdua membuat keputusan untuk menggunakan kad kredit untuk perbelanjaan bersama, pastikan pasangan mempunyai akses kepada akaun bersama untuk memudahkan pembayaran kad kredit.
  • Sepertimana perancangan semasa anda bujang, anda perlu menyediakan dana kecemasan untuk menghadapi perbelanjaan di luar dugaan yang mungkin membebankan anda, pasangan atau keluarga anda.
  • Bincang tentang cara pelaburan anda dan pasangan, termasuk jenis risiko dan kecenderungannya. Adalah bijak untuk mempunyai portfolio pelaburan yang serupa bagi memenuhi matlamat kewangan anda seperti persaraan bersama dan hidup dalam keselesaan. Pelaburan ini juga adalah untuk menanggung pembiayaan pengajian dan kos sara hidup anak anda nanti.

“Adalah bijak untuk mempunyai portfolio pelaburan yang serupa bagi memenuhi matlamat kewangan anda seperti persaraan bersama dan hidup dalam keselesaan. Pelaburan ini juga adalah untuk menanggung pembiayaan pengajian dan kos sara hidup anak anda nanti.”

Hutang kewangan

Anda harus berbincang tentang hutang yang akan dibebani bersama.Setiap pasangan harus membuat komitmen untuk menyelesaikan hutang masing-masing dalam jangka masa tertentu selepas berkahwin, sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan sebelum berkahwin.

Sekiranya perlu untuk mendapatkan pinjaman atau kad kredit selepas berkahwin, berbincanglah terlebih dahulu tentang komitmen dan kemampuan anda. Anda dan pasangan tidak perlu berselindung daripada berbincang tentang perkara hutang. Dilaporkan bahawa sesetengah perkahwinan gagal kerana masalah hutang yang dialami oleh pasangan mereka.

Semakan kewangan

Menyediakan bajet bulanan dan membuat semakan bagi perbelanjaan seminggu sekali menggunakan aliran tunai merupakan amalan yang sihat bagi keluarga anda. Nilai harta bersih keluarga anda (aset dan liabiliti) dan komitmen kewangan isi rumah sepatutnya disemak setiap bulan.

Anda dan pasangan mesti mengkaji perbelanjaan perumahan dan harta nilai bersih setiap bulan. Jadikan ini suatu amalan yang ceria bersama-sama pasangan anda. Bincang secara positif untuk meningkatkan komitmen kewangan isi rumah, berusaha mencari idea yang kreatif dan bernas untuk menambahkan wang masing-masing dan keluarga anda.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 31/November 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button