Pelan Pendapatan

Menjana Pendapatan Tambahan

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan kos sara hidup kian meningkat, ramai orang ingin mencari pekerjaan tambahan bagi menambahkan pendapatan. Bagi membantu mereka yang ingin mendapatkan pendapatan tambahan, berikut adalah beberapa peluang yang boleh menjana pendapatan tambahan, tanpa memerlukan masa dan tenaga yang banyak.

  1. Berniaga barang – barang terpakai
    Anda ada buku-buku lama yang tidak dibaca lagi? Ataupun mesin senaman yang terbiar mengambil ruang sudut bilik, saksi azam Tahun Baru yang tertangguh? Apakata jana sedikit untung di sebalik hasrat anda untuk mengemas rumah. Anda boleh jual barang-barang anda secara dalam talian di eBay atau Mudah.com, sertai carboot sale ataupun aturkan yard sale di perkarangan rumah anda.
  2. Menjadi ‘freelancer’
    Dengan kadar penembusan pengguna internet yang semakin ramai pada masa ini, anda wajar mengambil kesempatan daripadanya. Anda boleh mengiklankan bakat dan kebolehan yang anda ada dan mencari projek sampingan untuk menjana pendapatan tambahan. Bergantung kepada kepakaran anda, projek-projek ini kadangkala mungkin kecil, namun bayaran yang ditawarkan adalah lumayan. Platform seperti Fiverr, Freelancer.com dan Upwork.com antara laman-laman sesawang yang boleh anda lawati untuk mencari projek-projek tersebut.
  3. Menjadi tutor
    Jika anda mahir dalam sesuatu mata pelajaran, anda boleh menjadikannya untuk menambah pendapatan, iaitu menjadi seorang tutor. Terdapat ramai pelajar yang inginkan bantuan anda. Sebagai permulaan, anda boleh mengajar ahli keluarga anda terlebih dahulu dengan caj yang rendah.
  4. Perkhidmatan sewa
    Jika anda memiliki bilik atau rumah tambahan, anda boleh menyewakan hartanah tersebut untuk jangka masa yang singkat. Anda boleh menggunakan platform seperti iklaneka di kawasan anda ataupun AirBnb untuk tujuan ini. Anda juga boleh menggunakan langkah ini sekiranya anda memiliki kereta dengan menggunakan khidmat seperti Grab atau Uber.
  5. Hobi anda
    Anda boleh menjadikan hobi atau sesuatu yang anda minat sebagai sumber pendapatan. Sebagai contoh, anda minat memasak, menata rias, bertukang, dan sebagainya, maka ia boleh menjadi titik mula untuk anda menjual produk, membuka kelas, atau mencari rakan kongsi yang memiliki minat yang sama.
  6. Melabur
    Sekiranya anda mempunyai wang yang berlebihan, terdapat pelbagai pilihan untuk anda melabur – pilihan pelaburan seperti saham dan unit amanah. Pelaburan adalah salah satu cara yang amat popular dalam menjana pendapatan sampingan secara pasif. Namun, pastikan anda telah melakukan kajian menyeluruh, menyediakan modal yang besar dan bersedia untuk menghadapi risiko kerugian yang tinggi sewaktu memulakan pelaburan anda.
  7. Menulis blog
    Anda juga boleh menjana pendapatan tambahan jika anda minat menulis. Dengan menggunakan kemudahan blog, anda boleh menulis tentang apa juga topik yang anda minati – fotografi, sukan, teknologi, hatta berkebun sekalipun. Anda harus rajin menerbitkan artikel-artikel yang berkualiti tinggi untuk menarik minat pembaca. Jika blog anda dilawati oleh ramai orang, blog anda boleh menjana pendapatan melalui iklan atas talian, seperti google ads. Kebanyakan cadangan di atas juga boleh menjadi pilihan bagi anda melegakan tekanan di luar waktu kerja. Sebaik sahaja anda berjaya mengimbangi keperluan kedua-dua kerjaya, anda akan mendapat lebih kebebasan dalam mengawal kestabilan kewangan anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 85/Mei 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button