Pelan PenyimpananPerancangan Kewangan

Meniti Usia Persaraan

Hari untuk Adam dan Aida merealisasikan kehidupan yang diimpikan selama ini sudah tiba. Kedua-dua mereka akhirnya bersara! Namun begitu, berapa ramai yang mengalu-alukan detik persaraan mereka?

Sejak Adam dan Aida beralih kepada tahun emas mereka, mari teliti bagaimana mereka menguruskan kewangan dan penyelesaian yang boleh diguna pakai untuk mengatasi kemusykilan demi menjamin gaya hidup persaraan yang lebih sempurna.

Haruskah saya bersara ataupun tidak? Itu bukan lagi suatu pilihan! Bagi kebanyakan orang yang bekerja, usia persaraan mandatori sudah ditetapkan, tidak kira sama ada anda sudah bersedia ataupun tidak.

Kajian terkini mendapati lebih sepertiga daripada orang yang sedang menghampiri fasa persaraan, mempunyai kurang keyakinan diri berbanding setahun lalu. Ini bersesuaian dengan petikan kenyataan Chris Farrrel, dalam bukunya, Right on the Money: Taking Control of Your Personal Finances yang berbunyi, “Paling membimbangkan ialah apabila kehabisan wang. Itulah perasaan takut yang dirasai oleh setiap pesara”.

Dengan menabung pada peringkat awal usia dewasa anda, maka anda mungkin mempunyai wang yang mencukupi untuk menikmatinya apabila anda bersara. Bagi Adam, dia sudah merancang dengan baik dan kini usahanya membuahkan hasil kerana tabiat menabung yang disemai dalam dirinya semenjak zaman persekolahannya.

Dia memberikan keutamaan kepada menabung 10 peratus daripada gajinya setiap bulan dan berdisiplin mematuhi beberapa daripada prinsip berikut:-

  • Daftar untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada hari pertama dia bekerja dan memulakan akaun persaraan peribadi dengan menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus pendapatan sebagai tambahan kepada KWSP.
  • Tambahkan tabungan dana persaraan peribadinya pada peratusan tertentu pendapatan tahunan dengan peningkatan usia.
  • Peruntukkan sebahagian daripada jumlah kenaikan gaji atau bonus tahunan kepada tabung persaraannya.
  • Semak semula portfolio pelaburan persaraannya setiap tahun untuk memastikan wang bertambah selaras dengan pelan persaraan yang disasarkannya.

Meskipun Adam dan Aida mungkin mempunyai wang yang cukup untuk persaraan, namun mereka memegang pada prinsip ‘Berhemat – Belanjawan Persaraan’, mereka terus tertumpu pada pelaburan berhemat. Contohnya, Adam masih memandu kereta buatan Jepun yang sudah 10 tahun usianya, sementara Aida pula masih menggunakan mesin jahit yang dimilikinya sejak 15 tahun dahulu. Pasangan ini juga masih menggunakan televisyen model lama yang besar, berbanding televisyen plasma terkini.

Jadi, apa yang perlu anda buat sekiranya usia emas anda tidak begitu membahagiakan? Bukan semua orang bertuah seperti Adam dan Aida yang mempunyai tabungan yang mencukupi untuk persaraan mereka.

Hasil beberapa tinjauan menunjukkan bahawa 50 peratus orang bimbang mereka tidak bersedia untuk bersara. Sikap pesimis mereka ini adalah berasas berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menunjukkan kebanyakan dana persaraan ahli KWSP hanya dapat kekal secara purata dalam tempoh tiga tahun.

Berikut adalah cadangan untuk memperoleh manfaat daripada dana persaraan:-

Nilai semula sasaran

Ada kalanya, anda perlu bersifat realistik mengenai sasaran anda. Jika unjuran menunjukkan dana tidak mencukupi untuk menampung gaya hidup tertentu semasa persaraan, perubahan yang wajar perlu dibuat kepada pelan asal. Ini sebenarnya soal mengenai jangkaan dan berasa puas hati dengan apa yang anda miliki.

Mengecilkan saiz rumah

Ada kalanya mengecilkan saiz rumah anda merupakan pilihan yang baik untuk mendapatkan wang tambahan untuk dana persaraan. Jika anda dan pasangan anda tinggal di rumah berkenaan, yang kini terlalu besar, anda boleh menjualnya dan menggantikannya dengan rumah yang lebih kecil. Wang lebihan yang diperoleh daripada jualan rumah lama, selepas membeli rumah lebih kecil, boleh ditambahkan kepada dana persaraan.

Anda juga mungkin mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan kejiranan, bandar atau negeri lain yang kos sara hidupnya tidak begitu tinggi. Ini juga dapat mengurangkan perbelanjaan harian anda.

Libatkan diri dalam pekerjaan atau perniagaan selepas bersara

Anda juga perlu memikirkan sama ada anda mahu bekerja atau terpaksa bekerja!. Ada kalanya anda tiada pilihan tetapi perlu terus bekerja, iaitu dengan membabitkan diri dalam pekerjaan selepas bersara atau memulakan perniagaan sendiri.

Ini dapat membantu dalam dua cara. Pertama, anda mempunyai tempoh pengumpulan dana persaraan yang lebih panjang. Kedua, tahun persaraan disingkatkan. Namun begitu, anda masih terlalu muda untuk bersara pada umur 55 tahun.

Optimumkan keistimewaan warga tua

Sebagai masyarakat prihatin, Negara menawarkan pelbagai keistimewaan dan diskaun kepada warga tua dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan, termasuk tambang penerbangan, tren dan LRT, wayang, penginapan hotel sehinggalah tawaran hebat di pusat beli belah.

Semakin banyak syarikat memberikan insentif mengguna pakai segmen pasaran warga tua, sebagai suatu tanggungjawab sosial dan juga untuk memanfaatkan pasaran sasaran yang menguntungkan bagi perniagaan mereka.

Anda perlu berbelanja secara bijak, tetapi ini tidak bermakna anda perlu mengurangkan nikmat hidup dengan bersikap terlalu konservatif. Pada peringkat awal persaraan, anda perlu berhati-hati dan menjalani gaya hidup seimbang.

Walaupun wang menjadi suatu keperluan dalam dunia hari ini, tetapi wang bukanlah segalanya. Jangan jadikan wang sebagai matlamat asas hidup anda. Kesihatan, keluarga dan kesejahteraan rohaniah juga adalah unsur  penting yang menyumbang kepada kehidupan yang lebih sempurna.

Anda harus kerap menderma dan membuat  sumbangan, dari segi masa dan wang kepada mereka yang kurang bernasib baik. Anda perlu mewujudkan keseimbangan dalam kehidupan agar kehidupan anda lebih bermakna.

Sumber : Berita Harian/AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 44/Disember 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button