Perancangan Kewangan

Menghadapi Halangan Kehidupan Berkaitan Kewangan

Dalam menjalani kehidupan, pelbagai bentuk cabaran dan halangan yang berlaku. Cabaran dan halangan ini boleh mempengaruhi kesejahteraan hidup seseorang. Halangan ini ada kalanya datang tanpa dirancang. Antara halangan yang mungkin berlaku adalah seperti berikut:

Inflasi

Inflasi adalah kenaikan harga secara berterusan sehingga menyebabkan nilai wang berkurangan dari segi kuasa belinya. Oleh itu, rancanglah agar pendapatan anda naik pada kadar yang hampir sama dengan inflasi (umpamanya 3 peratus). Jika anda menyimpan wang dalam bank, kesan inflasi menyebabkan nilai simpanan mengecut dengan hebatnya. Oleh itu, di samping menyimpan, anda hendaklah melaburkan wang lebihan yang mampu memberikan pulangan yang lebih tinggi daripada inflasi.

Cukai

Cukai dikenakan berdasarkan kepada pendapatan seseorang setelah ditolak dengan beberapa perbelanjaan asas. Pada tahap tertentu, cukai tidak dapat dielakkan. Namun begitu, pada masa ini terdapat beberapa produk kewangan, seperti caruman KWSP, insurans dan sebagainya yang diberikan insentif pengurangan cukai. Oleh itu ambil kesempatan dengan menyimpan atau melabur dalam produk kewangan yang mendapat insentif cukai.

Pelaburan yang gagal

Seringkali juga mereka yang melaburkan wang dalam pelaburan yang mungkin mengalami kegagalan.

Oleh itu dalam membuat pelaburan, gunakan strategi yang praktikal, iaitu melabur dalam produk kewangan yang selamat, kemudian barulah fikirkan tentang pulangan. Umpamanya melabur dalam saham amanah yang dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad adalah lebih terjamin. Walaupun pulangannya lebih rendah berbanding dengan saham amanah yang dikendalikan oleh pihak lain, yang pulangannya lebih tinggi, namun risiko kerugiannya juga tinggi.

Hilang upaya

Sekiranya anda hilang upaya untuk bekerja disebabkan oleh penyakit, atau dibuang kerja, berapa lamakah simpanan yang anda ada boleh bertahan untuk menampung kehidupan anda? Oleh itu, anda hendaklah menyediakan wang simpanan atau dana insurans untuk melindungi pendapatan pada masa akan datang.

Tabiat menyimpan untuk membeli barang

Mengumpulkan wang untuk membeli sesuatu barang secara tunai adalah amalan yang baik, berbanding dengan membeli barang secara kredit. Namun begitu, pembelian barang seperti perabot atau peralatan elektronik, tidak menghasilkan aset yang boleh meningkat nilainya.

Anda hendaklah sentiasa bersedia untuk menghadapi halangan yang mungkin berlaku dalam kehidupan anda. Halangan-halangan tersebut sudah pasti menjejaskan kewangan anda jika anda tidak mempunyai persiapan yang baik.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 14/Jun 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button