Pelan PenyimpananPengguna

Menuntut Wang Simpanan Ahli KWSP Yang Meninggal Dunia

Kematian adalah perkara yang menyayat hati. Walau bagaimanapun, ahli keluarga perlu meneruskan kehidupan sungguhpun sukar untuk melalui detik duka ini. Bagi membantu ahli keluarga yang masih hidup, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja telah memperkenal Pengeluaran Kematian untuk membolehkan simpanan ahli KWSP dikeluarkan oleh penama ataupun waris terdekat sekiranya ahli meninggal dunia.

Siapakah yang layak untuk memohon pengeluaran ini sekiranya ahli meninggal dunia?

Sekiranya ahli telah membuat penamaan semasa beliau masih hidup, penama yang telah dinamakan merupakan individu yang layak bagi memohon pengeluaran ini dengan syarat penama kepada ahli itu mesti berumur tidak kurang daripada 18 tahun.

Terdapat juga kes yang melibatkan ahli meninggal dunia tanpa membuat penamaan. Sekiranya ini berlaku, waris terdekat ataupun Pentadbir Pusaka ahli adalah layak untuk memohon bagi mengeluarkan simpanan ahli KWSP. Bagaimanapun, KWSP menyeru agar ahli membuat penamaan terhadap simpanan KWSP mereka bagi memastikan simpanan tersebut dibayar kepada waris yang benar-benar layak.

Berapakah jumlah yang boleh dikeluarkan?

Semua simpanan ahli KWSP yang meninggal dunia boleh dikeluarkan.

Apa akan terjadi sekiranya penama berumur kurang daripada 18 tahun?

KWSP hanya akan membuat pembayaran kepada penama apabila penama mencecah umur 18 tahun. Bagaimanapun, penjaga penama yang sah boleh memohon untuk mengeluarkan simpanan ahli bagi membiayai kehidupan penama. Kelulusan adalah tertakluk kepada budi bicara KWSP yang memerlukan penjaga membuktikan bahawa beliau adalah penjaga yang sah.

“Tanpa penamaan, proses untuk mengeluarkan simpanan ahli KWSP akan pasti menjadi rumit dan perlu melalui beberapa proses yang membebankan.”

Bagaimana situasinya bagi ahli yang beragama Islam?

Jika ahli beragama Islam, penama hanya bertindak sebagai pentadbir (Wasi) yang bertanggungjawab untuk mengagihkan simpanan ahli KWSP yang meninggal dunia mengikut Hukum Faraid.

Sekiranya penamaan telah dibuat, bagaimanakah prosedur untuk membuat Pengeluaran Kematian?

Penamaan yang dibuat dapat menjamin kelancaran proses pengeluaran. Penama boleh memohon Pengeluaran Kematian dengan hanya mengisi Borang 9KM KWSP (AHL) dan mengemukakannya beserta dokumen-dokumen berikut:

  • Sijil Kematian Ahli
  • Kad Pengenalan waris/pemohon
  • Buku Bank Akaun Simpanan Peribadi ataupun salinan asal Penyata Akaun Simpanan Semasa

Dokumen sokongan lain yang diperlukan apabila memohon ialah:

  • Borang 22 KWSP perlu dilengkapkan oleh penjaga kepada penama yang belum mencecah usia 18 tahun. Penjaga juga perlu mengemukakan satu salinan Sijil Surat Beranak penama tersebut.
  • Borang 10A KWSP perlu dilengkapkan oleh waris terdekat penama yang meninggal dunia selepas kematian ahli. Pemohon juga diperlukan mengemukakan sijil kematian penama.

KWSP hanya akan membuat pembayaran simpanan ahli kepada penama dalam jangka masa dua minggu dengan syarat borang dan dokumen yang diserahkan adalah lengkap.

Apa akan terjadi kepada simpanan KWSP ahli sekiranya ahli gagal untuk membuat Penamaan?

Tanpa penamaan, proses untuk mengeluarkan simpanan ahli KWSP akan pasti menjadi rumit dan perlu melalui beberapa proses yang membebankan.

Sekiranya tiada Penamaan dibuat, KWSP akan membuat pembayaran kepada waris terdekat ahli yang difikirkan sebagai individu yang berhak untuk menerima simpanan ahli KWSP. Waris perlu mengemukakan dokumen-dokumen tersebut apabila memohon untuk Pengeluaran Kematian ahli.

  • Sijil Kematian Ahli
  • Kad Pengenalan pemohon
  • Surat Kuasa Mentadbir atau Surat Probet atau Perintah Pembahagian
  • Salinan dokumen yang menyatakan dan mengesahkan ikatan pemohon dengan ahli
  • Sijil Perkahwinan
  • Sijil Kelahiran Anak (sekiranya ada)
  • Buku Akaun Simpanan Peribadi atau salinan asal Penyata Akaun Simpanan Semasa

Bagi ahli yang mempunyai simpanan KWSP yang kurang daripada RM25,000, KWSP hanya akan membayar pendahuluan sebanyak RM2,500 kepada waris terdekat, manakala bakinya akan dibayar selepas tempoh dua bulan dari tarikh ahli meninggal dunia.

Bagi simpanan KWSP melebihi RM25,000, proses untuk mengeluarkan semua simpanan KWSP akan mengambil masa yang lebih lama. KWSP pada peringkat awal akan membayar pendahuluan sebanyak RM2,500 kepada waris terdekat dan pembayaran yang tidak melebihi RM17,500 hanya akan dibuat selepas dua bulan dari tarikh ahli meninggal dunia. Manakala baki simpanan akan dibayar selepas dokumen Surat Kuasa Mentadbir atau Surat Probet atau Perintah Pembahagian atau Sijil Faraid dikemukakan.

Proses untuk memperoleh dokumen ini adalah sukar dan memakan masa yang lama serta berkemungkinan dikenakan bayaran oleh pihak berkuasa yang mengeluarkannya. Perkara sebegini boleh dielakkan sekiranya Penamaan dibuat semasa ahli masih hidup.

Adakah waris kepada ahli yang meninggal dunia akan menerima bantuan kematian daripada KWSP?

Ya. Sebagai tanda simpati dan untuk meringankan beban kewangan ahli keluarga yang masih hidup, KWSP akan membayar Bantuan Kematian sebanyak RM2,500 kepada mereka.

Bantuan ini hanya layak diberi jika ahli meninggal dunia sebelum mencecah umur 55 tahun. Bantuan ini tidak semestinya diberikan kepada penama kerana mengikut budi bicara KWSP bantuan ini hanya diberikan kepada waris terdekat iaitu balu, duda, anak ataupun ibu bapa ahli.

Untuk makluman lanjut berkaitan Pengeluaran Kematian, hubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000 atau layari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 25/Mei 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button