Pelan PerlindunganPengguna

Menjadi Pengguna Insurans yang Berpengetahuan

Sama ada anda sedar atau tidak, insurans merupakan perkara yang berkait rapat dalam kehidupan anda. Apabila membeli kereta, anda diwajibkan oleh undang-undang untuk membeli insurans motor. Begitu juga apabila anda memohon pinjaman perumahan, bank hanya akan meluluskan pinjaman apabila anda mempunyai polisi insurans kebakaran. Terdapat pelbagai polisi insurans yang lain seperti insurans kemalangan diri, insurans perubatan atau kesihatan, insurans perjalanan dan banyak lagi.

Sebelum anda meneliti pelbagai polisi insurans di pasaran dan memutuskan untuk mengambil perlindungan insurans, bacalah artikel ini yang bertujuan untuk memberi kefahaman asas tentang kepentingan insurans serta memberi tip-tip penting apabila anda ingin membeli atau memperbaharui insurans.

Sebagai pengguna insurans yang berpengetahuan, anda bukan sahaja akan menggunakan wang anda secara bijak tetapi menyimpan untuk jangka masa panjang.

Apakah itu insurans? Insurans wujud berasaskan idea sekumpulan besar orang yang berkepentingan sama, bersama-sama berkongsi sedikit wang mereka bagi membentuk suatu dana, yang daripadanya boleh dikeluarkan bagi meringankan kesusahan yang ditanggung oleh ahli yang lain.

Berasaskan idea tersebut, syarikat insurans ditubuhkan bagi menguruskan wang premium yang dibayar oleh pemegang-pemegang polisi. Jika dalam satu tahun tertentu, syarikat insurans kurang menerima tuntutan, maka syarikat insurans akan membina rizab wang untuk menampung apabila mengalami tuntutan yang agak besar pada tahun-tahun lain.

Tulus dan Jujur

Kontrak insurans atau polisi adalah berdasarkan kepercayaan. Syarikat insurans mempercaya anda, sebagai pemegang polisi, untuk memberikan maklumat yang tepat dan benar terhadap perkaraperkara yang diinsuranskan. Ini dipanggil prinsip ‘tulus dan jujur’.

Langkah yang harus diambil adalah dengan memberitahu maklumat yang benar secara keseluruhan supaya syarikat-syarikat insurans boleh membuat penilaian yang wajar tentang sesuatu risiko. Begitu juga, setelah menerima polisi insurans, anda perlu membaca semua dokumen dengan teliti untuk memastikan bahawa anda memahami terma-terma dan risiko yang dilindungi dan tidak dilindungi.

Panduan Membeli Insurans Am

  • Sebelum anda melanggan polisi insurans, langkah terbaik adalah untuk mendapatkan beberapa sebut harga untuk membuat perbandingan. Malaysia mempunyai banyak syarikat insurans untuk pilihan anda. Terdapat 23 buah syarikat insurans am yang menawarkan perlindungan insurans am dan 11 buah syarikat takaful yang menawarkan perlindungan takaful am.
  • Apabila memilih syarikat insurans, anda perlu memastikan syarikat tersebut menyediakan perlindungan yang anda perlukan, perkhidmatan tuntutan yang berwibawa, harga yang berpatutan dan menyediakan dokumentasi segera.
  • Anda juga boleh mendapatkan bantuan daripada ejen insurans. Walau bagaimanapun, untuk memastikan bahawa anda dilindungi daripada ejen yang tidak bertanggungjawab, pastikan anda berurusan dengan ejen berdaftar di bawah Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sahaja. Anda boleh menghubungi syarikat insurans atau PIAM di talian 03-22747395/9.
  • Apabila memilih ejen, anda perlu mencari ejen yang menyediakan perkhidmatan yang cepat, cekap dan efisien. Anda boleh memilih daripada lebih 30,000 ejen berdaftar di bawah PIAM yang terdapat di seluruh Malaysia.
  • Bagi ahli perniagaan, anda boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai perlindungan insurans melalui broker insurans. Broker insurans adalah golongan profesional sepenuh masa yang memberi nasihat kepada pelanggan mengenai perlindungan insurans yang paling sesuai. Lazimnya syarikat insurans akan menawarkan perlindungan yang memberi manfaat, harga yang bersesuaian dengan keperluan pelanggan.
  • Broker insurans menjalankan pelbagai fungsi lain untuk pelanggan termasuk memastikan tempoh perlindungan insurans dikemas kini, memberi nasihat tentang pindaan yang perlu dan meremit premium kepada syarikat-syarikat insurans.
  • Setelah anda membuat keputusan membeli polisi insurans, sila baca polisi tersebut. Sekiranya terdapat butiran dokumen yang tidak lengkap, pemegang polisi boleh bertanya secara terus dengan syarikat insurans dan meminta pindaan dilakukan.
  • Polisi yang dibeli merupakan kontrak yang sah dan akan diperlukan sekiranya anda ingin membuat tuntutan. Oleh itu, dokumen ini hendaklah disimpan di tempat yang selamat. Anda perlu menyenaraikan insurans yang telah dilanggan serta risiko yang dilindungi.
  • Sebagai pemegang polisi, anda perlu memastikan bahawa tempoh perlindungan polisi masih belum luput. Syarikat-syarikat atau ejen-ejen insurans mempunyai sistem memberi peringatan tamat tempoh atau pembaharuan tarikh kepada pelanggan. Bagi mengelakkan polisi luput atau tidak membaharui insurans, premium insurans perlu dibayar tepat pada masanya. Jika pembayaran melalui cek, pastikan cek tersebut dibayar kepada syarikat insurans dan pastikan anda mendapat resit rasmi daripada syarikat insurans.
  • Selain bayaran melalui cek, pembayaran lebih mudah untuk membayar premium insurans boleh dibuat sama ada melalui kad kredit, kad debit atau secara atas talian seperti Maybank2u.

60 hari klausa Waranti Premium

Syarikat-syarikat insurans am menguatkuasakan 60 hari klausa Waranti Premium bagi kebanyakan jenis perlindungan insurans, kecuali polisi insurans motor, insurans perjalanan, insurans badan kapal dan bon insurans.

Di bawah klausa Waranti Premium, pemegang polisi dikehendaki untuk membayar premium yang dikenakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kuat kuasa perlindungan insurans (polisi insurans anda, nota perlindungan dan / atau sijil pembaharuan akan menunjukkan tarikh kuat kuasa perlindungan). Sekiranya premium tidak dibayar pada hari ke-60, perlindungan insurans akan dibatalkan secara automatik dari hari ke-61.

Dalam kes insurans motor, ia telah ditetapkan oleh undang-undang bahawa perlindungan insurans motor hanya boleh dikeluarkan oleh penanggung insurans atau ejen mereka berasaskan ‘bayaran tunai sebelum perlindungan’. Ini bermakna bahawa premium mesti dibayar sebelum nota perlindungan insurans motor atau polisi boleh dikeluarkan. Sila hantar pertanyaan anda pada insurans am kepada:

Persatuan Insurans Am Malaysia,
Tingkat 3, Wisma PIAM,
150, Jalan Tun Sambanthan,
50470 Kuala Lumpur.
Tel: 03 – 2274 7395/9
Faks : 03 – 2274 5910

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 46/Februari 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button